Bermula dengan penampilan komersial pertama sebagai The Scorpion King menerusi naskhah The Mummy Returns (2001), langkah Dwayne sebagai aktor semakin besar, tatkala peluang demi peluang diberikan kepadanya untuk menerajui filem-filem berskala tinggi.

Keberadaan Dwayne dalam industri pada awalnya mungkin dipandang remeh oleh khalayak. Maklumlah, lelaki yang hanya tahu bergasak di pentas gusti itu ‘dicetak’ masyarakat sebagai sesuai untuk membawakan watak-watak ekstrem.

Pada pendapat segelintir khalayak, tidak mungkin Dwayne boleh melalui transisi watak sebagaimana aktor hebat lain.

Menepis tanggapan ramai sebagai omong kosong, Dwayne bagaimanapun terbukti cemerlang menerusi beberapa naskhah berbentuk komedi seperti The Game Plan, Tooth Fairy dan filem animasi, Moana serta Planet 51.

Kesungguhan Dwayne mengembangkan sayapnya dalam industri semakin menebal apabila dia berpeluang untuk bergelar penerbit bersama untuk filem Journey 2: The Mysterious Island.

Dwayne kemudian menerbitkan beberapa buah filem pecah panggung seperti Jumanji: Welcome To The Jungle, Rampage, Skyscraper dan Shazam!.

Terbaharu, lelaki botak itu kembali mengisi kerusi penerbit menerusi filem Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw (Hobbs & Shaw) yang mula ditayangkan sejak 1 Ogos lalu.

Menjayakan watak Luke Hobbs sejak filem kelima daripada francais tersebut iaitu Fast Five, Dwayne berkata, filem terbitannya bersama Jason Statham, yang turut memegang watak utama sebagai Deckaed Shaw itu adalah sebuah naskhah yang menghiburkan.

Menerusi wawancara yang dijalankan oleh Ross King untuk Good Morning, Britain, Dwayne bercerita tentang keserasian dengan bintang-bintang utama naskhah berkenaan dan statusnya dalam arena gusti serta politik.

ROSS KING: Hobbs & Shaw merupakan sebuah filem yang menakjubkan, apa kata Dwayne?

DWAYNE: Ketika membikin filem ini, kami cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menarik, berskala besar dan pada masa sama menghiburkan. Kami juga menghasilkan sebuah naskhah yang membuatkan peminat francais Fast & Furious menyukainya, bahkan penonton yang tidak pernah menyaksikan filem-filem terdahulu boleh ikut sama menonton.

Keserasian anda bersama pelakon-pelakon lain seperti Jason Statham, Idris Elba dan Vanessa Kirby cukup terserlah. Adakah sukar untuk mencetuskan kebersamaan yang ideal di layar lebar?

Kita selalu berhadapan dengan isu keserasian apabila berlakon dalam sesebuah filem. Jika dilihat dari sudut pandang industri perfileman Hollywood, kita boleh cetuskan keserasian tersebut.

Namun, adakah keserasian berkenaan mampu membuatkan sesebuah watak itu dekat dengan penonton? Untuk saya dan Jason, saya tidak sangka ramai yang sukakan keserasian kami menerusi Fast & Furious 8 sehingga membuatkan kami berdua kembali bersatu menerbitkan Hobbs & Shaw.

Dalam erti kata lain, keserasian yang terbina menerusi filem terdahulu menyebabkan anda dan Jason mampu menghasilkan filem terbaharu?

Benar. Keserasian tersebut boleh diibaratkan sebagai pancaran kilat yang diletakkan dalam botol. Cetusan tersebut akhirnya merebak dan berjangkit kepada pelakon-pelakon lain.

Pendek kata, sama ada saya, Jason, Elba dan Vanessa, kami mempunyai keserasian yang luar biasa. Saya bangga dengan hasil akhirnya. Jika anda mahu tahu, disebabkan keserasian tersebut saya tampilkan watak undangan yang telah mengejutkan penonton di panggung sewaktu menyaksikan filem ini. Tidak keterlaluan dikatakan, watak undangan tersebut telah membuka masa depan yang berbeza terhadap sekuel kesembilan Fast & Furious.

Proses penggambaran Hobbs & Shaw dijalankan di London, England. Kebanyakan pelakon juga turut berasal dari negara tersebut. Bagaimanakah bekerja dengan mereka sepanjang penggambaran berlangsung?

Jason, Elba dan Vanessa merupakan pelakon gred A yang berasal dari England. Sejujurnya, saya berasa sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan mereka.

Sebagai contoh, kami sengaja membentuk Elba untuk mendukung watak jahat paling ‘besar’ dalam sejarah penerbitan francais Fast & Furious. Dia bukan hanya mempunyai jisim dalam lakonan, tetapi berupaya melakonkan watak tersebut dengan baik.

Apakah perkara positif yang anda dapat selepas bekerja dengan mereka?

Mereka sangat baik, mempunyai sikap tolak ansur dan peramah!

Anda dilahirkan dalam keluarga yang akrab dengan sukan gusti. Selain bapa dan datuk, nenek anda, Lia Maivia turut terlibat dalam bidang serupa. Apakah nasihat nenek anda yang paling diingati sehingga kini?

Nenek saya merupakan seorang promoter gusti wanita pertama sekitar tahun 1980-an. Dia juga merupakan Timbalan Presiden National Wrestling Alliance di Hawaii selepas datuk saya, Peter Maivia meninggal dunia. Banyak yang saya belajar daripada mendiang nenek.

Salah satu daripadanya adalah keengganannya melihat saya memiliki senjata api ketika saya berusia 19 tahun. Nenek saya bermati-matian melarang saya menyimpan senjata api, sedangkan saudara-mara lain menggalakkan saya berbuat demikian.

Anda begitu sibuk berlakon dan menerbitkan filem. Adakah anda sudah bersara daripada bidang gusti?

Tidak sama sekali. Apabila terlibat dalam sukan gusti, tiada istilah bersara bagi saya.

Nama anda pernah disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang sesuai untuk bergelar Presiden Amerika Syarikat (AS). Anda juga pernah berhasrat untuk mempertimbangkan cadangan tersebut. Adakah anda masih berminat mahu fokus terhadap politik selepas ini?

Saya sentiasa berfikir tentang politik. Saya juga berasa sangat terharu kerana ramai yang mahu melihat saya menjadi Presiden AS. Namun dalam fasa ini, lebih baik saya gunakan kelebihan dan platform yang ada untuk membantu sesiapa sahaja yang layak untuk mentadbir negara.

Siapa yang sesuai untuk jawatan tersebut, saya tidak pasti. Apa yang boleh saya katakan, kita perlu tunggu dan lihat.

Pelakon Dwayne Johnson berkongsi emosi tentang karya terbaharunya bersama Jason Statham, Hobbs & Shaw, akar dirinya dalam sukan gusti serta keinginan untuk menceburkan diri dalam dunia politik.