Mengakui pernah hampir berputus asa bagi memiliki zuriat, namun berkat keputusan yang diambil dua tahun lalu untuk berehat daripada aktiviti seni demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga akhirnya membuahkan hasil.

Kata pelantun lagu Kini Kau Tiada itu lagi, sebagai anak seni yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam industri, beliau mengaku komitmen pada kerjaya membuatkan impian bergelar ibu tiba pada usia yang agak lewat.

Namun, setelah dinasihatkan oleh doktor untuk membuat pilihan sama ada untuk bergelar ibu atau terus bekerja, Sarimah memilih keluarga kerana mahukan zuriat yang turut didamba oleh suaminya, cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 47.

“Doktor memberitahu, saya mengalami tekanan yang sangat tinggi ketika masih aktif bekerja dan itu antara faktor yang membuatkan peratusan untuk hamil menurun.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk berehat dan beri sepenuh tumpuan kepada keluarga. Alhamdulillah, saya berasa sangat tenang, gembira dan akhirnya doa kami dikabulkan dengan kehamilan ini,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi alat soleknya, Thrill By Sarimah Ibrahim di platform e-dagang Shopee di Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tersendiri

Bagi sesiapa yang mengikuti Sarimah dalam media sosial pastinya tahu betapa beliau seorang yang suka bersenam dan aktiviti tersebut tidak dihentikan biarpun sedang sarat berbadan dua.

Kata pelakon filem Puteri Impian 2 itu lagi, beliau telah menerima kritikan daripada netizen apabila beliau berkongsi mengenai rutin senamannya sewaktu hamil. Tidak kurang ada juga menasihatinya supaya lebih banyak berehat dan memberi amaran bahawa senaman boleh membahayakan anak dalam kandungan.

Menurut Sarimah, sebelum melakukan sebarang aktiviti, beliau pasti akan meminta nasihat dan pandangan doktor pakar terlebih dahulu.

“Senaman banyak membantu sepanjang kehamilan terutama saat trimester pertama apabila saya mengalami alahan yang sangat teruk. Saya memang sudah biasa bersenam maka, doktor memberitahu tiada masalah untuk meneruskannya.

“Ramai yang menasihati supaya saya duduk berehat sahaja, bagaimanapun itu bukan diri saya. Bagi saya, kehamilan bukan satu penyakit, jadi selagi saya mampu untuk menjaga kesihatan dengan bersenam, bukankah cara itu lebih baik,” tegasnya yang masih melakukan senaman pada usia kandungan lapan bulan.

Tambahnya lagi, dia juga menjaga pemakanan sepanjang kehamilan dan tidak pernah makan berlebihan kerana enggan berat badannya naik mendadak. Sehingga sekarang, berat badannya hanya bertambah sebanyak tujuh kilogram (kg).

Aktif

Menyentuh tentang kariernya yang kini diletakkan pada fasa rehat, Sarimah mengakui dirinya tidak sabar untuk kembali bekerja, namun masih belum menentukan tempoh cuti bersalin.

Mengakui sudah menerima tawaran mengacara pada bulan Oktober depan, beliau belum memberi sebarang kata putus lagi kerana mahu fokus untuk menyambut kelahiran puteri sulungnya pada Julai ini terlebih dahulu.

“Saya memang rindu untuk kembali aktif, tetapi sebagai individu yang bakal pertama kali bergelar ibu, saya tidak tahu lagi bagaimanakah keadaannya selepas bayi ini lahir kelak.

“Oleh yang demikian, saya tidak berani untuk berjanji untuk bekerja, buat masa sekarang doakan dahulu segala urusan bersalin dipermudahkan,” jelasnya lagi.

Sebelum mengakhiri bicara Sarimah sempat memberitahu, anaknya kini berada dalam posisi melintang yang membuatkan peluang untuk bersalin normal itu agak tipis.

“Saya akan cuba untuk bersalin normal jika bayi berpusing ke posisi yang betul tepat pada waktunya. Jika tidak, tidak kisahlah normal atau pembedahan, yang penting anak dan ibu sihat,” luahnya.