Tidak keterlaluan jika dikatakan lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong itu meninggalkan impak yang cukup besar bukan sahaja kepada penyanyinya sendiri tetapi seluruh peminat muzik tempatan. Masakan tidak, dari anak kecil sehinggalah orang dewasa, kebanyakannya boleh menyanyikan lagu Jampi dengan mudah.

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 31, yang ditemui usai kemenangannya cukup terkejut kerana tidak menyangka dinobatkan sebagai juara menewaskan penyanyi lebih senior seperti Dayang Nurfaizah, Hazama dan Altimet. Baginya kemenangan itu merupakan rezeki buat anak angkatnya, Nur Helena, 10 bulan.

“Saya memang tidak jangka dan terfikir untuk menang. Selepas 10 tahun dan keluarkan beberapa single akhirnya rezeki berpihak kepada saya. Secara jujur, Helena merupakan rezeki terbesar saya sejak tahun lalu.

“Tidak dapat dibayangkan hidup tanpa dia. Sudah tertulis mengapa Allah temukan saya dengannya. Saya boleh katakan 100 peratus kemenangan dan rezeki yang datang ini adalah untuk dia,” ujar Hael yang membawa pulang trofi, wang tunai RM50,000 dan baucar CJ WOW Shop bernilai RM10,000.

Meskipun bergelar juara, ketua juri Azmeer mengakui terdapat kekurangan dalam lontaran vokal Hael ketika menyanyikan lagu itu secara langsung. Namun, kesempurnaan dalam penciptaan lagu dan impak viral menyebabkan lagu itu dipilih secara sebulat suara oleh kesemua barisan juri.

Bercakap mengenai vokalnya yang menjadi pertikaian segelintir pihak, Hael mengakui kekurangannya itu. Katanya, dia sedar dirinya bukan seorang penyanyi yang memiliki vokal hebat. Sungguhpun begitu, atas kepercayaan dan sokongan peminat, Hael cuba melakukan terbaik pada kemuncak AJL32.

“Soal vokal, saya mengaku bukanlah yang terbaik, ada tercicir di sini sana seperti yang dikatakan oleh ketua juri. Namun, saya berjaya buktikan kepada orang yang mempertikaikan kemampuan vokal saya dengan memberi sebuah persembahan yang baik,” tuturnya yang telah mencipta lagu untuk Siti Nordiana, Dayang Nurfaizah dan akan datang buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Vokal terbaik

Selain Hael, paling mencuri perhatian pada malam itu sudah tentu pasangan duet popular, Syamel dan Ernie Zakri yang membawa pulang trofi bagi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Cinta.

Ramai bersetuju, mereka berdua menyampaikan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Syamel itu dengan baik. Masih tidak dapat dilupakan kebanyakan penonton meremang bulu roma saat kedua penyanyi ini melontarkan vokal pada nada tinggi dan mereka mendapat standing ovation di akhir persembahan.

Menyentuh tentang vokal, Azmeer menjelaskan, Syamel dan Ernie telah menyampaikan lagu Aku Cinta dengan cukup sempurna tanpa sebarang kesalahan. Bahkan lagu dendangan mereka jauh lebih sukar, sekali gus menyebabkan mereka berjaya menewaskan ratu vokal, Dayang Nurfaizah.

Mengulas mengenai perkara itu Syamel menjelaskan, dia bersyukur kerana dapat berduet dengan Ernie yang merupakan seorang penyanyi dengan vokal hebat. Selain keserasian antara mereka yang menyebabkan lagu itu berjaya disampaikan dengan baik dan membawa pulang trofi, wang tunai RM12,000 dan baucar CJ WOW Shop RM2,000.

“Pada mulanya saya agak takut selepas mendengar Dayang dan Salma menyanyi ketika sesi latihan. Vokal mereka memang cukup hebat. Dalam keadaan agak tertekan, kami berdua membuat keputusan untuk menyanyi mengikut rancangan asal iaitu tidak melebih-lebih ketika melontarkan vokal.

“Maknanya kami menyanyi mengikut nada yang telah ditetapkan, tidaklah cuba menunjuk vokal siapa lagi hebat. Kami bekerjasama dengan baik. Alhamdulillah, hasilnya kami telah menerima pengiktirafan yang dikira cukup besar untuk orang baharu seperti saya,” luah Syamel.

Ernie yang berada di sebelahnya turut mengakui perkara tersebut dan berharap kemenangan mereka dapat membuka jalan lebih luas untuk kerjaya seninya.

