Menurut Tam yang ditemui di studio Utusan baru-baru ini, idea pembikinan telefilem itu diperoleh daripada pemerhatian persekitaran sekelilingnya. Meskipun masih menggunakan tema cinta dan perkahwinan yang menjadi kegilaan penonton Malaysia, namun terdapat kejutan dalam jalan ceritanya.

“Biasanya watak wanita berhijab digambarkan sebagai lemah dan selalu menjadi mangsa keadaan. Berbeza dalam telefilem Cinta Tanpa Syarat, wanita hijab ditonjolkan sebagai orang yang berpendidikan, bijak dan berani. Selain itu drama ini turut menyelitkan unsur komedi yang akan menghiburkan penonton,” kata Tam.

Bercakap tentang pemilihan pelakon, kata Tam tentang telefilem yang turut dibintangi oleh Kilafairy, Haris Baba, Haris Zainuddin, Irine Santiago, Dafi Ismail dan Stefan Andersen itu, kebanyakan mereka pernah bekerjasama dengannya menerusi projek sebelum ini. Bagaimanapun sebagai pengarah, dia mengambil kira kesesuaian watak berbanding persahabatannya dengan pelakon itu sendiri.

“Ya, memang ramai antara mereka merupakan rakan saya. Namun, saya melihat kesesuaian watak sebelum membuat tawaran lakonan. Sebagai contoh, Elfira merupakan rakan lama saya, tetapi ini kerjasama kali pertama kami berdua. Begitu juga dengan Stefan, saya mengenalinya menerusi satu program uji bakat.

“Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, tetapi bakatnya cukup besar. Oleh sebab itu, saya memberinya peluang untuk mencuba nasib dalam drama Melayu,” katanya lagi tentang telefilem yang menjalani penggambaran selama lapan hari itu.

Dalam pada itu, pelakon cantik Kilafairy berkongsi pengalaman memegang watak sebagai Keisha, seorang model yang bercinta dengan anak orang kaya. Walaupun sudah banyak kali memegang watak wanita seksi, tetapi kali ini sangat berbeza.

“Biasanya kalau watak model, mesti seorang kaki kikis atau jahat. Namun, watak Keisha seorang model yang begitu naif. Tidak sukar untuk bawakan watak ini kerana sudah terbiasa bekerja dengan Tam. Sebelum ini kami pernah bekerjasama untuk telefilem Pengancam Perkahwinan pada 2013,” kongsi Kilafairy.

Bahasa Melayu

Menyentuh tentang penampilan sulung Stefan dalam drama Melayu, meskipun dia masih baharu dan tidak fasih Bahasa Melayu, jelas Kilafairy semangatnya cukup dikagumi.

Menurut Kilafairy, Stefan tidak segan untuk meminta tunjuk ajar orang sekeliling terutamanya dalam penggunaan bahasa Melayu.

“Memang agak mencabar apabila terdapat pelakon yang tidak fasih berbahasa Melayu dalam drama Melayu. Namun, semangat ingin belajar Stefan cukup besar. Jika tidak faham, dia akan bertanya dan berusaha melakonkan satu babak dengan sempurna. Jika dia tidak berpuas hati, dia sendiri yang minta untuk mengulangi semula lakonan tersebut,” kata Kilafairy.

Biarpun ini merupakan drama pertamanya Stefan, 21, dia mempunyai pengalaman dalam bidang pengiklanan dan juga teater. Cabaran utama pelakon berdarah kacukan, Melayu (bapa) - Denmark (ibu) itu adalah terpaksa bertutur dalam bahasa Melayu.

Stefan yang lahir di Denmark dan menetap di Malaysia selama 17 tahun menjelaskan, dia tidak fasih berbahasa Melayu kerana di rumah ibu bapanya bertutur dalam bahasa Danish (bahasa ibunda Denmark) selain bahasa Inggeris.

“Saya baru belajar bahasa Melayu sejak bertemu dengan Tam. Bagi saya tidak terlewat untuk mempelajari Bahasa Melayu kerana ramai orang sekeliling seperti rakan artis memberi tunjuk ajar.

“Peluang berlakon dalam drama seperti tidak datang selalu. Oleh itu saya tidak mahu masalah bahasa menjadi penghalang untuk kembangkan bakat dalam industri lakonan di Malaysia,” kata Stefan.