Terbaharu, pelakon berusia 30 tahun itu dilemparkan dengan perkataan kafir oleh seorang pengikut di laman Instagramnya selepas dia memuat naik gambar throwback tidak bertudung.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Ariana Rose itu dihubungi Sensasi Bintang untuk mendapatkan perkhabaran.

Serak bercampur lunak suaranya menjawab panggilan pagi seperti tiada sebarang duka, namun hati kecilnya mudah diselak. Fathia beremosi sambil mengaku hatinya remuk.

“Saya sedih sangat dengan kata-kata kejian yang ada antaranya sangat melampau dilemparkan kepada saya. Sedangkan sebagai manusia sudah tentu banyak perilaku kita yang terbabas,” ujarnya.

Mengakui sekadar memuat naik gambar tersebut (gambar tidak bertudung) tanpa sebarang niat, Fathia terkejut apabila seorang daripada pengikutnya menyelar dirinya kafir.

Bagaimanapun, dia cuba menenangkan diri untuk tidak terlampau memikirkan kata-kata orang terhadap dirinya kerana sedar baik atau buruk perilakunya, orang tetap mencari salah.

“Kadangkala saya tidak faham, apa sahaja yang saya buat walaupun pada pandangan saya ia baik, orang tetap kecam. Generasi sekarang seharusnya lebih bersikap terbuka. Bukan lagi suka mencari salah orang,” jelasnya yang akhirnya memadam gambar tidak bertudung itu di Instagramnya.

Ditebak mengenai kontroversi yang tiada penghujung menimpa dirinya, Fathia menegaskan, itu semua bukan kemahuannya.

Ironinya, dia cuma menjadi dirinya sendiri dan menolak untuk berperilaku palsu di depan khalayak.

Dalam perkembangan lain, Fathia mengaku, sudah lama tidak mendapat tawaran berlakon dan sangat rindu untuk beraksi di depan kamera.

“Sejujurnya saya sangat rindu untuk berlakon. Cuma, selepas digugurkan dalam drama La Luna saya tiada sebarang tawaran.

“Mungkin disebabkan kontroversi mengenai diri saya, penerbit tidak mahu menawarkan sebarang drama.

“Cuma saya pinta kepada semua penerbit, jangan kerana keburukan yang ada pada diri saya, kebaikan-kebaikan lain yang ada pada saya tidak dipandang,” luahnya sayu.

Biarpun tiada rezeki dalam bidang lakonan, namun dia bersyukur kerana rezekinya sebagai duta dan jurucakap produk masih disambung.

“Alhamdulillah, sumber pendapatan saya sentiasa ada walaupun tidak berlakon. Produk Avon masih menyambung kontrak, begitu juga dengan produk Her Fit dan Pizza Hut,” ujarnya yang turut mempunyai produk keluaran sendiri iaitu Dara by Fathia Latiff, Guzel dan Speedy Balm.