Bagi Amylea selaku penulis lirik, cukup sekadar lagu ciptaan Farouk Roman itu digemari oleh penonton drama tersebut dan dalam masa sama mendapat respons positif daripada pengkritik muzik.

“Jujur saya katakan, sewaktu mahu merakamkan lagu Tak Pernah Hilang, saya dan Kaer tidak mengharap banyak. Kalau boleh, biarlah lagu ini diterima ramai dan mendapat peluang untuk dipertandingkan dalam Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu.

“Tanpa disangka, selepas empat bulan dipasarkan, lagu ini benar-benar diterima baik oleh khalayak. Selain kerap menjuarai carta-carta radio, ia juga pernah berada di tangga tertinggi carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) untuk beberapa kali,” ujar Amylea dalam nada teruja.

Atas kertas, lagu berentak balada itu menerima jumlah tontonan yang luar biasa di laman perkongsian video YouTube. Sejak dilancarkan pada 14 April lalu, klip video berkenaan telah menerima sebanyak lebih enam juta tontonan, manakala menerusi laman penstriman Spotify pula, Tak Pernah Hilang turut menjadi antara single yang paling banyak dimainkan iaitu sebanyak 1.2 juta kali.

Jangkaan

Menurut Amylea, 32, proses untuk mendapatkan versi akhir Tak Pernah Hilang bukanlah satu fasa yang mudah. Mengimbas kembali sewaktu proses rakaman, Amylea berkata, banyak pertukaran dibuat sebelum lagu tersebut disiapkan.

“Kami menulis lagu ini berdasarkan sinopsis drama Nur yang dibekalkan oleh penerbitnya, Radius One. Jadi, sepanjang proses penulisan dan rakaman, banyak pertukaran dibuat mengikut kesesuaian jalan cerita.

“Bayangkan, sehingga lagu siap dirakam, kami masih tidak dapat menentukan tajuk yang sesuai. Akhirnya, Kaer yang mencadangkan supaya lagu ini diberi judul Tak Pernah Hilang,” katanya lagi.

Bakal bekerjasama dengan Radius One sekali lagi bagi penerbitan runut bunyi Nur 2, Amylea berkata, dia sedar bahawa harapan penonton dan penggemar muzik tempatan begitu tinggi kali ini.

Namun, akui pemilik nama lengkap Amylea Azizan itu, biarpun beban yang digalas semakin berat, dia berbesar hati kerana masih ada yang sudi untuk meletakkan tanggungjawab terhadapnya sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu.

“Benar, harapan dan jangkaan orang awam menjadi semakin besar kali ini. Namun, lebih baik dimomokkan dengan jangkaan daripada tidak dihiraukan langsung!

“Saya percaya, untuk runut bunyi kali ini, khalayak akan mendengar atmosfera muzik yang berbeza berbanding Tak Pernah Hilang,” ujar Amylea penuh yakin.

Fokus

Bagi Kaer pula, penyanyi lagu Izinkan Ku Pergi itu menyifatkan kejayaan lagu Tak Pernah Hilang sebagai kejayaan bersama.

Menurut Kaer atau nama sebenarnya, Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah, 33, Amylea dan Farouk merupakan dua genius muzik yang begitu bijak dalam menggarap karya-karya bermutu tinggi.

“Saya rasa, tahun ini merupakan tahun Amylea dalam membuktikan kebolehan menulis lagu. Selama mengenalinya dan Farouk, mereka berdua sangat berbakat dan mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

“Jadi, untuk kesinambungan lagu Tak Pernah Hilang, saya yakin ia akan diterima dengan baik oleh peminat,” katanya.

Menyambung perbualan mengenai perjalanan kariernya yang telah bernafas semula, Kaer berkata, dia kini mahu memberi fokus yang penuh dalam bidang muzik selepas hampir enam tahun menghilang daripada radar.

“Sebelum ini, saya berulang-alik ke Indonesia bagi mengerjakan jenama pakaian sendiri iaitu Quhji. Dalam masa yang sama, saya turut terlibat dalam bisnes rekaan dalaman.

“Saya rasa telah tiba masanya untuk kembali aktif dan mengeluarkan material baharu,” katanya yang berharap dapat kembali bekerjasama dengan komposer Azlan Abu Hassan.

Dalam pada itu, Amylea turut merancang untuk menerbitkan karya solo selepas dia selesai mengelolakan lagu-lagu runut bunyi bagi Nur 2.

“Untuk Nur 2, saya dan Farouk akan menghasilkan empat buah lagu. Kemudian, ada dua lagu baharu yang saya hasilkan buat dua artis iaitu Pandoras dan Eliza, bekas pelajar Akademi Fantasia 3.

“Memang sibuk menulis dan menerbitkan lagu untuk artis lain tetapi, dalam masa yang sama, saya juga teringin untuk mengeluarkan material solo. Insya-Allah, selepas selesai projek-projek ini, saya akan mula fikirkan single baharu saya pula,” katanya.

Kesedaran

Menyentuh sedikit mengenai bidang muzik, Amylea sedar bahawa industri muzik Malaysia masih sukar untuk bergerak ke hadapan. Hal ini kerana, kebanyakan penyanyi pada masa kini masih mengikut selera pendengar berbanding kehendak sendiri.

Penyanyi lagu Ku Berserah itu berpendapat, industri muzik tempatan perlu lebih berkembang dan tidak mengikut acuan yang sama untuk jangka masa panjang.

“Pada pendapat saya, kita perlu perbanyakkan karya berbeza dan tidak lekat dengan satu jenis lagu sahaja.

“Dalam masa yang sama, penyanyi perlulah diukur menerusi bakatnya, bukan paras rupa,” ujar Amylea.

Bersetuju dengan pendapat rakannya, Kaer pula berkata, muzik seharusnya dinilai bukan kerana imej atau rupa paras seseorang penyanyi.

“Di Indonesia, penyanyi gemuk atau kurus tetap menerima sokongan yang serupa. Lihat sahaja bagaimana Tulus berkembang menjadi artis yang disegani di sana.

“Kita sebenarnya perlu lebih terbuka untuk menerima muzik, barulah industri ini dapat berkembang dengan sihat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amylea dan Kaer bakal mengadakan konsert mini berjudul Amylea X Kaer: Chapter Three Showcase pada 26 Ogos depan ini Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Kongsi Amylea, penonton yang hadir kelak bakal disajikan dengan karya solo mereka serta lagu-lagu popular yang bakal dinyanyikan semula.

“Pada hari berkenaan, persembahan kami akan dibahagikan kepada tiga segmen. Kaer dan saya akan menyanyikan lima lagu solo dan seterusnya bergabung menyanyikan enam lagu secara duet.

“Biarpun persembahan ini dianjurkan secara kecil-kecilan, kami berharap agar ia memberi memori terindah buat yang hadir nanti,” katanya lagi.

Tiket bagi menyaksikan Amylea X Kaer: Chapter Three Showcase dijual pada harga RM56 dan boleh didapati menerusi talian 011 1151 3683.