Kali kedua digandingkan sebagai pasangan kekasih selepas drama Cik Reen Cik Ngok Ngek sekitar tahun lalu, Farah mengaku selesa bekerjasama dengan Fikry.

Mendukung watak sebagai Rose Natasya manakala Fikry sebagai Farhan, Farah bagaimanapun enggan lagi digandingkan bersama lelaki itu selepas ini.

Khuatir gandingan antara mereka akan membuatkan penonton bosan, Farah mengambil keputusan untuk tidak menerima sebarang tawaran menggabungkan mereka.

Ikuti perkongsian Farah mengenai keputusannya dan cabaran dihadapi demi menjayakan watak Rose Natasya.

KOSMO!: Apakah cabaran menjayakan watak Rose Natasya?

FARAH: Naskhah Kau Yang Pertama merupakan idea asal pengarah dan bukan adaptasi novel. Tidak banyak yang boleh dikongsikan mengenai watak Rose Natasya.

Rose Natasya adalah watak yang segar. Ini adalah kali pertama saya jayakan watak seumpama ini.

Demi menjayakan watak ini saya telah menonton beberapa drama dari Korea Selatan antaranya What’s Wrong With Secretary Kim.

Bagaimanakah keserasian anda dan Fikry?

Saya selesa dan mudah bekerjasama dengan dia. Sudah tentu dia amat mengenali saya kerana ini merupakan projek kedua kami digandingkan sebagai pasangan kekasih.

Jadi, keserasian memang sudah ada antara kami. Cabaran kami adalah mencari kelainan supaya karakter sebagai pasangan kekasih dalam Kau Yang Pertama berbeza dengan drama sebelum ini. Kami saling berbincang antara satu sama lain dan mencapai persefahaman untuk menyuntik perbezaan.

Bagaimanakah reaksi peminat terhadap gandingan kali kedua kalian?

Alhamdulillah, ramai peminat suka dengan penampilan kami sebagai pasangan kekasih. Sebenarnya, peminat sendiri telah lama menanti kami kembali bersatu dalam drama.

Peminat mahu kami bersatu dalam sekuel Cik Reen Cik Ngok Ngek. Jadi, saya tunaikan permintaan mereka tetapi dalam drama Kau Yang Pertama.

Peminat sudah tentu gembira. Saya juga begitu kerana dapat mengotakan impian mereka.

Adakah terdapat sebarang projek lain yang menggandingkan kalian berdua?

Saya rasa tidak. Cukuplah kami tampil dalam drama Kau Yang Pertama demi mengubati kerinduan mereka.

Bukan saya ‘demand’ atau enggan lagi bekerjasama dengan Fikry. Saya tidak mahu penonton berasa bosan dengan hasil produk yang sama.

Mungkin kami akan berehat dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum bersedia untuk digandingkan kembali.

Desas-desus mengatakan anda bakal berkahwin. Adakah benar dakwaan itu?

Saya sendiri pelik mengapa berita mengenai perkahwinan sering diajukan. Saya tidak merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat. Jadual kerjaya saya begitu padat.

Jangan risau, jika betul mahu berumah tangga, saya tidak akan berahsia. Saya tidak akan sesekali menyembunyikan berita gembira itu daripada peminat.