“Ini satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Walaupun ia merupakan pertandingan, saya tidak fikir untuk menang, sebaliknya hanya mahu lakukan yang terbaik dan hiburkan penonton. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami dan saya amat berharap kemenangan ini akan membantu melonjakkan lagi kerjaya seni pada masa depan,” ulas Ernie.

Meriah

Biarpun ini bukanlah kali pertama Altimet mara ke pentas AJL, namun kemuncak AJL32 merupakan persembahan Altimet yang paling diingati. Jauh daripada kebiasaan, Altimet hadir dengan busana tradisional dan membawa segerombolan penyanyi dikir barat di atas pentas ketika menyanyikan lagu Amboi.

Biarpun ada yang mempertikaikan mengapa lagu ringkas seperti Amboi berjaya masuk ke final AJL32, Altimet berjaya membuktikan lagu rap tersebut mempunyai roh tersendiri dan berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik. Altimet membawa pulang trofi, wang tunai RM12,000 dan baucar CJ WOW Shop RM2,000.

“Sebelum final saya berjumpa dengan Azlan The Typewriter. Dia memberitahu, lagu rap amat sukar untuk menang dan meminta saya memberi fokus kepada persembahan yang akan diingati penonton.

“Sebab itu, saya pilih busana tradisional dan membawa persembahan dikir barat ke atas pentas. Walaupun saya menang persembahan terbaik tetapi trofi sebenar adalah melihat penonton terhibur dan menghargai usaha saya,” kata Altimet.

Sungguhpun gembira dengan kemenangannya, Altimet membuat kejutan apabila memberitahu, dia telah membulatkan hati untuk bersara sebagai penyanyi pada usia 40 tahun yang jatuh pada tanggal 27 November tahun ini.

“Sebenarnya pada tarikh 27 November tahun ini saya genap 40 tahun. Sebagai orang Islam usia pada 40 tahun zaman belia sudah habis. Jadi, saya ingin cuba sesuatu yang baru dalam hidup. Saya tidak akan merakam dan membuat persembahan tetapi kerja sebagai komposer masih diteruskan seperti biasa.

“Bagi saya, lebih baik berhenti pada zaman kegemilangan daripada tiba-tiba sudah tidak ada tawaran nyanyian. Namun, sebelum bersara saya akan mengeluarkan dua buah album pada bulan depan dan November,” kongsi Altimet.

Mengiringi kemeriahan malam kemuncak AJL32 adalah lagu Sejati dinobatkan sebagai naib juara. Menurut Azmeer, lagu ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang didendangkan Azmi Caliph Buskers itu tewas tipis kepada lagu Jampi.

Sementara itu penyanyi baharu, Haqiem Rusli berjaya membuktikan kemampuan diri apabila memenangi tempat ketiga menerusi lagu popularnya, Tergantung Sepi. Lagu ciptaan Gouffran dan Ibnu itu cukup popular dalam kalangan peminat muzik apabila berjaya meraih 23 juta tontonan di laman perkongsian video, YouTube.

“Kemenangan ini berjaya membuktikan penyanyi pelapis baharu seperti saya mempunyai kualiti dan keistimewaan tersendiri. Jika tidak, masakan lagu-lagu penyanyi generasi baharu mencapai jumlah tontonan yang tinggi di YouTube. Apa pun kemenangan ini telah menyuntik semangat saya untuk menjadi penyanyi lebih baik pada masa depan,” ulas Haqiem.

Penyanyi lain yang turut bertanding ialah Hazama (Aku Yang Sebenar), Wani Hasrita (Menahan Rindu), Salma (Akhirnya, Cinta), Dayang Nurfaizah (Separuh Mati Ku Bercinta), Ara Johari (Warkah Untuk Ku) dan Khai Bahar (Bayang).

Secara keseluruhan, penganjuran AJL32 disifatkan yang terbaik daripada segi persembahan pentas, peserta dan juga kelancaran acara.

Alif Satar dan Sherry Al-Hadad dilihat berjaya menjalankan tugas selaku pengacara dengan cukup baik pada masa sama mengekalkan humor serta prestij AJL32 itu sendiri.

Tiada apa yang lebih manis buat penyanyi Hael Husaini apabila single berhantunya, Jampi menduduki tempat pertama dalam Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang berlangsung malam Ahad lalu. Kemenangan itu sekali gus mengangkat profil Hael ke satu tahap yang lebih tinggi.