Tekad untuk berdikari seiring tuntutan kerjaya, pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri yang berusia 19 tahun itu menyifatkan keputusan berkenaan adalah paling berat sepanjang hidupnya.

Biarpun sekadar berpindah dari kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur ke Damansara, Selangor, bagi Ismail, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum mula hidup berdikari.

Menurutnya, perkara paling sukar untuk dilakukan adalah meyakinkan ibunya yang juga penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam bahawa dia mampu untuk meneruskan kehidupan mandiri.

Kini hampir setahun hidup ‘bebas’ Ismail mengakui, adakalanya merindui kelibat seorang ibu di dalam kediamannya. Namun, Ismail tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil, dia bahkan semakin bijak mengatur kehidupan.

“Saya sudah lama berhasrat untuk hidup berdikari, tetapi tidak mempunyai keberanian untuk menzahirkan hasrat berkenaan kepada keluarga terutama ibu.

“Saya yakin ibu tidak akan bersetuju dengan keputusan untuk hidup sendiri. Bayangkan ketika zaman persekolahan, saya tidak dibenarkan untuk mengikuti perkhemahan anjuran sekolah, apatah lagi tinggal seorang diri,” dedah anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Mengimbau momen ketika kali pertama memaklumkan hasratnya untuk keluar dari rumah kira-kira setahun lalu, Ismail sekadar tersenyum dan menghembuskan nafas lega.

Ujarnya, ibunya hampir sahaja merajuk dan membentak kerana tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Meskipun begitu, sebagai anak lelaki, Ismail mengumpulkan keberanian dan melontarkan hujah-hujah kukuh untuk mendapat restu daripada keluarga.

“Saya masih ingat mata ibu pada saat itu terbeliak. Daripada reaksi spontan ibu saya telah tahu dia tidak bersetuju. Saya memujuk ibu dan membiarkan dia bertenang.

“Pada keesokan hari, ibu sendiri memaklumkan bahawa dia memberi kebenaran beserta syarat iaitu saya perlu bijak menjaga diri,” tutur pelantun lagu Bidadari itu.

Album

Sejak tinggal di kediaman sendiri, Ismail bersyukur kerana kerjayanya masih berjalan seperti biasa, malah dia semakin fokus merencana agenda seni.

Menurut Ismail, antara alasan utama berpindah ke Damansara adalah soal logistik. Dia tidak mahu membuang masa tersekat dalam aliran trafik pada waktu puncak untuk ke sesebuah lokasi memenuhi tuntutan kerja.

“Saya berpendapat Damansara adalah lokasi yang strategik. Lokasi itu dekat dengan Sri Pentas dan Astro di Bukit Jalil. Jadi, memudahkan pergerakan harian selain melunaskan aktiviti seni di sekitar ibu kota,” katanya yang kini menceburkan diri dalam perniagaan baju raya.

Melihat pada graf kerjaya Ismail, sejak meledak menerusi single Sabar kira-kira dua tahun lalu, dia antara pendatang baharu yang cukup konsisten dalam menghasilkan karya-karya popular.

Selepas dua single berentak pop dan balada, Luar Biasa yang dilancarkan pada tahun lalu menampakkan sisi muzik berbeza Ismail menerusi percaturan genre pop dan dance.

“Bidang tarian adalah satu percubaan, namun tidaklah serius sehingga saya mahu dilabel penari handal.

Luar Biasa juga percubaan saya tampil berbeza dalam berkarya. Saya mahu setiap naskhah memberikan pembaharuan kepada pendengar,” katanya.

Hampir dua tahun bergelumang sebagai anak seni, Ismail menzahirkan impian tampil dengan sebuah album penuh sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat.

Menyasarkan penghasilan antara 12 hingga 15 lagu sebagai pengisian, Ismail juga sedang mengumpulkan material lagu dalam bahasa Inggeris.

Kongsinya, selepas mengeluarkan lagu bahasa Inggeris sulung berjudul Save Me, Ismail selesa untuk terus menyanyikan lagu dalam bahasa berkenaan.

“Sejujurnya, Save Me bukanlah sebuah material bersifat komersial kerana naskhah itu sarat dengan melodi berbanding lirik. Saya sedar lagu seperti itu tidak akan mendapat tempat, namun bersyukur masih ada yang memberi sambutan.

“Sambutan terhadap Save Me antara faktor saya ingin memperbanyakkan penghasilan lagu dalam bahasa Inggeris,” tuturnya.

Menyedari jualan album berbentuk fizikal tidak memberansangkan, Ismail mengalihkan perhatiannya untuk menguasai platform digital.

“Saya sedar untuk mengeluarkan album menuntut kos di samping keadaan pasaran yang perlahan. Jadi, saya mahu album ini seimbang antara pasaran dalam bentuk fizikal dan platform digital,” jelas pemilik koleksi baju raya Qilai itu.

Sempat berkongsi mengenai dunia perniagaan jenama baju rayanya, Ismail bercadang memperlahankan aktiviti seni sepanjang Ramadan nanti demi memberi perhatian terhadap jualan koleksinya.

Dia akan turun padang dengan menyasarkan vendor untuk memperkenalkan jenama Qilai yang menampilkan paduan gaya kurta dan baju Melayu di seluruh negara.

“Saya telah terlibat dengan perniagaan baju raya bawah label Qilai sejak tahun lalu lagi, tetapi kurang terbabit dalam aspek pasaran.

“Tahun ini, saya mahu turun padang dan melihat sendiri sambutan terhadap jenama itu sementelah kami juga telah melancarkan pelbagai koleksi baharu,” katanya.