Kini, setiap inci kisah lampau atau apa sahaja tidak berkenan pada mata sesetengah pihak dengan pantas menjadi kecaman netizen.

Itu antara kerisauan pendatang baharu Aishah Azman yang masih terpelihara daripada sebarang isu negatif.

Akui wanita kelahiran Kuala Lumpur yang baru dua tahun menapak dalam industri itu, dia juga bukan jenis yang gemar menggunakan jalan pintas untuk menjadi sebutan.

Namun, mahu atau tidak, nama Aishah, 22, tetap terpercik dek kontroversi abang kandungnya, pelakon Afiq Muiz yang pernah menjadi topik hangat sekitar lima tahun lalu.

Ujar Aishah dalam nada yang sedikit kesal, penyebaran status dirinya sebagai adik kepada Afiq bukan keluar daripada mulutnya sendiri, bahkan ia disampaikan oleh pihak lain.

“Sebelum ini kalau berjumpa orang tidak kira individu yang terlibat dalam industri ataupun tidak, saya tidak pernah memperkenalkan diri sebagai adik Afiq, tetapi Aishah Azman. Malah orang pun sebenarnya tidak kenal saya adalah adik dia.

“Percubaan saya memasuki industri pun dilakukan sendiri tanpa sedikit pun menggunakan nama dan pertolongan daripada abang,” katanya tegas.

Enggan terikat dengan perkara tersebut, bagi Aishah ia sedikit pun tidak pernah mengganggu haluan hidup dan kariernya kerana selama ini pendakian dalam industri diusahakan sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak.

Berdiri sendiri

Bukan malu berabangkan Afiq, tetapi tegas pelakon itu, apa yang berlaku dalam sejarah karier dan hidup Afiq, biarlah ia berlalu menjadi pengajaran kepada semua. Lelaki itu pernah mencetuskan kontroversi dan dilabelkan sebagai tanggang moden selepas dikatakan lupa daratan serta membuang keluarganya.

“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap soal ini lagi kerana apa yang sudah berlaku, biarlah ia menjadi sejarah dalam keluarga kami sahaja, itu sudah cukup,” ujarnya ringkas.

Biarpun tidak menggunakan nama abang untuk mendaki populariti, Aishah bersyukur kerana Afiq merupakan orang yang paling banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepadanya untuk berada dalam industri.

“Saya mula berlakon sekitar dua tahun lalu. Alhamdulillah, sejak membintangi drama Bagaikan Kelip-Kelip sebagai heroin, rezeki tidak pernah putus sampai sekarang.

“Cuma saya akui bukan mudah membawa diri kerana saya seorang perempuan. Golongan wanita mudah terdedah dengan perkara tidak elok jika tidak pandai membawa diri. Mujur Afiq banyak membantu dari segi tunjuk ajar dan nasihat,” ujar pemilik nama lengkap Nor Aishah Afika Azman Shah tenang.

Menutup bicara perihal keluarga, pertemuan bersama pelakon drama Pengantin 100 Hari itu membawa perbualan tentang pandangannya tentang industri. Isu pelakon yang lantang bersuara tentang penulisan skrip dan naskhah klise antara yang menjadi pengisian bicara.

Begitu juga hidangan dengan naskhah yang klise seperti kisah anak orang kaya mewarisi syarikat daripada bapa berpangkat Datuk atau Tan Sri dan berkahwin paksa tanpa rela sehingga akhirnya memutikkan cinta.

Namun bagi pelakon drama Cinta Hati Batu itu, tidak semua naskhah klise menghamparkan jalan cerita yang sama kerana sebagai pelakon, mereka yang perlu memainkan watak dengan baik untuk meninggalkan impak terhadap penonton.

“Seperti contoh dalam drama Pengantin 100 Hari, watak Sofea memerlukan saya banyak menangis. Cuma sebagai pelakon, saya perlu bijak untuk menghayati watak dan memahami kehendak situasi.

“Dari situ, ia menguji kemampuan untuk membezakan antara babak sedih yang perlu mengeluarkan air mata atau sekadar menunjukkan emosi,” ujar pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu.

Tambah Aishah lagi, antara sebab dia menerima tawaran drama adalah jalan cerita yang mempunyai banyak mesej positif meskipun tidak dapat lari daripada terma klise seperti gadis miskin yang dipaksa berkahwin dengan lelaki kaya.

“Kalau orang tengok dari awal, mungkin nampak seperti klise tetapi sebenarnya keseluruhan jalan cerita tidak begitu. Banyak mesej yang mahu disampaikan kepada penonton iaitu kisah kekeluargaan dan bukannya tentang cinta semata-mata,” ujar Aishah seraya mengakui watak Sofea yang lemah lembut jauh berbeza daripada keperibadian sebenar dirinya