Namun, telahan awal tersebut silap sama sekali. Tidak hanya Instant Family dibikin berdasarkan laluan komedi semata-mata, tetapi nilai murni yang ditanam dalam setiap babak dapat dijadikan iktibar oleh penonton.

Instant Family dimulakan dengan kisah pasangan suami isteri, Pete dan Ellie Wagner yang merancang untuk mengambil anak angkat. Tidak seperti keluarga lain yang memilih bayi untuk dipelihara, Pete dan Ellie terbuka untuk tiga beradik yang sudah meningkat usia iaitu Lizzie, Juan dan Lita.

Konflik mula tercetus apabila Lizzie, Juan dan Lita tidak dapat mengikut aturan hidup yang telah ditetapkan oleh pasangan suami isteri berkenaan, sungguhpun mereka cuba memberikan yang terbaik kepada tiga beradik tersebut.

Dari segi penceritaan, Instant Family boleh dikategorikan sebagai sebuah filem santai. Meskipun begitu, garapan skripnya yang luar biasa menjadikan Instant Family berbeza dengan filem-filem ringan lain.

Sebagai contoh, watak Ellie digambarkan sebagai seorang isteri yang cekal, bagaimanapun emosinya sedikit terganggu apabila ketiga-tiga beradik itu membuat ‘onar’ dan sukar untuk diuruskan.

Biarpun pada hakikatnya dia begitu ikhlas untuk menjaga tiga beradik berkenaan, namun, sehingga satu ketika, Ellie menyuarakan pendapat bahawa dia berputus asa untuk meneruskan program anak angkat tersebut.

Perubahan perangai Ellie secara tidak langsung memberi gambaran bahawa seseorang itu seharusnya bersedia dari segi mental dan fizikal jika mahu menerima ahli keluarga baharu yang bukannya darah daging mereka sendiri.

Mempunyai kelebihan tersendiri sebagai sebuah filem adaptasi daripada kejadian sebenar, Instant Family juga boleh berdiri sebagai filem yang dilengkapi dengan pelakon-pelakon berbakat.

Memegang watak Pete, lakonan Mark Wahlberg cukup sempurna. Wahlberg bijak menggambarkan dirinya sebagai seorang suami lewat 30-an yang inginkan cahaya mata, tetapi dalam masa sama kekok untuk membesarkan mereka.

Memegang predikat sebagai penerbit, barangkali Wahlberg mempunyai kelebihan untuk memilih pelakon yang digemarinya.

Pemilihan Isabela Moner sebagai pemegang watak Lizzie mungkin disebabkan keserasian mereka sewaktu sama-sama membintangi filem Transformers: The Last Knight dua tahun lalu.

Selain itu, watak-watak sampingan seperti Karen yang dijayakan oleh pelakon Octavia Spencer dan ibu kepada Pete, Sandy (Margo Martindale) mampu mencuit hati penonton.

Secara keseluruhan, filem Instant Family merupakan sebuah naskhah yang lengkap dengan pelbagai emosi. Jika anda tertawa menonton 10 minit awal filem, jangan terkejut jika air mata kegembiraan mengalir pada babak terakhir.

Filem: Instant Family

Pengarah: Sean Anders

Pelakon: Mark Wahlberg, Rose Byrne dan Isabela Moner

Tarikh tayangan: 10 Januari 2019

Bintang: 