Konsert tersebut menghimpunkan lima buah band di atas satu pentas iaitu Search, Bunkface, Hujan, Oh Chentaku serta band popular dari Indonesia, Nidji.

Persembahan bermula sejak petang dengan penampilan Oh Chentaku, Bunkface dan Hujan diikuti dua band gergasi iaitu legenda rock Search dan Nidji pada sebelah malam.

Melihat kelompok peminat yang hadir pada malam itu, dapat dilihat ia dilapisi oleh pelbagai peringkat umur tidak kira tua atau muda remaja.

Terakhir

Seperti biasa, Nidji yang memang sinonim dengan gaya persembahan penuh energi tidak pernah mengecewakan peminatnya.

Penampilan kumpulan tersebut pada malam itu akan menjadi kemunculan terakhir mereka sebelum Nidji berehat selama dua tahun selama dua tahun untuk memberi laluan kepada vokalisnya, Giring Ganesha menyambung pengajian sebelum bergelar wakil rakyat.

Memilih seleksi lagu popular yang telah biasa didengar oleh peminat di Malaysia seperti Hapus Aku, Sang Mantan, Biarlah, Sudah dan Laskar Pelangi, tentulah penampilan mereka pada malam itu akan meninggalkan momeri manis tersendiri buat penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai Nidjiholic.

“Kamu semua sangat hebat. Doa kami kepada semua yang ada pada hari ini dikurniakan kesihatan baik, kerja bagus, keluarga bahagia dan kepada yang masih solo, semoga cepat bertemu jodoh,” ucap Giring kepada peminatnya sambil berseloroh.

Interaksi yang baik antara mereka dengan peminat menghidupkan suasana walaupun sistem bunyi pada waktu itu agak mengecewakan apabila suara Giring sedikit tenggelam.

Memasuki slot terakhir persembahan, kumpulan Search tampil ke pentas menghangatkan suasana dengan tujuh buah lagu daripada album terbaharu Katharsis iaitu Henjut, Gagalista, Nama Yang Kau Lupa, Sidang Kanggaro, Bebas Liar, Embun dan Sulalatus Salatin.

Ia juga merupakan penampilan pertama Search membuat persembahan secara langsung selepas album terbaharu itu dilancarkan.

Untuk peminat setia Search yang menggelarkan diri mereka sebagai Dunia Search, persembahan tersebut begitu mengujakan, namun buat pengunjung yang hadir kerana ingin mendengar untaian hit lama kumpulan tersebut, tujuh buah lagu baharu yang dimainkan masih belum dapat mencuri tumpuan mereka.

Sehingga apabila Amy mengalunkan lagu berhantu mereka, Isabella, situasi kembali gamat sekali gus membuatkan peminat kembali berasak-asak untuk ke depan pentas dan menyanyi bersama.

Persembahan kemudian diteruskan dengan untaian lagu popular lain seperti Gothik Malam Edan, Diari Habil Qabil, Kereta Merah, No Way, Fantasia Bulan Madu dan Pelesit Kota.

Tidak dinafikan bahawa lagu-lagu lama sangat sinonim dengan peminat kerana kebanyakan daripada mereka membesar dengan kesemua lagu malar segar tersebut.

Namun percubaan Search untuk memperkenalkan lagu baharu mereka kepada peminat pada malam itu dilihat sebagai langkah yang betul meskipun kurang mendapat sambutan.

Pun begitu, sikap profesional yang ditunjukkan kumpulan legenda itu harus dipuji meskipun menyedari sebilangan kelompok peminat hilang dari pandangan, mereka tetap meneruskan persembahan dan memberikan yang terbaik.

Gabungan band daripada dua generasi seperti Konsert Gegaran 2017 berjaya menarik minat penonton untuk hadir menyaksikan persembahan pada malam tersebut.

kn