Meskipun lebih 11 tahun sepi tanpa sebarang aktiviti bersama memandangkan masing-masing selesa membawa haluan seni sendiri, namun kumpulan yang dianggotai oleh Farrish Zaquan Ramli (Cat Farish), Mohd. Kamaruzaman Zain Abd. Hamid (Zain), Azan Addin Abd. Wahab (Azan), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode), Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) dan Amer Munawer (Amer Munawer Yusoff) itu tetap mempunyai aura tersendiri dalam menghiburkan khalayak.

Kemunculan semula kumpulan yang popular menerusi lagu seperti Lemas, Tiada Cinta, Kerinduan dan Khayalan itu lantas membuka peluang kepada mereka untuk mengubat kerinduan peminat bukan sahaja di tanah air, bahkan di Singapura.

Ruffedge bakal mengadakan persembahan di [email protected] Singapura pada 6 Oktober hadapan sempena meraikan ulang tahun ke-20 kumpulan berkenaan dalam industri seni tempatan.

Tiket boleh didapati menerusi laman web www.myticket.com.sg bermula pada harga S$225 (Meet & Greet), S$145 (Diamond) dan S$95 (Platinum). Potongan harga sebanyak 10 peratus bagi pembeli terawal bagi kategori Diamond dan Platinum.

KOSMO!: Bagaimanakah persiapan kumpulan Ruffedge bagi menjayakan persembahan yang bakal diadakan di Singapura pada 6 Oktober hadapan?

RUFFEDGE: Kami lebih memberi fokus kepada latihan vokal bagi memastikan agar dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada khalayak kelak. Memandangkan masing-masing telah memasuki fasa usia 40-an, jadi stamina memainkan peranan penting untuk mengawal pernafasan.

Memandangkan sebelum ini kalian telah membuat persembahan di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur awal Ogos lalu, jadi apakah kelainan untuk konsert di Singapura kelak?

Kami akan membuat beberapa perubahan terhadap susunan muzik termasuk lagu yang akan dipersembahkan nanti. Jika di Kuala Lumpur tempoh hari, kami berduet bersama Jaclyn Victor sewaktu menyanyikan lagu Kerinduan. Namun, ia tidak berlaku di Singapura. Insya-Allah sekiranya ada rezeki untuk kami berduet dengan artis Singapura ia satu berita baik.

Bagaimanakah reaksi kalian terhadap respons khalayak yang hadir sewaktu persembahan di KL Live, Life Centre tempoh lalu?

Sejujurnya kami tidak menyangka apabila hampir 40 peratus penonton yang hadir merupakan golongan belia lingkungan usia awal 20-an dan remaja. Peminat dari Singapura dan Brunei juga hadir memberi sokongan. Ia satu perkara di luar jangkaan dan kami mengucapkan terima kasih kepada yang hadir. Sepanjang 20 tahun dalam industri, tidak dinafikan persembahan tersebut merupakan pengalaman paling berharga dan meruntun jiwa.

Setelah lebih 10 tahun Ruffedge menghilang tanpa membuat persembahan bersama, adakah kalian menerima sebarang kritikan ataupun rasa tercabar terhadap kehadiran artis baharu?

Kami tidak lihat ia sebagai kritikan, sebaliknya rasa lebih kepada ambil berat. Ini kerana ramai yang bertanya bila kami akan membuat konsert sedangkan ketika itu persembahan di KL Live, Life Centre baru selesai. Jika kami ragu mengenai kemampuan sendiri, mungkin Ruffedge tidak kembali sekarang. Kami tidak melihat penyanyi baharu sebagai saingan kerana masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri. Bahkan melihatkan perkembangan teknologi masa kini, peluang untuk menjadi penyanyi lebih mudah berbanding dahulu. Kini, pelbagai platform digital seperti YouTube atau Spotify memudahkan mereka untuk merealisasikan impian sebagai penyanyi.

Bagaimana dengan perancangan membuat album?

Kami mempunyai keinginan untuk melahirkan album penuh tetapi segalanya masih dalam perancangan. Buat masa sekarang, sebanyak empat buah lagu telah siap dirakam.

Tambahan, fokus kami ingin memberi fokus kepada single baharu bertajuk Seperti Mereka. Selain itu, rakaman konsert KL Live, Life Centre tempoh lalu turut dihasilkan dalam bentuk cakera video digital (DVD).

Memberi fokus terhadap Ruffedge, bagaimanakah dengan pengurusan terhadap kerjaya masing-masing?

Buat masa sekarang kami memberi fokus terhadap apa yang ada di hadapan mata. Sekiranya takdir menentukan, rezeki kami bersama Ruffedge, jadi tiada masalah sekiranya membelakangkan buat sementara waktu kerja seni masing-masing. Hal ini disebabkan kami percaya terhadap rezeki Tuhan. Biarpun bersungguh-sungguh tetapi takdir tidak berpihak kepada kami, jadi tiada gunanya juga.

Ini kerana bukan tugas kita sebagai manusia untuk mengawal setiap perkara melainkan berusaha bersungguh-sungguh mengikut rezeki yang ditentukan Allah kerana dia sahaja yang menentukan segalanya.