Berkongsi mengenai mesej terakhir Allahyarham Aji, Lok-U atau nama sebenarnya, Faizal Uzir berkata, Fauzi Samin baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-50 pada Rabu lalu.

Menurut Lok-U selain menyampaikan ucapan selamat ulang tahun, mereka turut merancang untuk berjumpa kerana bakal terbabit dengan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP) pada 22 September ini.

“Kali terakhir kami berjumpa pada Ramadan yang lalu. Biarpun jarang berjumpa, kami kerap berhubung antara satu sama lain.

“Semalam kami ada berbalas mesej dan sempat berbincang mengenai projek selepas ini. Dia turut menghantar ucapan ‘miss you bro,. Saya sangat terkejut mendapat berita dia meninggal dunia hari ini,” katanya.

Tambah pengarah muzik program Mentor itu, pemergian Aji disifatkan kesedihan berganda selepas kehilangan sahabatnya, pemain basis, Kelly atau Wan Kelly Abdul Rahman akibat serangan jantung sekitar Mei lalu.

Sepanjang karier muziknya, lelaki yang terkenal dengan sifat mesra dan mudah tersenyum itu sering menjadi pilihan sebagai gitaris konsert-konsert berskala besar terkemuka negara seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Datuk Sheila Majid, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Ella, Anuar Zain dan ramai lagi.

Siti Nurhaliza dalam satu perkongsiannya menerusi Instagram memberitahu, Aji dijadualkan bersama-sama dengan beliau untuk menjayakan konsert mini, Shopee X Simplysiti tidak lama lagi.

“Namun perancangan Allah SWT lebih sempurna. Allah lebih menyayanginya. Allah menjemputnya pulang pada bulan yang mulia ini. Semoga arwah bersama insan terpilih di sana,” tulis Siti.

Aji turut dijadualkan mengiringi Ramli menerusi dua konsert mini di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), malam ini dan Pesta Durian Agro Bank esok di Melaka.

Terdahulu, Aji difahamkan mengalami masalah gastrik selepas menunaikan solat subuh dan menuju ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Columbia, Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dia disahkan  meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 11.45 pagi tadi ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Allahyarham yang mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur, sekitar pukul 7 petang tadi.