Maka, tidak hairanlah, rata-rata karya khususnya filem acap kali menampilkan barisan muka pelakon yang punya nama untuk menjadi tunjang utama. Ini kerana, dengan mengambil kira formula seperti itu, secara tidak langsung meletakkan kebarangkalian yang tinggi dalam usaha menarik perhatian umum untuk menonton naskhah berkenaan.

Bagaimanapun, lebih menarik apabila sesebuah karya itu berjaya menggabungkan barisan pelakon bukan sahaja daripada aspek populariti, tetapi pada masa sama berbakat dan diklasifikasikan sebagai pelakon gred A. Itulah yang cuba ditonjolkan dalam filem terbitan Resilience Studios Sdn. Bhd. apabila bakal muncul dengan filem berjudul Bikin Filem.

Melihat kepada barisan pelakon yang membintanginya sahaja sudah membuatkan ramai yang tidak sabar menunggu kemunculannya nanti. Mana tidaknya, karya arahan M. Latiff Azmi itu menampilkan pelakon Scha Alyahya, Erra Fazira, Sherry Alhadad, Azhan Rani, Sharifah Sakinah, Mark Adam, Azhar Sulaiman, Amerul Affendi, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Kisah realiti

Membawa satu jalan cerita yang unik dan segar, Bikin Filem cuba merakamkan perjalanan kisah benar yang terjadi dalam industri perfileman negara khususnya kepada mereka yang terdiri penggiat seni hiburan tanah air. Bagi pengarahnya, Mohd. Latiff Azmi, dia melihat jalan cerita tersebut sebagai suatu idea yang lain daripada kebanyakan filem yang ada di pasaran.

Pada masa sama, secara tidak langsung, katanya, ia dapat membuka mata banyak pihak di luar sana untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai konflik, isu, ragam dan ‘permainan’ orang industri sendiri yang mungkin selama ini tidak pernah didedahkan kepada umum secara terbuka.

Bukan mahu membuka pekung orang industri, sebaliknya filem ini katanya dilihat sebagai satu medium yang baik khususnya kepada penonton di luar sana untuk sama-sama menghayati perit jerih penggiat seni perfileman dalam menghasilkan sesuatu karya itu.

“Dalam filem ini kita paparkan ragam sebenar orang dalam industri yang bertungkus-lumus dalam menjayakan sesebuah naskhah itu. Apa yang dilihat selalu hanyalah produk akhir sahaja. Bagaimanapun, dalam filem ini kita cuba bawakan secara terperinci peranan-peranan yang ada dalam kru produksi itu.

“Bukan itu sahaja, isu-isu yang sering berbangkit antara pelakon, pengarah dan juga penerbit juga kita cuba tonjolkan secara tidak langsung kepada umum,” kata Latiff yang juga merupakan anak kepada aktor terkenal, arwah Zami Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Uda itu.

Jelasnya lagi, lebih 90 peratus jalan cerita mengenai konflik yang cuba dikupas dalam filem itu nanti diambil daripada kisah-kisah yang benar terjadi di sekelilingnya sendiri sepanjang bergelar penggiat seni. Biarpun ada yang menyifatkan intipati filem itu seperti cuba menyindir pihak-pihak tertentu, Latiff memberitahu, itu terpulang kepada seseorang individu untuk menginterpretasikan apa yang cuba disampaikan dalam naskah itu nanti.

“Kita tiada niat mahu menyindir mana-mana pihak secara khusus. Kita cuma sampaikan kejadian-kejadian yang pernah berlaku termasuklah antaranya hubungan antara penerbit dan pelakon. Siapa makan cili, mungkin dialah yang terasa pedasnya,” kongsinya.

Menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor, filem yang sedang memasuki proses pasca produksi itu dijangka akan menemui penonton di pawagam tahun depan.

“Pasukan produksi kali ini agak ramai kerana konsep cerita ini memaparkan di sebalik tabir pembikinan filem. Jadi, kita memaparkan cerita filem dalam filem di mana para pelakon sebenar yang menjayakan watak-watak sebagai kru produksi,” kongsinya pengarah yang pernah tampil dengan naskhah popular menerusi drama bersiri Dunia Baru itu.

Potong rambut

Bagi teraju utamanya, Scha Alyahya, filem ini boleh disifatkan sebagai kemunculan semulanya di layar perak selepas sekian lama tidak tampil dengan sebarang filem. Mana tidaknya, kali terakhir lakonannya di panggung hanyalah kira-kira lima tahun yang lalu menerusi filem Dampak dan Awan Dania The Movie.

Selepas itu, isteri kepada pengacara popular Awal Ashaari itu hanya lebih banyak duduk di kaca televisyen sahaja. Biarpun begitu, katanya, tawaran yang diterima dalam Bikin Filem ini diharap menjadi satu permulaan baharu buatnya untuk terus melebarkan minat untuk terus dikenali sebagai aktres filem.

Justeru, dalam filem ini juga, kata Scha, dia membuat penampilan baharu apabila tampil berambut pendek demi menjayakan wataknya sebagai Zarina. Menurut Scha dia mengambil pendekatan berani itu dalam menukar imej atas hasratnya sendiri.

“Saya sudah lama tidak keluar dengan filem. Jadi, saya merasakan, perlu ada sesuatu yang lain daripada lain khususnya daripada aspek penampilan fizikal. Atas sebab itu jugalah saya membuat keputusan untuk berambut pendek dalam filem ini.

“Selepas saya beritahu pengarah hasrat itu, rupa-rupanya dia juga mahukan saya imej sebegini,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Scha lagi, dia juga menafikan dakwaan bahawa dirinya dibayar tinggi kerana sanggup tampil dengan imej baharu sedemikian.

“Isu mengenai bayaran itu tidak ada pun. Lagipun kalau mahu rambut pendek atau panjang, ada alternatif lain seperti memakai rambut palsu. Saya dibayar sama sahaja dengan pelakon lain setimpal dengan kerja yang ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Scha lagi, dia banyak bermain dengan emosi dalam filem ini. Ia merupakan satu cabaran yang agak besar kerana dia perlu memastikan permainan emosinya itu benar-benar dapat dirasai oleh penonton. Mengakui bukan mudah, namun kata Scha dia sudah memberikan sehabis baik.

“Ada babak di mana cubaan rogol oleh bapa saudara dipaparkan dalam cerita ini. Di situlah saya perlu bermain dengan emosi yang cukup berat kerana nak tunjukkan perasaan yang bergaul antara sedih, marah dan tertekan,” katanya.

Sementara itu, bagi Erra Fazira pula, biarpun dilabel sebagai primadona, katanya, dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai pelakon yang sentiasa perlu berada sebagai tunjang utama. Bahkan, dalam filem ini katanya, dia juga tidak memegang watak utama.

“Peranan sebagai watak utama atau tidak, bukanlah lagi keutamaan. Apa yang lebih penting karakter yang ingin digalas itu dan jalan cerita sesebuah filem yang ditawarkan.

“Filem ini biarpun genre komedi tetapi mesej yang ingin disampaikan berat sebenarnya. Itu antara sebab saya terima tawaran yang diberikan,” katanya yang memegang watak sebagai Datin Azizah yang merupakan seorang penerbit.