HAEL HUSAINI menafikan klip video lagu hari rayanya, Bersyukur Seadanya meniru konsep lagu nyanyian Dua Lipa dan mempromosikan budaya anak ikan.

Justeru, tidak mustahil jika Hael sering menjadi rebutan penganjur acara-acara hiburan dan majlis-majlis korporat.

Sungguhpun terpaksa melalui hari yang memenatkan, namun lelaki berusia 32 tahun itu tidak melihat perkara tersebut sebagai satu hal yang membebankan.

Biarpun terpaksa berada di Singapura pada siang hari dan terbang semula ke Kuala Lumpur pada sebelah malam demi komitmen persembahan baru-baru ini, Hael melihat kesibukannya sebagai rezeki daripada Tuhan.

Dalam pada itu, Hael turut berkongsi mengenai kejayaan lagu hari raya pertamanya, Bersyukur Seadanya yang kini menerima lebih 2.5 juta tontonan selepas dilancarkan pada Ramadan lalu.

KOSMO!: Hael, anda dilihat begitu sibuk memenuhi undangan nyanyian sepanjang bulan Ramadan. Walhal, artis lain memilih untuk memperlahankan karier sepanjang tempoh berpuasa. Adakah anda melihat perkembangan sebegitu sebagai kelebihan untuk karier anda?

HAEL: Sejujurnya, saya lihat undangan yang diterima sebagai punca rezeki. Kalau mahu fikirkan soal penat, ya memang penat. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah terbiasa bekerja keras hampir setiap hari. Jadi, saya memang tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian tahun ini.

Kesihatan anda juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan. Adakah gangguan kesihatan tersebut berpunca daripada kesibukan anda bekerja?

Jika dulu saya boleh bekerja tanpa rehat, namun mungkin antibodi pada usia sekarang sudah mula menurun. Jadi, saya kerap jatuh sakit. Tetapi, saya tetap berjumpa doktor untuk memastikan kesihatan saya tidak terganggu.

Dalam sibuk menerima undangan persembahan, anda sempat melancarkan lagu raya pertama berjudul Bersyukur Seadanya. Lebih manis, peminat begitu gemar dengan lagu dan klip video lagu tersebut sehingga menjadi sohor kini dalam YouTube. Adakah telah dirancangkan bahawa setiap lagu yang anda hasilkan perlu berada pada kedudukan tertinggi?

Tidak juga. Apabila saya berkarya, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran. Apabila lagu Bersyukur Seadanya diterima ramai, saya sendiri dengan rasa rendah hati bersyukur kerana karya saya masih diterima walaupun berbentuk lagu raya.

Menerusi klip video berkenaan, anda dikatakan meniru klip video lagu New Rules nyanyian Dua Lipa. Dalam masa sama, ada yang mengatakan klip video berkenaan berkonsepkan ‘anak ikan’ (individu yang hidupnya ditaja pihak lain). Apakah penjelasan anda mengenai kritikan tersebut?

Sebenarnya, banyak penyanyi yang pernah tampil dengan gerakan seragam dalam klip video mereka. Jadi, tidak timbul isu meniru. Berkenaan dengan isu ‘anak ikan’ pula, konsep klip video Bersyukur Seadanya mengambil inspirasi suasana beraya di kampung dengan adik-beradik dan saudara-mara yang tidur beramai-ramai di rumah keluarga.