Mengaku menghadapi tekanan agar tidak terbuai ego atau terpesong niat selepas Nur meledak kata Ezad, apa yang dipersembahkan kepada penonton adalah sebuah naskhah tentang kehidupan yang penuh dengan sikap prejudis dan skeptikal terhadap seseorang.

“Naskhah ini sebenarnya hanya sebuah cerita klise tentang dua darjat. Cuma yang menjadi lainnya adalah darjat itu diletak dalam balutan golongan pelacur dan alim, bukan antara orang kaya dengan si miskin,” kata Ezad.

Sentiasa duduk dalam garis realistik kata Ezad, dia berasa telah ‘menampar’ dirinya sendiri dengan skrip yang dihasilkan kerana begitu dekat dengan kehidupan. Ezad juga memberitahu, apa yang mahu disampaikan menerusi Nur bukanlah sesuatu yang menyentuh tentang hukum hakam. Sebaliknya, Ezad mahu menunjukkan kasih sayang Allah kepada semua golongan sama ada pendosa atau tidak. Itu intipati sebenar naskhah Nur yang telah menjadi agenda wajib tonton hampir seluruh isi rumah.

Ezad memberitahu idea menghasilkan Nur bermula daripada tarikan sebuah kisah yang dibacanya dalam Facebook.

“Saya baca tentang seorang lelaki yang menangis gementar sewaktu mahu menyentuh tangan isterinya untuk membatalkan air sembahyang selepas bernikah. Saya melihat betapa sucinya seseorang itu, sementara pada satu dunia lain, ada golongan seumpama pelacur yang dicantumkan dalam naskhah ini,” ujar Ezad yang memberitahu idea tersebut kemudian diterima tuntas oleh pihak TV3.

Selepas merentap emosi khalayak dengan pelbagai pengajaran, ilmu, kesedaran dan realistiknya sebuah kehidupan yang juga akrab dengan diri kita, Nur bakal menamatkan pengkisahannya malam ini.

Adakah Ustaz Adam (Syafiq) dan Nur (Amyra) mampu dibalut bahagia serta apa kesudahan Cik Mona (Laila) juga Ustaz Hamadi (Azhan Rani) dan Aishah (Noorkhairiah) pada episod akhir. Ezad hanya tersenyum saat ditanya bagaimana dia menyimpul Nur. Adakah ia terikat kemas tidak mampu diurai atau bakal mempunyai penyambungnya.

Ringkas kata Ezad: “Sediakan tisu banyak-banyak!”

Angkat isu tabu - Syafiq

Satu hal tentang Nur yang dirasai sendiri oleh para pelakonnya adalah tiada satu babak pun yang membosankan. Ia diakui sendiri oleh pemain utamanya, Syafiq Kyle.

“Sebagai pelakon, saya boleh katakan yang drama Nur ini tidak bosan. Setiap babak mempunyai pengisian tersendiri dan berkait dengan babak seterusnya.

“Katakan penonton terlepas menonton satu episod, barangkali mereka akan mengalami kesukaran untuk memahami konteks pengisian seterusnya,” katanya.

Menurut pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, itu lagi, magnet yang ada pada Nur mungkin juga disebabkan oleh kekuatan skrip serta jalan cerita yang diangkat oleh pengarah.

“Tidak banyak naskhah yang mengangkat satu isu tabu untuk diperdebatkan secara komersial. Barangkali, disebabkan hal itu Nur mencetuskan kegilaan luar biasa dalam kalangan khalayak,” katanya lagi.

Amyra jatuh cinta dengan Nur

Pelakon Amyra Rosli sama sekali tidak menyangka watak pelacur bernama Nur yang dibawa dalam drama ini akan menaikkan semula namanya dalam dunia lakonan. Sebelum ini isteri kepada pelakon Amar Baharin itu mengambil keputusan untuk berehat daripada lakonan kerana hamil dan melahirkan anak sulungnya, Aqeef Anaqi, lapan bulan.

“Memang tidak sangka impak drama ini sangat berbaloi untuk kemunculan semula saya dalam lakonan. Hari ini ke mana pergi orang akan memanggil saya dengan nama Nur. Melihat orang ramai begitu sayang dengan watak Nur membuatkan saya cukup gembira kerana ia bermakna lakonan bukan saya sahaja tetapi semua pelakon dalam drama Nur meninggalkan kesan mendalam buat penonton,” kata Amyra.

Disebabkan jatuh cinta dengan skrip yang disifatkan cukup berbeza dan sarat dengan pengajaran, Amyra sanggup mengambil risiko meskipun tidak pernah memegang watak pelacur sebelum ini.

Lebih daripada itu, katanya adalah merupakan kerugian besar kalau dia melepaskan peluang berlakon sama dengan barisan pelakon yang hebat termasuk pengarahnya, Ezad, yang cukup dipercayai dapat mencorakkan watak dengan baik.

“Kekuatan drama Nur adalah skrip yang amat berkualiti dan semangat kerja berpasukan yang kuat. Apa yang seronoknya bukan saya tetapi penonton sambil berhibur sama-sama dapat pengajaran tentang agama, keluarga dan cinta.

“Hari ini drama Nur akan sampai ke penghujungnya, saya berasa sedih, gembira dan bersyukur kerana fenomena yang di luar jangkaan. Terima kasih semua yang memberi sokongan daripada awal sehingga ke akhir,” ujar Amyra yang akan bercuti bersama keluarga selepas sambutan Syawal.

