Lebih memburukkan keadaan, satu petisyen menggunakan nama ‘Haramkan Telefilem Sampah Memburukkan Institusi Tahfiz’ telah dilancarkan pada Sabtu lalu.

Petisyen tersebut diwujudkan oleh satu kumpulan yang menggunakan nama Pembela Agama Allah dan setakat ini telah mengumpul sebanyak 50,000 tanda tangan.

Ironinya, telefilem terbitan Prokuya Studios milik Fadzil Zahari dan isterinya, pelakon Yana Samsudin itu sedang menunggu tarikh tayangan daripada pihak RTM.

Bagaimanapun kritikan dan ulasan yang diberikan oleh netizen seolah-olah mereka telah menonton keseluruhan karya arahan Eyra Rahman itu.

Tindakan netizen yang membuat kecaman tanpa usul periksa itu disifatkan sebagai tidak adil oleh Fadzil buat produksinya dan barisan pelakon yang membintangi telefilem tersebut antaranya Syafie Naswip, Fezrul Khan, Ismail Yaacob, Taiyuddin Bakar, Sheila Mambo dan Aman Graseka.

Sehubungan itu, Fadzil selaku penerbit telah dipanggil ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam masa terdekat untuk penilaian semula dan membincangkan isu yang tercetus.

KOSMO!: Apakah reaksi Fadzil apabila telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi menjadi tular dan mencetuskan kontroversi sebelum tayangan?

Fadzil: Saya sama sekali tidak menyangka telefilem ini akan menjadi tular dan mencetuskan kontroversi sebelum sempat ditayangkan di televisyen. Sejujurnya, saya terkejut dan tidak tahu siapa yang membuat rakaman sedutan telefilem serta memberi ulasan yang tidak tepat sehingga mencetuskan kontroversi dalam media sosial.

Apakah komen anda apabila telefilem tersebut didakwa cuba memburukkan imej pusat tahfiz dan mempromosikan budaya homoseksual?

Semua yang memberi komen dalam media sosial tidak menonton lagi telefilem tersebut. Bagi saya, tindakan netizen itu bersifat tidak adil untuk pihak produksi dan barisan pelakon yang telah memberi lakonan terbaik. Drama ini tidak mempromosikan budaya LGBT, sebaliknya tentang perjalanan seorang mak nyah yang bertaubat dan mencari jalan mendekati Allah. Tempat yang dituju untuk memperbaiki diri adalah pusat tahfiz.

Adakah kontroversi yang tercetus akan memberi kesan kepada tayangan telefilem tersebut?

Saya tiada jawapan terhadap soalan tersebut kerana belum bertemu lagi dengan pihak RTM. Sebenarnya, memang pihak kami dipanggil oleh RTM untuk membincangkan isu yang tercetus dan juga tarikh tayangan dalam masa terdekat. Besar harapan, saya agar kontroversi yang timbul tidak menjejaskan peluang karya ini untuk ditayangkan.

Sebagai penerbit, mengapakah telefilem ini perlu ditayangkan?

Ikutkan ini merupakan telefilem kedua syarikat saya. Selain barisan pelakon yang cukup hebat, skrip telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi cukup istimewa dari segi isu dan juga mesej yang ingin disampaikan. Saya orang Islam dan tahu batas-batas agama, tidak mungkin saya mahu mempromosikan budaya LGBT dalam televisyen. Saya menggunakan bidang seni untuk menyampaikan mesej positif salah satunya menerusi telefilem ini.

Apakah yang ingin dikatakan kepada netizen yang membuat kecaman tanpa usul periksa?

Janganlah membuat kecaman dan kritikan tanpa usul periksa. Saya tidak tahu di mana dan bagaimana mereka menonton telefilem ini sehingga mampu membuat ulasan sedangkan ia belum ditayangkan lagi. Tidak adil membuat kritikan berdasarkan sedutan gambar-gambar dalam telefilem yang semuanya tidak tepat.

Adakah kontroversi ini memberi impak kepada anda selaku penerbit?

Walaupun dituduh kafir dan munafik dalam media sosial, saya anggap itu semua sebagai satu ujian. Biasalah dalam setiap pekerjaan pasti ada dugaan dan halangannya, ini mungkin bahagian saya. Harap semuanya dipermudahkan.