Bagi sesetengah orang, soalan sebegitu dianggap sensitif dan mengundang rasa tidak selesa. Malah, disebabkan itu ada yang mengambil pendekatan mengelak berjumpa ahli keluarga yang berpotensi bertanya soalan panas itu.

Namun, bagi penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, dia memilih untuk bersangka baik dengan soalan sedemikian dan beranggapan mereka yang bertanya sebenarnya prihatin.

Hafiz juga memberitahu, dia sudah tidak berhubung dengan bekas isterinya, Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa dan secara terus-terang mengatakan sejak berpisah, mereka sudah membawa haluan masing-masing.

KOSMO!: Adakah Hafiz masih dihujani soalan berhubung kegagalan rumah tangga meskipun telah dua tahun berlalu?

HAFIZ: Ya, masih ditanya soalan tersebut. Namun, mungkin kerana saya seorang yang bersikap terbuka maka, mereka tidak takut untuk bertanya soalan kahwin. Saya sendiri tidak terasa hati jika mereka berbasa-basi tentang soal itu. Apa yang melucukan adalah mereka masih mengingati perkara yang berlaku walaupun sudah dua tahun berlaku.

Apakah anda tidak berasa rimas apabila sering ditanya soalan yang sama?

Saya senang untuk beranggapan bahawa sesiapa yang bertanya itu sebenarnya mengambil berat tentang saya. Jangan terlalu cepat meletakkan perkara negatif pada sesuatu pertanyaan jika ia boleh dijawab dengan baik.

Apa pula reaksi keluarga anda?

Alhamdulillah, mereka sangat memahami. Ada kalanya, mereka yang tolong saya jawabkan soalan jika ada saudara bertanya. Paling penting, ibu saya tidak pernah mendesak untuk saya beristeri semula kerana dia tahu apa yang berlaku meninggalkan kesan pada saya.

Bagaimana hubungan anda dengan bekas isteri?

Kami sudah tidak berhubungan selepas bercerai. Saya tidak bermusuhan dengan dia, tetapi sebolehnya saya akan cuba mengelak menghadiri majlis sama yang dihadirinya. Memandangkan ramai kawan-kawan kami datang daripada kelompok sama, saya lebih peka tentang hal tersebut.

Mengapakah anda memilih untuk mengelak bertemu bekas isteri?

Saya rasa itu keputusan yang paling baik untuk kami dan juga tuan rumah yang menganjurkan majlis. Saya tidak mahu kerana kehadiran kami di tempat sama, orang lain pula yang terasa kekok. Jadi, kalau saya tahu Joy akan hadir ke majlis sama, saya akan menolak dengan baik. Setakat ini, rakan-rakan sangat memahami berkenaan isu tersebut.

Anda tiada masalah bekas isteri berkawan dengan rakan-rakan anda?

Tidak sama sekali, saya bukan budak kecil yang sesuka hati menegah orang berkawan dengan sesiapa yang mereka mahu. Bagi saya, hubungan dengan rakan-rakan tidak terjejas biarpun ada di antara mereka masih berhubungan dengan bekas isteri. Itu hak mereka, buat apa saya hendak halang.