Mereka ialah Issey Fazlisham dan Shahrol Shiro selain mengekalkan Fizi Ali. Trio baharu itu mula bersiaran sejak 6 Ogos lalu bermula pukul 6 hingga 10 pagi. Segmen tersebut bersiaran dari hari Isnin hingga Jumaat.

Sebelum ini, Shahrol pernah menyertai Suria FM selama tiga bulan bermula Julai tahun lalu sebelum menamatkan khidmatnya pada Oktober. Dia kemudiannya bergelar penyampai di stesen Best FM di Johor selama enam bulan sebelum kembali ke Suria FM.

Menurut Pengurus Kanan Program Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, gabungan trio tersebut merupakan antara formula terbaharu yang cuba ditampilkan di stesen radio itu bagi membantu menaikkan rating pendengar.

“Ia bukan sahaja tentang jumlah pendengar di corong radio, bahkan juga untuk atas talian. Keputusan menggabungkan ketiga-tiganya dibuat kerana mereka memiliki kelebihan dan keserasian ketika bersama di konti,” katanya.

Seiring dengan pembaharuan demi memperkukuhkan jenama Suria FM, stesen tersebut turut mengambil langkah menyajikan pelbagai kandungan program yang lebih segar dan dekat di hati pendengar.

Antara pembaharuan yang dilakukan adalah Suria FM menjemput 100 orang selebriti untuk ke udara setiap hari bermula 6 hingga 31 Ogos ini menerusi program 100 Selebriti Suria.

Selebriti-selebriti tersebut akan ke udara menerusi kesemua empat slot utama di Suria FM iaitu Team Pagi Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

Waktu bekerja

Sementara itu menurut Issey yang sebelum ini bertugas di stesen radio Hot FM menyifatkan penglibatannya dalam keluarga Suria FM adalah kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya.

“Jadual bekerja yang bersiaran pada waktu pagi merupakan salah satu faktor mengapa Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 31, menerima tawaran bekerja di situ.

“Saya hanya mengambil masa selama seminggu untuk menerima tawaran ini kerana kontrak bersama stesen lama sudah berakhir pada hujung Julai lalu. Jadi rezeki yang datang adalah yang terbaik daripada Tuhan.

“Memandangkan saya mula bertugas pada waktu pagi, jadi ia memudahkan saya untuk menguruskan kehidupan seharian. Berbanding dengan sebelum ini waktu bekerja adalah petang, jadi ia agak mengganggu tumpuan saya melakukan kerja lain,” katanya yang memiliki perniagaan JMT Cafe di Segambut, Kuala Lumpur.

Bagi Fizi Ali pula yang kekal sebagai penyampai untuk segmen pagi berbesar hati dan terbuka menerima kedatangan dua rakan penyampainya yang baharu demi memberikan pembaharuan terbaik untuk pendengar setia Suria FM.

Manakan tidak, ini merupakan kali pertama Fizi bekerjasama dengan rakan sekerja lelaki berbanding sebelum ini dia kerap digandingkan bersama penyampai wanita.

Sebelum ini Fizi atau nama lengkapnya, Muhd. Hafizudin Alimudin digandingkan bersama Zulin Aziz dan Sharifah Shahira.

“Bagi saya, pemilihan rakan penyampai sama jantina lebih memudahkan kerja kerana sebagai seorang lelaki, kami mudah memahami antara satu sama lain. Contohnya tentang hobi.

“Berbanding dengan rakan wanita, saya perlu memahami mereka terlebih dahulu kerana ada sedikit perbezaan. Malah disebabkan jarak usia yang lebih kurang sama membuatkan kami lebih selesa untuk bergaul dan tiada jurang yang memisahkan,” katanya yang sudah berkhidmat selama tiga tahun di Suria FM.