Laila mula dapat watak berat

Hakikatnya, siapa yang mahu menghabiskan kehidupan di lorong gelap. Menjadi pelacur bukanlah impian seorang wanita, namun untuk persembahan dalam sebuah naskhah di layar perak mahupun televisyen, pelacur antara watak mahal untuk dijayakan.

“Watak pelacur atau orang gila dan watak-watak yang bukan diri kita secara total menjadi dambaan banyak pelakon. Sebenarnya ia terpulang kepada pelacur bagaimana yang hendak saya lakonkan. Cik Mona adalah watak berat pertama yang perlu dijayakan. Susahnya menjadi pelacur untuk tontonan sekeluarga pada bulan puasa adalah kena menjaga banyak aspek, pakaian tidak boleh terdedah, tiada adegan merokok atau terkinja-kinja sebaliknya saya paparkan banyak emosi, gantikan rokok dengan kopi dan kalau ada yang perasaan saya hanya banyak pakai baju kelawar,” cerita Laila.

Gara-gara watak sebegitu juga nama karakter Cik Mona lakonan Laila Nasir tiba-tiba mengasak keinginan mahu mendekati, siapa wanita sarat emosi itu.

Menjelang penamat fenomena Nur malam ini, Laila sebenarnya menyimpan gemuruh. Bukan sahaja risaukan jangkaan peminat terhadap pengakhiran drama berkenaan tetapi lebih penting juga, graf karier lakonannya selepas ini.

“Sudah ramai mengharapkan karya seterusnya yang setanding Nur daripada saya. Itu yang dirisaukan sebenarnya. Sebab karya seperti Nur, tidak selalu datang dalam hidup kita. Untuk penamat Nur malam ini, rasanya peminat mahu lihat kesudahan kerinduan antara Nur dan Cik Mona, adakah sempat bertemu memandangkan penyakit Cik Mona sudah melarat,” jelasnya yang akan memulakan penggambaran sebuah drama bersiri bertajuk Ripin Batu Murai arahan Sabri Yunus selepas hari raya.

Laila, bukan orang baru. Seawal penglibatan dalam dunia seni, Laila pernah menjayakan filem-filem seperti Bayangan Maut dan Harry Boy, kehadirannya dalam Nur ibarat kemunculan semula Laila, 47, yang telah 13 tahun menyepi dari dunia seni.

Impak watak Amirul buat Atiq

Pendatang baharu Atiq Azman berasa bertuah kerana watak Amirul yang dipegang cukup dekat dengan dirinya.

Membawa watak adik kepada Ustaz Adam yang terlihat begitu polos dan naif, Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah pernah belajar di sekolah tahfiz seperti mana watak Amirul.

“Saya bersyukur kerana pengalaman selama tiga tahun belajar di sekolah tahfiz amat membantu untuk membawa watak Amirul. Namun, saya agak terkejut walaupun ia hanyalah watak sampingan, tetapi impak yang diterima cukup luar biasa.

“Rasanya lebih ramai orang panggil saya dengan nama Amirul daripada Atiq. Walaupun masih kekok dengan sambutan luar biasa ini, tetapi saya seronok,” ujar Atiq.

Bercakap tentang perancangan karier, Atiq menjelaskan dia bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam masa terdekat.

“Jika mahu memantapkan kerjaya lakonan saya perlu ada ilmu. Justeru itu, saya akan melanjutkan pelajaran di Aswara dan dalam masa yang sama akan teruskan kerjaya lakonan seperti biasa,” kongsi Atiq.

Azhan Rani gembira dibenci

Ramai yang geram dan kalau diikutkan perasaan, mahu sahaja lelaki bernama Ustaz Hamadi itu disepak sekiranya terserempak di tengah jalan. Dengan wajah serius seolah-olah tiada perasaan takutkan dosa, kerja lakon oleh Azhan Rani itu ironinya sangat digemari. Di sebalik lensa kerja Ezad, Azhan sebenarnya puas menikmati kebencian umum dengan cara tersendiri.

“Saya cuma berseronok dan memberi sepenuh komitmen mempromosikan kerja pasukan Nur. Karya dengan sambutan sebegini tidak selalu datang. Jadi, nikmati sahaja.

“Satu perkara lagi, bijaknya Ezad dalam membikin Nur adalah pendekatannya yang tidak membazir. Maksud saya, semua watak dalam drama ini ada makna dan memberi impak terhadap jalan cerita,” kata Azhan sambil menyedari harapan peminat terhadap pembalasan bakal diterima Ustaz Hamadi pada hujung episod malam ini.

Tambahnya, jika ada yang mengharapkan balasan setimpal atas kemunafikannya selama ini, jangkaan tersebut mungkin akan sedikit tersasar.

“Pengakhiran Nur malam ini ada dua perkara termasuklah, adakah Hamadi akan menemui Nur di rumah mertuanya dan bagaimana nasib Darul Mukhsin selepas ini? Ramai yang menganggap drama ini banyak pengajaran tetapi bagi saya, ia lebih terhadap penilaian penonton. Pada hujungnya, Ezad mahu membiarkan karya itu sendiri yang berbicara tanpa memberi satu justifikasi atau mengajar kita semua. Zaman sekarang orang tidak lagi suka diajar,” kata Azhan.

Pengarah, Shahrulezad Mohameddin wajib mendapat tepuk gemuruh kerana penghasilan Nur yang segar dan begitu realistik selain lima antara pemain naskhah tersebut iaitu Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Laila Nasir dan Atiq Azman perlu dilimpahi pujian sebagai semangat kerana keberkesanan watak masing-masing. Nur menjadikan radar dunia hiburan terutama drama rantaian pada bulan Ramadan begitu sensasi.