Biarpun perancangan tersebut masih pada peringkat awal, namun Farah, 34, sudah merangka strategi dengan mengintai hasil karya penyanyi popular Hazama ataupun Akim Ahmad untuk projek lagu baharunya kelak.

Mengakui bukanlah satu perkara yang mudah untuk meletakkan kembali namanya dalam persada seni, sementelah harus bersaing dengan nama-nama baharu ketika ini, pelantun lagu Antara Dua itu tetap optimis.

Ikuti penjelasan daripada Farah yang kini aktif bergelar pengacara di stesen televisyen AlHijrah. 


KOSMO!: Lama tidak mendengar khabar Farah. Apa perkembangan anda yang terkini?

FARAH DIANA: Alhamdulillah, buat masa ini kehidupan saya memang sibuk dengan kerjaya sebagai pengacara. Bukan sekadar untuk televisyen, kadangkala ada juga saya menerima tawaran mengacara untuk majlis-majlis korporat. Pejam celik, sudah lama saya tidak menyanyi. Insya-Allah saya dalam perancangan untuk kembali aktif menyanyi. 


Maknanya anda sudah ada lagu baharu?

Belum lagi tetapi saya sudah merisik beberapa orang komposer bagi menjalin kerjasama. Bagi merealisasikan hasrat untuk kembali menyanyi, saya ada gunakan ‘talian hayat’ dengan meminta bantuan daripada adik kandung yang bekerja dengan Hazama. Jadi, mungkin dengan bantuan dia, saya boleh dapatkan lagu daripada Hazama. Seorang lagi pilihan saya ialah Akim Ahmad. Tengoklah macam mana perginya nanti. Sebab demo lagu belum dapat. Harapnya semua berjalan lancar. 


Bagaimana persediaan anda untuk kembali menyanyi?

Kali terakhir saya keluarkan lagu adalah pada tahun 2013 menerusi single Sehati Sejiwa yang dibikin semula untuk filem Cinderella. Saya akui sudah lama tidak menyanyi dengan serius, jadi mungkin ada perubahan pada vokal.

Saya teringat kisah Misha Omar yang bercerita tentang perubahan vokal selepas lama tidak menyanyi dan melahirkan anaknya. Jadi untuk ke arah itu, saya ada hubungi rakan-rakan lama seperti Idayu untuk meminta tunjuk ajar. Alhamdulillah dia sangat membantu.

Pada masa sama juga, saya ada menghubungi Ernie Zakri dan merancang untuk ambil kelas vokal dengannya. Saya tahu, semua ini memakan masa untuk saya mengembalikan vokal seperti dahulu. 
Bagaimana pula anda melihat persaingan dalam industri memandangkan sudah ramai artis baharu sedang mengukir nama?

Generasi kami dahulu sudah pun berdepan pengalaman bersaing dalam industri, maksud saya ketika menyertai program AF. Selepas tamat, kami bersaing pula dengan peserta musim baharu dan program realiti yang lain. Jadi situasinya sekarang sama sahaja.

Bagi saya, tidak kira, orang lama atau baharu, jangan ego dan bangga diri. Berbuat baiklah dengan semua generasi sebab dari situ kita dapat menimba ilmu daripada orang lain walaupun individu itu adalah penyanyi baharu. Malah, saya lihat zaman sekarang sudah berbalik seperti masa lalu. Irama muzik balada kembali menguasai industri. Saya sedar bahawa muzik sebegitu kekal relevan sehingga ke hari ini. Jadi apa yang perlu dilakukan adalah perlu yakin dan jangan takut bersaing. 


Selain lagu baharu, apa lagi perkembangan yang boleh anda kongsikan?

Saya sangat teruja untuk berkongsikan hal ini kepada peminat. Insya-Allah, saya bersama bekas peserta AF2 akan mengadakan sebuah konsert mini perjumpaan semula (reunion). Rakan-rakan lain semua sedang berusaha keras memastikan perancangan itu menjadi nyata dengan mendapatkan tajaan. Jika tiada aral, konsert itu akan berlangsung pada hujung tahun ini. Selepas berkongsi mengenainya dalam media sosial, ramai peminat yang teruja dan tidak sabar. Saya pun sangat berharap konsert itu dapat menyatukan kesemua 12 bekas peserta dan menggamit memori bersama.