Halil, 70, yang mempunyai rekod masalah darah tinggi sebelum ini mengalami lumpuh di sebelah kanan badannya akibat serangan berkenaan.

Berita itu disahkan oleh rakan rapatnya, Datuk Tommie Tumiran yang bertanggungjawab membawa penyanyi yang popular dengan lagu Lenggang Mak Limah itu ke hospital.

“Saya menerima panggilan daripada anaknya pada malam Rabu yang mengatakan Halil terjatuh dari katil dan tidak boleh bergerak.

“Saya terus memecut ke rumahnya untuk membawa dia ke hospital kerana tahu dia tidak mempunyai kenderaan,”katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Tommie, sebulan yang lalu, Halil sudah dimasukkan ke hospital sama kerana masalah darah tinggi yang mencecah lebih 200 namun dia tidak mahu dimasukkan ke wad dan ingin berehat di rumah sahaja.

Buat masa sekarang, keadaan Halil stabil dan berdasarkan pemeriksaan yang dibuat oleh doktor, tiada pendarahan yang berlaku di otaknya akibat serangan tersebut. - K! ONLINE