Sesuai dengan iklim semasa yang menyaksikan ramai penyanyi senior kembali merancakkan arena muzik tempatan, penyanyi berusia 38 tahun itu turut tidak melepaskan peluang untuk cuba meletakkan kembali namanya dalam senarai.

Hadir dengan single terbaharu berjudul Goyang yang merupakan ciptaan sepasang suami isteri, Farique Nadzir dan Adah Kahir, Ezlynn bersedia menyemarakkan semula namanya meskipun sedar ada beberapa perkara yang perlu dilakukan sekiranya mahu kemunculan semula kali ini diterima peminat.

Atas alasan sebegitu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hi Hi Bye Bye itu mengambil inisiatif mengubah penampilan agar tampak lebih segar dan mengikut peredaran semasa.

Seiring kelahiran single Goyang yang bergenre fun ska, Ezlynn sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli koleksi rambut palsu bagi mengubah penampilan diri yang diinspirasikan daripada imej penyanyi antarabangsa, Nicki Minaj.

Menurutnya, penampilan tersebut adalah salah satu cara untuk keluar daripada kenangan menyakitkan yang pernah melingkari kehidupannya sebelum ini.

“Orang kata, imej baharu untuk kehidupan yang baharu. Sekarang saya sudah tidak mahu lagu sedih-sedih. Sebab ada sesetengah orang percaya lirik lagu adalah doa. Dahulu saya tidak percaya, kini saya sedar, sedikit sebanyak apa yang kita dendangkan dalam lirik lagu, ada benarnya.

“Jadi, saya mahu buang semua kisah sedih dan hanya mahu perkara gembira sahaja. Sebab itulah genre lagu ini pun rancak iaitu ada elemen pop, rock punk dan ska selain ditambah sikit dengan alunan dangdut,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video Goyang di Redbox The Gardens baru-baru ini.

Kutukan

Pada masa sama, jauh dalam hati pemilik nama sebenar Azline Ariffin itu ada timbul perasaan gusar dan gementar, sementelah perlu berdepan dengan persaingan wajah-wajah baharu yang hadir dengan bonus tambahan iaitu populariti di laman sosial.

Apatah lagi perubahan yang berlaku pada zaman sekarang dengan kemunculan pelbagai medium media sosial memberikan cabaran yang cukup hebat untuk ditelan orang lama sepertinya.

“Saya sedar zaman sekarang sangat berbeza dan langsung tidak sama seperti ketika mula-mula saya mahu menjadi artis dahulu. Sekarang netizen sangat berani untuk bercakap apa sahaja menerusi media sosial kerana di situ dunia tiada sempadan.

“Sebagai orang lama, saya tidak pernah kisah pun dengan kritikan negatif. Cuma apabila melihat situasi sebegini di depan mata, barulah saya mengerti mengapa artis baharu sekarang mudah tertekan. Sebab setiap komen negatif yang ditinggalkan netizen sangat menyakitkan,” ujarnya melontar pandangan.

Biarpun mengambil pendekatan tidak mahu peduli dan sudah lali dengan kecaman yang pernah ditelannya dahulu, Ezlynn tidak dapat lari daripada menjadi bahan kutukan pengguna laman sosial.

“Pernah dahulu saya kena kutuk kerana mempunyai akaun aplikasi Tik Tok. Ada seorang individu meninggalkan komen dan menyifatkan bahawa aplikasi itu hanya untuk golongan muda sedangkan saya sudah tua.

“Memang saya agak terkejut dengan penyataan individu tersebut sebab kata-katanya langsung tidak berlapik.

“Namun dari situlah baru saya sedar, apabila menggunakan media sosial, kebanyakan orang gemar cakap lepas dan ikut suka hati sahaja. Tidak pernah berfikir terlebih dulu tentang apa yang diperkatakan itu yang berkemungkinan mendatangkan kemudaratan.

“Tetapi saya tidak padam komen negatif di laman sosial sebab saya mahu mendidik orang sebegini. Setiap kali bercakap buruk tentang orang lain, perbuatan itu pasti akan dihitung Tuhan,” kata bekas peserta Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu optimis.

Dalam kesediaannya kembali aktif menyanyi, Ezlynn sebenarnya bergelut dengan tahap kesihatan tidak memuaskan sehingga terpaksa menjalani pembedahan lutut pada September tahun lalu.

Mengimbas kembali detik menyakitkan tersebut, kedua-dua belah kakinya membengkak sehingga sukar untuk berjalan apatah lagi berlari atau menaiki tangga. Dia sebenarnya berdepan masalah lutut apabila gel bahagian cartilage lututnya telah kering dan mendatangkan kesakitan apabila bergerak.

“Siapa yang tidak sedih apabila nikmat berjalan seperti biasa ditarik sedangkan saya masih ada kaki. Keadaan waktu itu sangat teruk. Mahu solat pun susah dan terpaksa duduk di atas kerusi.

“Sekarang, keadaan sudah okey tetapi tetap rasa sakit. Cuma saya perlu melawan sakit itu untuk meneruskan kerja dan mencari rezeki,” katanya yang mengakui sukar tidur malam akibat kesakitan yang dilalui.

Biarpun penyakit tersebut berisiko untuk kembali menyerang, Ezlynn tetap bersyukur kerana keadaan kesihatannya sangat baik memandangkan dia seorang yang gemar melakukan aktiviti sihat.

“Selepas menjalani pembedahan pada September lalu, kaki saya sudah beransur pulih dan sekarang masih mendapatkan rawatan fisioterapi di pusat gimnasium bersama seorang jurulatih bertauliah,” katanya.

Solo

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kehidupan selepas bercerai dengan Adam Fahmy Shamsuddin pada 23 Oktober 2017, Ezlynn mengakui gembira dengan jalan solo pilihannya.

Pada masa sama, Ezlynn tidak mahu menipu diri dan semua orang bahawa dia begitu sukar memadam segala kenangan yang pernah terbina bersama Adam.

Tidak dinafikan juga, status janda yang diusung kini membuatkan ramai kenalan wanita takut untuk berkawan dengannya. Mereka bimbang suami masing-masing cuba mendekati Ezlynn.

“Saya tidak mahu memberikan jawapan ya atau tidak, sekiranya ditanya adakah pernah diganggu suami rakan sendiri. Cuma satu yang saya boleh katakan iaitu lelaki akan tetap ‘lelaki’.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak akan mengganggu dan mengelak daripada mendekati suami orang. Namun andai sudah takdir, saya sendiri tidak boleh elak daripada perkara sebegitu terjadi,” ujarnya sambil mengakui tidak terdesak memikirkan soal jodoh buat masa ini.

Ditebak tentang kesediaannya untuk mengisi kekosongan hati dengan cinta baharu, Ezlynn menjelaskan, dia seboleh-bolehnya mahu seluruh perasaannya sembuh secara total sebelum memulakan langkah ke fasa yang baharu.

“Kalau memori itu (kenangan bersama bekas suami) masih segar dalam kepala, susah untuk kita mengalihkan perasaan kepada orang baharu.

“Sebab pada akhirnya kita akan melukakan orang lain. Jadi saya perlu pastikan hati ini sembuh sepenuhnya tetapi saya sendiri tidak pasti berapa lama lagi. Kesimpulannya, saya hanya berserah pada ketentuan Tuhan,” tutupnya penuh makna.

Kehancuran rumah tangga bukan penamat karier dan kehidupan. Tekad hati membuang kisah duka, Ezlynn kini muncul dengan penampilan lebih segar dan penuh tenaga menerusi single terbaharunya berjudul Goyang.