Menjalani kehidupan dilimpahi cahaya glamor bukan sesuatu yang mudah. Apa sahaja yang dikongsikan pasti menjemput tumpuan dan perhatian orang ramai, tambahan pula segala maklumat dan pergerakan kebanyakan orang sekarang terakam dalam media sosial.

Baru-baru ini, Hairul dan Hanis dikecam peminat gara-gara perkongsian sebuah video yang disifatkan keterlaluan dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat. Dalam video tersebut, Hairul ‘meminta’ anak ketiga daripada Hanis secara terbuka dalam Instagram.

“Itu memang perangai saya. Niat saya hanya ingin bergurau dan menggembirakan hati isteri. Saya rasa isteri tahu bagaimana perangai saya yang sebenarnya.

“Mungkin saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Video itu bagi saya tiada masalah pun dan saya akui, netizen berhak memberikan pendapat masing-masing,” kata Hairul ketika ditemui Kosmo! pada majlis memperkenalkan Hanis sebagai duta butik kelengkapan bayi, Happikiddo di ibu negara.

Pelakon filem Paskal itu juga bersikap terbuka andai ramai mengkritiknya sebagai tidak matang hanya kerana video tersebut.

“Saya rasa orang yang kenal saya secara dekat, mereka tahu sifat sebenar saya. Saya memang suka bergurau dan memang itu sikap saya dari dahulu.

“Kalau ingin tengok saya serius, boleh tengok ketika saya berlakon dan buat kerja. Dalam situasi biasa, saya memang suka bergurau dengan semua orang yang dekat dengan saya,” terang Hairul atau nama lengkapnya, Hairul Azreen Idris, 30.

Bahagia

Pertanyaan serupa disuakan kepada isterinya, Hanis. pelakon filem Gangster Celop itu berpendapat, video yang dikongsi suaminya itu sekadar gurauan ringan yang kelakar.

“Dalam hidup, apabila kita cuba bergurau ada yang rasa kelakar dan sebaliknya.

“Saya tidak rasa video tersebut mengganggu sensitiviti. Saya tahu suami jenis orang yang bagaimana. Kalau dia minta anak ketiga, keempat atau kelima, saya yakin dia akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menjaga dan membesarkan anak-anak kami,” ujar pemilik nama lengkap, Hanis Zalikha Zainal Rashid itu.

Mengulas tentang kecaman yang diterima ekoran video tersebut, ujarnya, dia tidak mahu terlalu mengambil pusing dengan apa yang dilontarkan oleh orang ramai.

“Saya tidak tertekan pun dengan kecaman orang. 
Benda ini seperti sengaja diperbesar-besarkan sedangkan banyak lagi perkara yang perlu diperdebatkan.

“Khalayak nampaknya terlalu ringan tangan dan mulut untuk menjatuhkan hukum tentang sesuatu perkara yang remeh. Untuk saya, lebih baik uruskan hal sendiri (keluarga). Apa orang mahu cakap, biarkan sahaja,” terang wanita berusia 28 tahun itu.

Ditanya sama ada dia masih akan terus sepi daripada sebarang projek lakonan, jawab Hanis: “Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Kadang-kadang, ada rindu untuk kembali berlakon namun, Hairul balik rumah bercerita kepada saya tentang penat lelahnya di set penggambaran, jadi rasa rindu untuk berlakon pun hilang.

“Fokus saya sekarang tertumpu terhadap tugas kepada keluarga dan perniagaan. Biarlah Hairul sahaja yang berlakon kerana itu memang minatnya,” kata Hanis yang dijadualkan bersalin anak kedua pada pertengahan Mei nanti.

Bersalin

Bercerita tentang persiapan menyambut anak kedua, baik Hairul dan Hanis, masing-masing sangat teruja untuk menantikan anggota baharu dalam keluarga.

Masih sibuk dengan projek filem Wira, Hairul berkata, dia ingin memastikan penggambaran filem tersebut tamat dua minggu sebelum isterinya bersalin.

“Insya-Allah, penggambaran filem Wira akan selesai dua minggu sebelum Hanis bersalin. Saya mahu berada di sampingnya saat dia melahirkan zuriat kami nanti,” ujar Hairul ringkas.

Ditanya tentang jantina anak dalam kandungan, Hairul dan isteri sudah ada kepastian namun memilih untuk tidak mendedahkan kepada orang ramai hal tersebut atas sebab tertentu.

“Kami sudah tahu jantina anak dalam kandungan, namun saya rasa lebih baik apabila Hanis sudah selamat bersalin nanti, baru kami kongsi dengan orang ramai.

“Bukan ingin berahsia, namun itu keputusan daripada saya dan isteri. Saya berharap orang ramai di luar sana dapat menghormatinya,” katanya.

Buat Hanis sendiri, dia banyak menerima doa dan maklum balas daripada orang ramai yang mengatakan bayi dalam kandungannya adalah perempuan.

“Ya, memang sudah tahu jantina anak, tetapi saya akur cakap suami untuk tidak terlalu bercerita tentangnya kepada umum.

“Ramai mendoakan supaya kami dikurniakan anak perempuan supaya sepasang dengan Yusuf Iskandar nanti. Apapun, selamat bersalin nanti, sudah tentu saya akan berkongsi kepada orang ramai tentang jantina bayi,” terang Hanis.

Bercerita tentang pengalaman hamil anak kedua, Hanis mengakui kali ini sangat memenatkan berbanding ketika mengandungkan anak sulungnya, Yusuf Iskandar.

“Masa Yusuf dulu saya alami alahan selama sembilan bulan namun, masih lagi aktif bekerja seperti menghadiri acara di luar rumah.

“Kali ini saya mudah mengah dan selalu penat. Mahu ke pejabat pun susah kerana mudah penat, tetapi saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan sehingga ke hari ini,” tutur Hanis menggulung perbualan.