Cuma, pada masa itu, tidak tahu di mana silapnya, ramai yang tidak menyedari kehadiran dirinya. Bukan satu tempoh yang singkat dia cuba membina nama, namun siapa sangka, tuahnya bergandingan dengan Syamel menerusi pertandingan realiti Duo Star tahun lalu telah membuka mata banyak pihak mengenai bakat yang ada pada anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Tidak terhenti di situ, membawakan karya duet menerusi Aku Cinta, bersama Syamel, nama Ernie terus menjadi perhatian. Lebih-lebih lagi apabila dia turut merangkul Anugerah Vokal Terbaik dalam penganjuran berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 awal tahun ini.

Sungguhpun begitu, di sebalik kejayaan demi kejayaan yang diraih, ada cerita yang terbuku di hatinya selama ini. Sepanjang tempoh itu juga, kata Ernie ada kalanya, dia merasakan selama ini dia tidak menjadi dirinya sendiri. Sebaliknya, dia banyak mengikut telunjuk orang dan terpaksa membungkam kerana sebelum ini dia merasakan dirinya bukanlah siapa-siapa.

Bersuara

Bagaimanapun, Ernie mula sedar bahawa dia tidak boleh berterusan dengan sikap sebegitu. Dia perlu ada prinsip diri yang mempertahankan hak dirinya. Justeru, dia memilih untuk menjadi diri sendiri.

“Sepanjang karier seni saya, barulah pada tahun ini saya berasakan sebenarnya saya ini seorang yang berani. Dahulu saya penakut. Kalau orang suruh begini, saya ikut, orang suruh menyanyi begitu, saya ikut.

“Kalau orang suruh apa, saya tak pandai untuk kata ‘tidak’. Saya seorang yang suka diam dan tidak pandai melawan.Sebelum ini, saya seperti tidak pandai untuk dapat hak saya sendiri. Bagaimanapun, sekarang saya lebih bersifat terbuka untuk bersuara serta menyatakan kebenaran. Saya juga mahu menjadi diri sendiri,” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu pertemuan sesi fotografi baru-baru ini.

JIKA ada perkara yang tidak dipersetujui, Ernie kini lebih cenderung

JIKA ada perkara yang tidak dipersetujui, Ernie kini lebih cenderung untuk menyatakan pandangan dan haknya akan sesuatu perkara.

Sungguhpun begitu, keberanian dalam bersuara itu katanya, bukanlah bermaksud peribadi dirinya kini seorang yang lantang. Sebaliknya, pelantun lagu Jangan Marah itu memberitahu, dia hanya mahu menjadi seorang yang jujur dalam memperjuangkan karier seninya sebagai penyanyi.

“Bukanlah saya nak beritahu yang saya ini lantang. Cuma, sekiranya ada perkara yang buat saya tidak berasa selesa untuk dilakukan, saya akan beritahu hal yang sebenar kepada mana-mana pihak. Kalau dahulu saya berdiam diri. Saya pun penat mendaki karier ini, kalau ada benda tidak betul dan tidak jujur, saya perlu luahkan.

“Lagipun dalam industri ini bukan semata-mata untuk mengejar populariti, sebaliknya saya mahu menjadi seorang yang jujur dalam industri muzik,” luahnya.

Menariknya, perubahan dirinya itu diabadikan dalam single terbaharu Ku Bersuara yang bakal diterbitkan secara rasmi pada 7 Disember ini. Katanya, lagu itu menceritakan segala pengalaman sepanjang dia membina nama sebagai penyanyi.

“Idea asal lagu itu adalah daripada saya. Bagaimanapun, selepas itu saya meminta Syamel untuk menghasilkan lagu yang mengisahkan kehidupan saya dan apa yang terjadi dalam hidup sebagai penyanyi. Hasrat itu saya luahkan kepadanya selepas menyertai AJL. Lagu itu juga bukan mengenai kisah cinta pun,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel.

Katanya, dia memilih Syamel kerana yakin dengan kemampuan yang dimiliki sahabatnya itu dalam berkarya. Lagipun kata Ernie, jejaka berusia 25 tahun itu lebih memahami perjalanan karier seninya sebagai penyanyi.

“Saya memang selesa bekerjasama dengannya. Bukannya saya tidak mahu bekerjasama dengan komposer lain, sebaliknya, merasakan Syamel lebih memahami kisah apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu itu. Bahkan, dia beritahu, lagu Ku Bersuara itu merupakan lagu pertama yang diberikannya kepada penyanyi lain, biarpun selama ini ramai yang minta lagu daripadanya,” kongsinya yang memberitahu lagu tersebut turut mendapat sentuhan komposer Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Idam konsert

Dalam pada itu, biarpun tirai kalendar 2018 hampir melabuhkan tirai, kongsi Ernie, tahun ini banyak momen manis yang akan terus kekal menjadi kenangan terindah buatnya sebagai penyanyi.

“Saya boleh simpulkan bahawa tahun ini sebagai kepuasan buat diri. Alhamdulillah, apa yang saya inginkan hampir kesemuanya tercapai. Sudah ke AJL, tercalon dan menang di Anugerah Bintang Popular serta diberi peluang untuk membuat persembahan di penganjuran anugerah-anugerah berprestij.

“Bahkan, impian saya ingin membuat persembahan tribute kepada penyanyi Noraniza Idris juga sudah terlaksana. Dalam tempoh lapan tahun saya sentiasa berdoa, alangkah seronoknya dapat melakukan itu semua, syukur semuanya terjawab pada tahun ini,” jelas pelantun lagu Misteri itu.

Bagaimanapun, katanya, dari aspek berkarya, dia belum benar-benar puas. Baginya, perjalanan kariernya masih lagi jauh.

“Saya mengimpikan untuk mengadakan konsert solo saya di Dewan Filharmonik Petronas satu hari nanti. Cuma, buat masa setahun, dua ini saya merancang untuk mengadakan showcase terlebih dulu. Hasrat itu juga sudah saya luahkan kepada pihak pengurusan,” katanya.

Biarpun sering dilihat bergandingan dengan Syamel, kata Ernie hakikat sebenar dia tidak pernah mengehadkan dirinya untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi.

“Jika diberi peluang, ramai lagi penyanyi hebat yang saya teringin untuk berduet seperti Dayang Nurfaizah, Njwa dan Anuar Zain. Cuma, Insya-Allah selepas ini akan ada satu lagi projek lain bersama Syamel yang masih lagi diperingkat perancangan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ernie, dia mengakui memasang cita-cita untuk menembusi pasaran antarabangsa pada masa akan datang. Justeru, katanya dia juga mengimpikan untuk berduet dengan penyanyi luar seperti Raisa dan Isyana Sarasvati.

“Satu hari nanti, Insya-Allah mungkin boleh ke Amerika Syarikat pula. Itu impian yang saya sering ceritakan kepada kawan-kawan sekeliling,” katanya menutup bicara. - K! ONLINE