Kosmo

Enggan berbelanja mewah atau berlebihan, segala keperluan sambutan hari raya untuk diri dan keluarga disediakan seadanya.

“Sambutan hari raya saya sekeluarga pada tahun ini sederhana. Segala persiapan telah disediakan lebih awal.

“Sama seperti sebelum ini, saya bercuti sekitar seminggu dan banyak menghabiskan masa melawat sanak saudara di kampung halaman iaitu di Melaka,” katanya.

Seminggu yang diperuntukkan untuk dihabiskan bersama famili barangkali mencukupi memandangkan Ayda bakal memberi fokus yang penuh terhadap kerjaya lakonan dan nyanyiannya selepas ini.

Menurut pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat itu, dia bakal terbang ke Jakarta, Indonesia dalam masa terdekat bagi mengikuti rangka promosi single Temberang.

Kongsi Ayda, rangka promosi itu dikelolakan sepenuhnya oleh Sony Music Indonesia dan dia dijangka bakal mengikuti beberapa aktiviti promosi yang telah ditetapkan.

“Di Indonesia, lagu Temberang diedarkan pihak Sony Music. Jadi, mereka berminat untuk membawa saya mempromosikan lagu tersebut di sana.

“Sejujurnya, saya dan syarikat pengurusan berasa terkejut apabila diundang ke sana. Ini menunjukkan lagu Temberang diterima agak baik di Indonesia,” ujar Ayda sambil tersenyum.

Bercerita lanjut, Ayda menjelaskan, rangka promosi di Jakarta bakal melibatkan beberapa sesi wawancara bersama stesen radio dan kemungkinan beberapa program hiburan.

“Saya berasa sungguh teruja kerana dapat kembali ke Jakarta untuk mempromosikan karya saya. Tidak sabar pula rasanya!” ungkap Ayda yang sebelum ini pernah ke Jakarta melancarkan single keduanya, Pencuri Hati.

Sinetron

Selain mempromosikan single Temberang, kunjungan Ayda ke Jakarta juga bagi memenuhi satu lagi agenda yang mungkin akan menumbuhkan sayap baharu karier lakonannya.

“Selain mempromosikan Temberang, saya ke Jakarta untuk bertemu dengan wakil sebuah syarikat stesen televisyen di sana. Dia ada menawarkan saya untuk berlakon dalam sebuah naskhah terbitan mereka.

“Buat masa ini, saya belum boleh berkongsi lanjut mengenai tawaran tersebut. Kami perlu berjumpa empat mata dan berbincang mengenainya. Jika sudah rasmi, saya pasti akan buat pengumuman,” ujar Ayda.

Sudah menjadi impiannya sejak sekian lama untuk menembusi pasaran Indonesia, dramatis yang popular dengan drama bersiri Cinta Bukan Kristal itu berkata, dia melihat peluang berlakon di negara orang sebagai pintu emas untuk melebarkan langkah ke republik berkenaan.

“Siapa yang tidak gembira jika diberi peluang sebegini.

“Jadi, saya berharap peluang ini dapat memberikan saya lebih banyak ruang untuk menunjukkan bakat dan sekaligus berkarya di negara orang,” katanya positif.

Pernah membintangi telefilem From Hater To Lover terbitan RTV, iaitu sebuah stesen televisyen di Indonesia, Ayda tidak akan menolak jika tawaran yang bakal diterima menuntut fokusnya untuk berlakon dalam sinetron yang panjang.

“Saya pernah menerima tawaran membintangi sinetron100 episod. Namun disebabkan kekangan masa, saya terpaksa tolak.

“Melihat kembali jadual yang tidak terlalu padat, saya bersedia menerima sebarang tawaran daripada pihak stesen televisyen berkenaan. Jika mereka mahukan saya berlakon dalam sinetron yang mempunyai ratusan episod, saya sanggup terima cabaran yang diberikan,” ujar Ayda dalam nada penuh keyakinan.

Nyanyian

Usai menjalani promosi di Jakarta, Ayda akan pulang semula ke Kuala Lumpur sebelum terbang semula ke Jakarta semula untuk menyiapkan album studio pertamanya yang telah lama tertunda.

“Album saya sudah 60 peratus siap. Tinggal empat buah lagu lagi yang masih belum dirakamkan.

“Jadi, saya akan kembali ke Jakarta untuk merakamkan keempat-empat lagu di sana dan melancarkan album tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Ayda, selain mengandungi 10 buah lagu yang dikategorikan sebanyak lima lagu balada dan lima lagu pop, album perdananya juga bakal mencipta sejarah tersendiri.

“Terdapat sebuah lagu dalam album ini yang bakal dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi dari beberapa negara Asia Tenggara dalam bahasa ibunda mereka.

“Projek ini sungguh istimewa kerana khalayak dapat menyaksikan karya asal dialih bahasa dan dinyanyikan oleh penyanyi lain dalam bahasa berbeza,” katanya menutup perbualan.

Rasian atau mimpi-mimpi Ayda Jebat untuk melebarkan sayap sebagai pelakon di Indonesia mungkin akan menjadi kenyataan selepas menerima tawaran membintangi sebuah naskhah terbitan syarikat produksi 
dari republik berkenaan.