Bagaimanapun, Aidilfitri kali ini merupakan sambutan perayaan sulung buat Forteen, meraikannya secara bertiga tanpa bekas ahlinya, Izzue Islam yang mengundurkan diri secara mengejut pada November tahun lalu.

Forteen kini hanya dibarisi tiga jejaka yang masih kental dalam memperjuangkan muzik mereka iaitu Ariz Lufias, One dan Ameerais Azhar.

Bahkan, sesi fotografi sempena edisi raya tahun ini juga merupakan kali pertama mereka digandingkan sebagai Forteen dengan imej dan nafas baharu.

Biarpun sudah kehilangan seorang ahli selepas tujuh tahun bertahan bersama-sama, situasi itu sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat ahli-ahli lain untuk terus membawa nama kumpulan itu kembali gah dengan kudrat yang mereka ada.

Terima hakikat

Siapa sahaja yang tidak berasa sedih dengan sesuatu kehilangan. Apatah lagi mereka sebelum ini sudah bersama-sama selama tujuh tahun.

Bagaimanapun, bagi mereka, kehilangan itu tidak seharusnya dibiar menghanyutkan mereka. Ini kerana Forteen merasakan mereka masih mempunyai pengikut setia yang sering memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Justeru, sokongan itulah yang menjadi nadi dan sumber kekuatan mereka untuk terus bangkit.

“Kalau tanya kami, sudah pasti ada rasa perbezaan. Jika dahulu, kami masih berempat, sekarang ini sudah bertiga sahaja.

“Apapun, kalau ikutkan suasana ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ini kerana sebelum ini kami juga pernah bergerak beberapa kali melakukan persembahan dengan ahli yang tidak mencukupi sekiranya ada yang terikat dengan jadual kerja lain.

“Lagipun, masing-masing sudah besar dan rasanya sudah boleh set pemikiran bahawa kita perlu terima kenyataan dan teruskan perjalanan sedia ada,” luah One,30, atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Sharifuddin.

Biarpun begitu, bagi Ariz Lufias,30, pula, dia menyifatkan Forteen sebagai band lelaki yang cukup lama bertahan dalam industri hiburan tempatan biarpun di sebalik cerita pengunduran Izzue.

“Jujur sewaktu kami mula masuk dalam industri, pengasas kami beritahu biasanya band begini bertahan untuk tempoh tiga hingga lima tahun sahaja.

“Bagaimanapun, kami bertahan lebih daripada lima tahun. Jadi, tempoh tujuh tahun itu juga membuktikan Forteen sudah berjaya memecahkan tradisi. Jadi, itu sesuatu yang kita patut banggakan kerana dapat bertahan sehingga sekarang,” cerita pemilik nama sebenar Saiful Ridzuan Abdul Hamid itu pula.

Dalam pada ungkap Ameerais,29, walaupun sudah kehilangan seorang ahli, perjalanan dan pengurusan band juga sentiasa mudah.

“Kalau sebelum ini kita perlu fikir jadual untuk empat orang, sekarang ini tiga sahaja. Cuma, dari segi pengurusan jadual itu tidak jauh beza. Namun, boleh dikatakan ia jadi lebih mudah sedikit.

“Dengan erti kata lain, lebih senang nak buat keputusan. Tambahan pula, kami sekarang diuruskan oleh Indigital Sdn. Bhd. Maka, aturan perjalanan karier kami itu jadi lebih tersusunlah selepas ini. Pada masa sama, karier solo kami juga berjalan seperti biasa tanpa disekat,” kongsi pemilik nama sebenar Mohamad Arif Ameerais Azhar itu ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Hasil lagu

Forteen kini juga merasakan mereka perlu melalui transformasi dari aspek perkembangan muzik mereka. Tidak sekadar menyanyikan lagu komposer luar, mereka kini mengakui mula berjinak-jinak dalam dunia penghasilan lagu pula.

Justeru, kata Ariz, mereka tidak hanya mahu dikenali sebagai sebuah band yang menyanyi, sebaliknya meletakkan sasaran sebagai seorang penulis dan komposer lagu pada masa akan datang.

“Kami sudah mula berjinak-jinak menulis lagu dan menghasilkan lagu sendiri. Bahkan menerusi single terbaharu kami Diam Saja, lirikya juga ditulis oleh kami bertiga.

“Ada juga beberapa lagu lain yang kami sudah tulis dalam simpanan. Jadi, itulah yang Forteen cuba ketengahkan. Kami mahu tampilkan karya-karya kami pula kepada orang di luar sana,” katanya.

Tambah One, pada masa akan datang, mereka juga meletakkan sasaran untuk menghasilkan lagu buat penyanyi lain pula.

“Apabila kami duduk bertiga menghasilkan lagu itu, kami rasa idea kami itu menjadi. Jadi, secara tidak langsung, ia menjadi satu proses yang seronok apabila kami dapat bersama-sama berkongsi idea.

“Insya-Allah selepas ini mungkin kita dapat hasilkan lagu untuk orang lain pula. Jadi, ini sesuatu yang kami mahu lihat pada perkembangan Forteen sendiri pada masa akan datang,” katanya yang turut tampil dengan lagu sempena kedatangan Syawal yang berjudul Raya.

Bercakap mengenai sambutan lebaran pula, menurut Ariz lagi, mereka merancang untuk mengadakan majlis sambutan rumah terbuka.

“Sudah dua tahun kami tidak menganjurkan rumah terbuka. Insya-Allah Syawal ini kita rancang untuk mengadakannya. Cuma, kami belum tetapkan tarikh dan lokasi.

“Sebelum ini, sewaktu kami mengadakan majlis buka puasa, sambutan yang diterima cukup baik. Kami cukup terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat kami,” katanya yang banyak disokong kelab peminat Forteenagers.