Menyifatkan ia sebagai kurniaan terindah dalam perkahwinannya, Izreen yang kini hamil tiga bulan bersyukur kerana berpeluang kembali melalui pengalaman hamil selepas kali terakhir mengalaminya enam tahun lalu.

“Sebaik disahkan usia kehamilan mencecah sebulan pada November lalu, saya terkejut dan amat gembira. Hal ini adalah kerana saya sememangnya memasang impian untuk memiliki anak lagi.

“Suami dan anak-anak juga gembira. Kehamilan ini merupakan hadiah paling istimewa bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh keluarga,” kata Izreen membuka bicara ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu kehamilannya kali ini amat berbeza dengan yang pertama dahulu. Menurut wanita berusia 34 tahun itu, kali ini, tahap kesihatannya merosot dan kerap mengalami pendarahan.

“Kehamilan pertama dahulu saya masih boleh bekerja sehingga kandungan mencecah empat bulan. Kehamilan kali ini berbeza kerana saya cepat berasa penat dan tidak boleh berdiri terlalu lama.

“Saya juga kerap alami pendarahan, rasa mual yang melampau dan pening kepala. Sebab itu, saya lebih banyak berehat di rumah dan tidak akan keluar rumah jika tiada urusan penting,” kongsi Izreen.

Tanpa berselindung Izreen mengakui, dia mengidam mendapat anak perempuan kerana sudah memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin.

Sementara, suami Izreen, Ude, 31, juga telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Arish Muqri, empat tahun dan Ariq Muqri, dua tahun, hasil perkahwinan terdahulunya dengan Intan Liana Saleh.

“Buat masa ini, saya masih belum mengetahui jantina bayi, tetapi kalau boleh mahu menimang anak perempuan pula selepas memiliki anak lelaki. Namun, jika Allah kurniakan anak lelaki juga saya tidak kisah, memadai anak yang bakal lahir kelak sihat dan sempurna,” ungkap Izreen.

Rezeki

Sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu dan menjadi bahan kontroversi sehingga menjadi antara pelakon wanita yang paling dibenci khalayak, Izreen ‘direhatkan’ daripada muncul di televisyen.

Bagaimanapun sebaik disahkan hamil, tawaran lakonan kembali datang mencurah-curah seperti dahulu. Namun, demi kesihatan dan keselamatan kandungan, Izreen terpaksa menolak kesemua tawaran tersebut.

“Saya mengaku sebelum ini memang saya direhatkan oleh stesen televisyen kerana terpalit dengan kontroversi. Mungkin rezeki anak, tawaran lakonan mula datang kembali sejak Oktober tahun lalu.

“Malangnya semua tawaran tersebut adalah untuk membintangi drama rantaian yang memerlukan komitmen tinggi. Saya terpaksa menolak kesemua tawaran berkenaan kerana tahap kesihatan yang tidak berapa baik.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan orang lain andai menerima tawaran tersebut. Jika ada rezeki selepas bersalin, saya akan kembali berlakon semula,” tutur Izreen.

Tambah pelakon drama Tanggang Ayu itu, dia mahu membintangi sebuah karya yang memberi impak jika membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas bersalin pada Julai depan.

“Saya mahu sebuah karya yang benar-benar memberi impak kerana sudah lama tidak berlakon. Oleh itu, saya mahu karya yang bukan sahaja memberi impak kepada penonton, tetapi turut mencabar saya sebagai pelakon,” kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013.

Cinta

Ditebak soalan, kemungkinan timbul sebarang penyesalan di hatinya apabila karier lakonan yang dibina selama 12 tahun terhenti begitu sahaja demi sebuah perkahwinan.

Tanpa berfikir panjang, Izreen segera menjawab, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan jalan hidup yang dipilihnya ketika ini kerana dia berasa cukup bahagia. Andai boleh diundurkan waktu, Izreen akan tetap memilih jalan dan lelaki yang sama untuk menjadi suaminya.

“Tipulah jika saya kata tidak terkilan. Saya sayang dengan karier lakonan yang dibina selama 12 tahun. Saya menjadikan lakonan sebagai karier bukan untuk kejar glamor, sebaliknya demi kelangsungan hidup. Saya bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan.

“Namun, saya sanggup melepaskan karier seni untuk berkahwin kerana benar-benar mencintai suami. Mungkin dia orang biasa dan tidak kaya, tetapi saya tidak pernah menyesal.

“Saya bersyukur apabila ditimpa kontroversi, sebagai suami dia tidak pernah lari atau menyalahkan saya atas apa yang berlaku. Sebaliknya, kami melalui semua dugaan dan cabaran bersama. Dia juga tidak menyesal berkahwin dengan saya meskipun dihina satu Malaysia, daripada situ saya melihat keikhlasannya,” ujar Izreen.

Biarpun perkahwinannya bersama Ude menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, Izreen yakin aturan Allah tidak pernah salah. Baginya, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah.

Allah memberi bahagia yang dicarinya selama ini, tetapi dalam masa sama menarik rezekinya sebagai pelakon buat sementara waktu. Melihat dengan jelas apa yang berlaku dalam kehidupannya, tegas Izreen, mungkin itu merupakan ‘bayaran’ yang perlu ditanggung atas kekilafannya dahulu.

“Saya sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan. Allah mendengar doa saya dan beri bahagia yang dipinta, tetapi menarik karier seni. Mungkin ini merupakan cara Allah untuk membawa saya kembali dekat dengan-Nya.

“Sebelum ini kerana terlalu sibuk bekerja saya terlupa dan tiada masa untuk dekat dengan Allah. Saya memandang positif semua yang berlaku, walaupun perit, tetapi ia menjadikan saya manusia yang lebih baik,” luah Izreen.

Sebelum mengakhiri bicara, Izreen mengharapkan kehadiran tahun 2019 akan memberi lebih kemanisan dalam kehidupan keluarganya. Selain itu, dia juga berharap khalayak menutup buku tentang semua kisah silamnya.

“Saya harapkan sempena tahun baru ini, semua orang boleh tutup buku lama, tidak perlu diungkit kisah lalu. Jika ada kesalahan yang saya lakukan jangan mengambil kerja Allah dengan menjatuhkan hukum. Biarlah Allah yang tentukan kerana terdapat hikmah sebalik apa yang berlaku,” katanya menutup bicara.

Pelakon Izreen Azminda kini berada dalam fasa terbahagia kehidupannya apabila hamil tiga bulan selepas setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid.