Malah, umum mengetahui pada setiap minggu, pasti akan ada juri jemputan yang akan bergandingan dengan juri tetap program itu iaitu pelawak terkenal, Saiful Apek bagi memeriahkan suasana.

Namun, baru-baru ini kecoh di laman sosial apabila netizen mengkritik juri jemputan pada episod ketiga program tersebut iaitu seorang pelakon baharu berbakat besar, Farah Nabilah.

Dek kerana dirinya yang dikatakan baru setahun jagung melibatkan diri dalam dunia hiburan, maka tercetusnya pendapat dalam kalangan netizen yang mengatakan Farah kurang sesuai untuk menjadi juri.

Malah, dikhabarkan juga ada penonton yang kurang senang dengan sikap pelakon itu yang dikatakan agak ‘diva’ dan membuat muka ‘tegang’ setiap kali memberi komen kepada peserta BBB2018.

Menerusi akaun Twitternya iaitu @farahnabilah, Farah dilihat tampil dengan memohon maaf serta menjelaskan perkara sebenar apa yang berlaku pada malam tersebut.

“Minta maaf jika komen saya terlalu negatif ke, terlalu ‘diva’ ke, terlalu ‘berlagak’ ke? Saya komen yang ikhlas sahaja. Tidak boleh terima takpe. Lagipun hari ini first day (hari pertama) PMS. Silap la,” tulisnya.

Bagaimanapun, Sensasi Bintang cuba mendapatkan pelakon yang terkenal menerusi drama Titian Cinta itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini. Biarlah ia senyap begitu sahaja.

“Bagaimanapun, selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” jelasnya yang memberitahu netizen sudah menyalah anggap reaksi mukanya ketika menjadi juri.

Dalam perkembangan lain, gadis berusia 26 tahun itu memberitahu, dirinya kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah telemovie sempena bulan Ramadan.

“Saya kini menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie berjudul Solat-Sesalan. Setiap episod memaparkan kisah yang berlainan dan saya akan muncul pada episod ketiga.

“Selain itu, saya juga terlibat dengan penggambaran bagi drama sebanyak 27 episod yang akan ditayangkan menerusi slot Akasia,” katanya.

Gadis jelita itu antara yang tercalon dalam Top 20 bagi Artis Baharu Meletop, Pelakon Meletop dan Drama Meletop bagi Anugerah Meletop Era 2018.

Ditanya tentang harapannya terhadap pencalonan dirinya itu, Farah dengan ikhlas menyusun bait-bait ayat dan ini jawapannya.

“Buat masa sekarang, nama saya sudah tercalon, ini sudah cukup baik.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi dan kalau ada rezeki, insya-Allah ada. Lagipun, terlalu awal untuk saya menerima anugerah,” jelasnya.