Ada yang mengatakan situasi tersebut sekadar drama yang dijual Zamani untuk meraih simpati penonton. Tidak kurang, ada yang turut mengaitkan keadaannya ketika itu dengan kesan penyalahgunaan dadah, sebagaimana pendedahan Zamani sebelum ini yang mempunyai masalah tulang belakang yang dialami.

Namun, telahan khalayak mengenai vokalis kumpulan Slam itu tidak tepat sama sekali. Zamani yang ditemui usai konsert minggu keenam pada malam Ahad lalu menjelaskan, suaranya tidak dapat dilepaskan sewaktu berada di atas pentas kerana masalah yang dialami pada bahagian peti suara.

“Tiada drama, saya memang tidak boleh menyanyi kerana suara tidak mampu untuk dikeluarkan. Bercakap juga saya tidak mampu.

“Alhamdulillah, selepas mendapatkan rawatan di klinik, keadaan kesihatan beransur pulih. Biarpun masih belum sihat sepenuhnya, saya kini boleh menyanyi,” katanya.

Sungguhpun mendapat markah kosong peratus, Zamani terselamat daripada penyingkiran kerana pada malam konsert tersebut, penaja GV5, Datuk Aliff Syukri menggunakan kuasa imuniti terhadap penghibur berusia 47 tahun itu.

Namun, sepanjang minggu lalu iaitu selepas konsert tamat, bertebaran pula khabar angin baharu yang mengatakan bahawa Zamani bakal menarik dari daripada program berkenaan.

Undur diri

Ditanya mengenai isu berkenaan, Zamani menjelaskan, pernah terdetik dalam hatinya untuk mengundurkan diri.

Bagaimanapun, apabila memikirkan tanggungjawab dan kepercayaan para penaja di atas bahunya, Zamani tetap meneruskan perjuangan.

“Kalau memikirkan soal maruah, saya mahu tarik diri tetapi tanggungjawab telah diberikan dan saya tidak mahu mempersiakan kepercayaan orang kepada saya.

“Tambahan pula, peminat yang datang saban minggu tidak pernah berhenti menyokong. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pertandingan,” katanya lagi.

Beralih mengenai status pengurusannya pula, Zamani menjelaskan, dia kini diuruskan oleh Aalan Ahmad, bukan Johan Aziz.

“Sebetulnya, Johan merupakan pengurus saya sejak saya bersama Slam tetapi Aalan pula yang bertanggungjawab menguruskan penglibatan saya dalam GV5.

“Buat masa ini, saya mahu memberi fokus terhadap pertandingan. Selepas semuanya selesai, saya dan Johan akan duduk berbincang untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” jelas Zamani.

Mahu terus kekal dalam GV5, Zamani berkata, dia akan cuba sehabis baik untuk konsert akan datang.

“Saya akan terus berjumpa dengan doktor dan mengambil ubat seperti yang disarankan.

“Semoga kesihatan saya bertambah baik menjelang konsert minggu ini,” katanya yang bakal membawakan dua buah lagu pada konsert separuh akhir GV5 iaitu Dekat Padamu dan Di Matamu.

Terbaik

Biarpun kesihatannya baru sahaja pulih, Zamani tetap memberi kejutan apabila mendapat markah yang agak tinggi dalam persembahan minggu lalu.

Berada pada tangga ketiga selepas Amelina dan kumpulan duo Billy Zulkarnain, persembahan Zamani disifatkan ketua juri, Datuk Ramli MS sebagai terbaik sepanjang lima minggu bertanding.

“Dia tidak membuat banyak kesilapan ketika menyanyikan lagu Hapus Aku. Dalam masa sama, kawalan suaranya sangat bagus dan tidak bergetar.

“Saya berharap agar dia dapat menggandakan usaha bagi melalui minggu separuh akhir kelak,” katanya.

Ramli menjelaskan, agak mustahil untuk suaranya pulih dalam masa singkat. Namun, menurut maestro muzik tersohor itu, Zamani mungkin mendapat kekuatan daripada sokongan dan doa peminatnya.

“Barangkali, dia mendapat kesedaran untuk terus maju kerana semangat peminatnya.

“Sebab itu saya katakan, dia sebagai penyanyi perlu menggandakan usaha dan buat sehabis baik. Jika tidak, dia sendiri akan malu,” katanya lagi.

Jika Zamani mendapat markah yang agak cemerlang daripada juri, penyanyi Farawahida terpaksa menelan realiti apabila dia mendapat markah terendah, sekali gus menjadi peserta keempat yang tersingkir daripada GV5.

Ramli menjelaskan, penyingkiran Fara disebabkan oleh kawalan suaranya yang kurang baik dan kesalahan yang kerap dilakukan sepanjang membawakan lagu Ayat-Ayat Cinta.

“Semasa persembahan, suara Fara agak sumbang dan kawalan vokalnya kurang baik. Setiap patah lirik yang dinyanyikannya mengandungi kesalahan.

“Kami tidak hanya menonton penyanyi secara langsung, tetapi turut mendengar vokal mereka menerusi alat bantuan pendengaran. Disebabkan itu, setiap kesalahan dapat dikenal pasti,” katanya yang turut menyifatkan semua peserta GV5 tidak konsisten dan terlalu mencuba.

Sementara itu, Fara berkata, dia mengakui sedikit gementar, lebih-lebih lagi apabila menyanyikan lagu berkenaan di hadapan khalayak ramai.

“Saya akui, tekstur suara saya memang sedikit kasar untuk membawakan lagu Ayat-Ayat Cinta. Ditambah dengar gemuruh, mungkin kawalan vokal sewaktu persembahan terjejas.

“Namun, saya tidak akan berputus asa. Memang saya mahu jadikan GV5 sebagai platform untuk kembali ke bidang seni,” ujar Fara yang merancang untuk menerbitkan single terbaharunya tidak lama lagi.

Lapan peserta yang bakal berentap di pentas separuh akhir GV5 dan seterusnya memburu tiket ke final adalah Amelina, Billy Zulkarnain, Dia Fadila, Hetty Sarlene, Maya, Noryn Aziz, Zamani serta kumpulan Forteen.