Anak sulung kepada pelakon itu, Mimizairol, 45, berkata, perkara itu dimaklumkan rakan kenalan arwah yang memaklumkan Mior Ahmat Zaudi perlu melakukan proses alih suara melibatkan sebuah filem.

Dia yang tidak mengetahui lebih lanjut mengenai penampilan terakhir bapanya itu berkata, bapanya juga tidak pernah memaklumkan perkara berkenaan kepada ahli keluarga.

"Ada rakan kenalan arwah datang kepada saya, bapa ada berlakon dalam sebuah filem.   Katanya, bapa perlu menjalani proses alih suara untuk filem berkenaan.

"Tetapi saya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai filem berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Samsuni Mohd. Nor di kediaman arwah di Cheras di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, Rahim Jailani.

Tambah Mimizairol, bapanya tidak lagi aktif berlakon atas faktor kesihatan dan mengalami kesukaran untuk menghafal skrip.

"Bapa tahu dia tidak sihat. Oleh kerana itu lama dia tidak berlakon biarpun minat itu masih ada," katanya.

Mior Ahmat Zaudi, 66, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada pukul 5.40 pagi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Hospital pada 1 Januari lalu.

Mior Ahmat Zaudi pernah popular menerusi slot spektra di TV2 sekitat tahun 1990-an dan filem Momok pada tahun 2009. - K! ONLINE