Filem tersebut menjadi debut pertama karya Hollywood yang dibintangi oleh Dong-won setelah lebih 15 tahun berkelana sebagai anak seni.

“Saya berasa teruja dan tidak sabar untuk menjayakan filem tersebut bukan kerana ia merupakan naskhah Hollywood pertama tetapi ia turut menjadi tapak awal melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa,” terang aktor berusia 37 tahun itu saat ditemui di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Memandangkan Tsunami LA menjadi filem pertamanya di pentas antarabangsa, Dong-won enggan tampil bersahaja tanpa melakukan sebarang persediaan.

Meskipun telah menjulang trofi Anugerah Bintang Asia pada Festival Filem Asean New York ke-16 menerusi filem Vanishing Time: A Boy Who Returned pada tahun lalu, Dong-won tetap berpendapat mutu lakonannya masih perlu diperbaiki.

Selain mempertingkatkan kualiti lakonan, Dong-won mendedahkan, dia mengikuti kelas bahasa Inggeris bagi membantunya bertutur dengan fasih dalam filem tersebut.

“Filem ini akan memulakan penggambaran sekitar bulan Jun depan. Saya masih mempunyai sekitar dua bulan untuk membuat persiapan terutama meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

“Tambahan, ini merupakan percubaan pertama berlakon filem antarabangsa, justeru saya enggan menghampakan sokongan peminat yang tidak henti memberi sokongan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjaya lakonan, Dong-won yang kini memegang status sebagai pelakon senior mengakui dirinya tidak pernah meletakkan sebarang keinginan terhadap watak.

Katanya, merealisasikan pelbagai jenis watak merupakan tanggungjawab kerana ia merupakan tugas seorang pelakon dalam industri seni.

“Sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan, saya tidak pernah selektif, apatah lagi mengambil watak tertentu sahaja. Pada saya, setiap watak mempunyai cabaran dan cara tersendiri untuk dilakonkan,” terang pelakon filem Golden Slumber itu bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, Dong-won turut menasihati pelakon baharu agar tidak terlalu memilih dalam soal watak kerana setiap karakter mempunyai sudut pandangan dan ceritera tersendiri.

Pengalaman pertama

Tidak lekang mengukir senyuman, jejaka berbintang Capricorn itu mengakui teruja dengan sambutan serta sokongan peminat tempatan.

Pertama kali hadir ke Malaysia, Dong-won nyata tidak menyesali keputusannya berbanding pilihan negara sebelum ini.

“Pada awalnya kami merancang untuk ke Singapura tetapi setelah berbincang, pihak pengurusan membuat keputusan memilih Malaysia.

“Secara peribadi, saya sendiri tidak pernah berkunjung ke Malaysia dan berpendapat ia pasti akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan,” jelas Dong-won tersenyum.

Selain mengadakan kunjungan sulung ke Malaysia, Dong-won turut mengadakan acara perjumpaan bersama 100 orang peminat yang dilakukan di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada awal April lalu.