Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 19, berkata, dia sedang mengumpulkan bukti-bukti dan paparan skrin akaun berkenaan bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kelak.

“Sejak minggu lalu, saya sudah mula mengumpulkan bukti-bukti yang berkaitan selepas menerima banyak aduan daripada peminat menerusi ruangan mesej di Instagram.

“Benar, agak lama juga untuk saya kumpulkan bukti memandangkan akaun tersebut meninggalkan komen di merata tempat.

“Jadi, apabila sudah cukup sehala bukti, saya akan terus membuat laporan polis sebagai tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Menerusi bukti-bukti yang dikumpulkan, akaun-akaun berkenaan menggunakan nama Syazwani Sapari, iaitu nama komersialnya sewaktu menyertai program Kamilah Bintang.

Gambar yang digunakan adalah gambar penyanyi itu menggunakan seluar ketat yang telah dipotong bahagian kepalanya.

Menurut penyanyi lagu Saat Terindah itu, akaun berkenaan meninggalkan komen-komen berbaur seksual terutama pada gambar kanak-kanak perempuan yang masih kecil.

Justeru, tambah Wani, diua berharap agar ibu bapa lebih berhati-hati dan tidak terlalu terbuka berkongsi gambar anak mereka di internet.

“Kita tidak boleh jangkakan apa yang akan berlaku. Jadi, lebih baik fikir berkali-kali sebelum memuat naik gambar anak-anak ke mana-mana platform medisa sosial.

“Selain itu, saya juga berharap agar pengguna dapat membuat laporan terus kepada Facebook jika terlihat akaun-akaun pedofilia atau akaun yang mencurigakan,” katanya lagi. - K! ONLINE