Apatah lagi dengan kewujudan media sosial yang menghubungkan semua orang dari serata tempat dalam satu platform yang sama membuatkan kehidupannya sebagai seorang artis sering menjadi salah seorang mangsa pembuli siber.

Faezah atau nama penuhnya Noor Faezah Md. Elai berkata, dia sudah tidak sanggup untuk berdepan dengan sikap segelintir netizen yang disifatkannya tidak beradab dan lebih gembira andainya dia hanya dikenali kerana bakat yang ada.

Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi itu berkenaan perkara tersebut ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Benarkah anda hanya suka berlakon di bawah arahan suami, Heykal Hanafiah kerana sudah begitu jarang melihat kelibat anda dalam televisyen?

FAEZAH ELAI: Lakonan masih merupakan karier tetap, tetapi diakui sejak berkahwin saya banyak bekerja dengan suami sendiri. Bukannya soal selesa atau dia menghalang, tetapi faktor utama adalah disebabkan masa. Lebih-lebih lagi sejak memiliki anak. Saya masih menerima tawaran lakonan daripada produksi lain, tetapi lokasinya jauh di luar ibu kota. Jadi, memang saya tidak boleh terima.

Sampai bilakah anda akan bekerja dengan suami sendiri?

Mungkin sehingga anak sudah besar. Buat masa ini agak sukar kerana mereka masih kecil. Bukan sahaja anak-anak tidak boleh ditinggalkan dalam tempoh yang lama, tetapi saya juga tidak boleh pulang lewat malam. Cuma kalau saya terbuka menerima tawaran daripada pengarah lain ketika anak-anak sudah besar, waktu itu watak yang sesuai hanyalah emak orang (ketawa).

Mengapakah sejak kebelakangan ini anda dilihat mengurangkan pendedahan diri kepada umum?

Saya suka hidup begini. Sebolehnya saya mahu menghindarkan diri daripada tatapan umum. Cukuplah setakat bekerja di set penggambaran kemudian pulang ke rumah seperti biasa. Sebab zaman sekarang sangat berbeza tidak sama seperti dahulu. Kewujudkan media sosial menjadi punca mengapa saya suka untuk hidup dalam dunia sendiri.

Mungkinkah ada pernah melalui sebarang pengalaman pahit berkaitan media sosial dan netizen?

Kalau dilihat dalam Instagram saya, memang tidak banyak gambar suami dan keluarga. Sebab saya memang tidak mahu terlalu mendedahkan keluarga kepada umum. Pernah sekali saya mendapat komen daripada netizen yang bertanya adakah saya sudah bercerai? Puncanya sebab saya jarang kongsi gambar suami. Mereka boleh bercakap apa sahaja yang disukai tanpa ada rasa hormat pada orang lain. Seolah-olah mereka tinggal di sebelah rumah saya dan tahu semua perkara tentang keluarga kami. Kalau ditanya sebegitu rupa, siapa yang tidak marah kerana pertanyaan tersebut sangat biadab.

Jadi, apa tindakan anda apabila berhadapan dengan individu sebegitu?

Kalau boleh, saya mahu tutup sahaja Instagram. Tetapi disebabkan saya menjalankan perniagaan dalam platform tersebut, jadi mahu atau tidak saya perlu ada media sosial. Sekarang saya guna Instagram hanya untuk perniagaan sahaja. Berkenaan komen biadab seperti itu, saya sekat mereka.

Sesetengah artis atau selebriti media sosial menjadikan platform seperti Instagram sebagai sumber utama untuk mencari pendapatan. Bagaimana dengan anda?

Sesetengah daripada mereka suka meraih publisiti kerana secara tidak langsung dapat menaikkan nama dan pengikut akaun media sosial. Namun, saya bukan begitu. Jujur dikatakan, saya tidak kental untuk membaca komen netizen kerana boleh membuatkan saya mudah naik angin. Kadang-kadang saya tidak faham, mereka yang meninggalkan komen itu ada antaranya dalam kalangan pelajar sekolah. Jadi, saya tidak boleh menerima perkara ini. Sebab itu dengan anak-anak, saya sangat garang. Biarlah orang mahu kata apa pun sebab lain orang, lain caranya. Hal ini kerana, saya takut anak-anak sendiri pula akan menjadi seperti netizen yang tiada rasa hormat terhadap orang lain jika tidak dididik dengan betul.