Jejaka yang dicungkil menerusi program realiti Hero Remaja 2011 itu sudah berada tujuh tahun lamanya dalam radar seni, manakala Mia pula boleh dianggap masih hijau apabila membuat keputusan untuk bergiat aktif mengikut jejak langkah kakaknya, Anzalna Nasir sekitar tiga tahun lalu.

Apa yang pasti, kedua-dua mereka yang kini disatukan dalam drama Kan Kukejar Cinta Kamu arahan Yusry Abdul Halim itu semakin mula mendapat perhatian ramai dek lakonan mereka sebagai pasangan skandal dalam naskhah yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria itu.

Sememangnya apa yang mereka miliki pada hari ini, bukanlah diraih dengan mudah. Apa yang penting, kedua-dua mereka mahu terus menyajikan penonton dengan hasil kerja yang lebih baik secara konsisten.

Justeru, cabaran utama yang dihadapi adalah untuk terus mengekalkan momentum yang ada dalam melebarkan kerjaya seni mereka. Ini kerana, mereka sedar itu semua bukanlah satu tugas yang mudah.

Mahu ada filem

Bagi jejaka berusia 31 tahun itu, dia mengakui perjalanannya masih lagi jauh. Justeru, banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya. Sungguhpun begitu, katanya, dia bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini.

“Saya nak sampai ke tahap ini pun mengambil masa sehingga tujuh tahun. Alhamdulillah, tahun lalu ada sinar rezeki buat saya. Allah murahkan rezeki saya walaupun ada ‘drama’ yang berlaku sebelum ini.

“Jadi, saya harap tahun ini, saya sentiasa dapat memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan. Semoga perjalanan karier saya terus berjalan lancar,” kongsi pelakon yang pernah berehat selama tiga bulan selepas keadaan kesihatan dirinya yang dikatakan terkena penyakit misteri selepas membintangi drama Mr. Grey pada tahun lalu.

Kata Fendy, pada tahun ini dia menyasarkan untuk melebarkan sayapnya ke layar perak pula.

“Ada beberapa perkara yang saya target untuk capai pada tahun ini. Antaranya termasuklah untuk berlakon filem pula.

“Harapnya impian itu terlaksana. Bukan apa, sebelum ini saya pernah terima tawaran tetapi terpaksa tolak berikutan terikat dengan komitmen lain,” ceritanya.

Menurut Fendy, dalam bekerja, dia tidak suka terlalu ghairah untuk merebut segala tawaran yang datang. Baginya, dia lebih mementingkan kualiti dalam sesebuah karya yang diterimanya.

“Saya tidak suka ambil dua tawaran serentak. Susah kerana, nanti terpaksa terkejar-kejar. Silap langkah, bimbang pula nanti dicop ada masalah disiplin. Jadi, biarlah beri komitmen sepenuhnya kepada satu tawaran sahaja dulu sebelum menerima tawaran lain,” katanya yang membawakan watak sebagai Mukramin Raiyan dalam Kan Kukejar Cinta Kamu.

Bercakap mengenai drama itu, katanya, naskhah itu mencabar kemampuan dirinya kerana perlu banyak bermain dengan emosi. Bagaimanapun, Fendy menganggap itu semua satu proses pembelajaran.

“Sebelum masuk ke set saya memang baca terlebih dulu novel asal cerita itu memandangkan ia merupakan karya adaptasi. Kalau melihat kepada kisahnya yang mengangkat perihal cinta dan kekeluargaan mungkin tak banyak beza, tetapi lainnya adalah dari segi karakter watak yang perlu dibangunkan oleh seseorang pelakon itu,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Cuba watak aksi

Bagi Mia pula, dia mengakui sepanjang pembabitan dirinya dalam drama, dia belum pernah diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak aksi lagi.

“Sebelum ini memang banyak juga watak jahat yang saya bawakan. Bahkan, dalam drama Kan Kukejar Cinta Kamu itu juga saya berperanan memegang watak sebagai perempuan jahat kerana cuba merosakkan hubungan orang lain.

“Jika diberi keizinan saya mahu mencuba watak aksi pula selepas ini. Watak yang memerlukan saya melakukan adegan-adegan yang lasak,” kata pelakon berusia 28 tahun itu.

Bukan itu sahaja, menurut Mia lagi, dia juga bersifat terbuka sekiranya ada tawaran lakonan yang memerlukan dirinya melakukan aksi lagak ngeri.

“Mungkin selepas ini saya boleh cuba untuk memegang watak yang memerlukan aksi babak bermain dengan pistol,” luahnya yang membawakan watak sebagai Qistina.

Bercakap mengenai pembawaan wataknya sebagai Qistina dalam drama Kan Kukejar Cinta Kamu, katanya, dia memegang watak sebagai perempuan jahat.

“Asalnya watak saya itu adalah perempuan kampung yang ke Kuala Lumpur untuk mencari lelaki kaya. Pada masa sama, saya pula mempunyai skandal dengan Raiyan (lakonan Fendy).

“Jadi perempuan jahat ini pun mencabar juga kerana kita perlu menjadi orang lain,” kongsinya yang mengakui tidak kisah dikecam dek membawakan watak antagonis.

Cerita Mia lagi, sekiranya penonton membenci dirinya dalam drama itu, ia sebenarnya memberikan satu petanda positif kepada kualiti lakonannya.

“Itu maksudnya saya berjaya bawakan watak itu dengan baik. Apapun, jika di luar saya bukanlah jahat sebegitu,” selorohnya.

Dalam perkembangan lain, kata Mia selain berlakon, dia juga merancang untuk membina empayar bisnes sendiri. Katanya, buat masa ini, dia bercadang untuk menjalankan perniagaan sebagai perancang perkahwinan.

“Sebenarnya idea itu datang daripada ibu saya. Jadi, harapnya, saya boleh realisasikan,” kongsinya yang bakal muncul dengan sebuah filem pada tahun ini.