Kemudian tanpa menoleh ke belakang, Bebe Rexha terus mencorak kanvas seni dengan menghasilkan lagu hit termasuk kolaborasi bersama barisan penyanyi terkemuka Hollywood seperti Florida Georgia Line menerusi lagu Meant To Be, Rita Ora (Girls), G-Eazy (Me, Myself & I), Nicki Minaj (No Broken Hearts), Lil Wayne (The Way I Are) dan Louis Tomlinson (Back to You).

Penyanyi berusia 29 tahun itu seterusnya menghasilkan album EP pertama pada 2015 bertajuk, I Don’t Wanna Grow Up. Bebe Rexha kemudian menghasilkan dua lagi album EP pada 2017 iaitu All Your Fault: Pt. 1 dan All Your Fault: Pt. 2.

Cukup dengan tiga album EP, Bebe Rexha muncul dengan buah tangan baharu iaitu Expectations yang diklasifikasikan sebagai album studio pertamanya.

Mengandungi 14 lagu, Expectations lebih cenderung ke arah luahan emosi sedih dan rasa kecewa dalam mencari erti sebenar kehidupan.

Perasaan tersebut lantas dijadikan sebagai material asas buat Bebe Rexha dalam menghasilkan album berkenaan yang pastinya akan menjentik emosi pendengar.

Biarpun diiringi dengan melodi berentak pop rock dan pop R&B, namun nukilan lirik pada hampir kesemua lagu dalam album Expectations memberi refleksi kecewa.

Menduduki posisi pertama album Expectations, lagu Ferrari menjurus ke arah luahan perasaan mengenai kehidupan yang dirasakan kosong.

Terus membuai perasaan, lagu I’m A Mess lebih terisi dengan kata-kata kecewa dek kerana kerap menerima pandangan negatif daripada masyarakat sekeliling.

Namun, biarpun tajuk single berkenaan ketara menggambarkan rasa kecewa tetapi lagu tersebut turut disuntik dengan perasaan semangat. Rencah yang sama turut digunakan menerusi lagu 2 Souls On Fire duet bersama Quavo.

Kekal dalam acuan kesedihan, Bebe Rexha terus berusaha menjadikan pendengar terus hanyut dengan untaian lagu kecewa menerusi Shining Star.

Gaya iringi bunyi petikan gitar gaya klasik persis kumpulan Santana membuatkan lagu Shinning Star bagai mendapat sentuhan muzik latin.

Tanpa sebarang perubahan rasa, nuansa muzik Bebe Rexha menjadi setiap lagu kedengaran berbeza namun tetap kekal dalam kepompong kesedihan terutama dalam lagu Knees, I Got You, Self Control, Sad dan Mine.

Segala rasa sedih yang terkandung dalam Expectations mampu menjadikan ia tidak ubah seperti album studio kedua penyanyi kelahiran Britain, Sam Smith, The Thrill of It All (2017).

Kedua-dua album berkenaan mempunyai persamaan dalam penyampaian rasa duka kepada pendengar.

Sebagai pelengkap terhadap album tersebut, kesengsaraan yang menjadi luahan perasaan Bebe Rexha diteruskan menerusi lagu Steady nyanyian bersama Tory Lanez sebelum dilanjutkan dengan Don’t Get Any Closer, Grace, Pillow dan Meant To Be (duet Florida Georgia Line).