Dianggotai oleh Rafizamanir Rafini (Eizam - vokalis), Mohd. Nur Shahrashid Md. Sharip (Shah - gitar), Razak Ngah Radzi (Ajak - bass) dan Mior Azhabullah Anuar (Azhar - dram), kumpulan Enigma mempertaruhkan single pertama berjudul Pertemuan.

Menurut vokalisnya, Eizam, bukan mudah untuk mereka mengeluar single memandangkan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu kerap bertukar anggota.

Selain itu, kos penerbitan single sebanyak RM5,000 juga dikeluarkan oleh mereka sendiri.

“Jika dikenang semula memang perit kerana kami semua terpaksa mengikat perut untuk mengumpul wang bagi menampung kos penerbitan single.

“Namun, melihat kepada hasilnya kami berpuas hati dan bersyukur kerana single Pertemuan sudah mula dimainkan di radio RTM,” kata Eizam.

Cabaran

Bercerita tentang perjalanan muzik kumpulan Enigma, kongsi Eizam, impian mereka untuk bergelar penyanyi pada mulanya hampir berkubur.

Hal ini kerana kesemua mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman bermain muzik secara profesional. Namun, mereka bertuah apabila bertemu dengan pemain dram kumpulan May iaitu Man.

“Kami semua tiada pengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan langkah dalam bidang seni. Alhamdulillah, kami dipertemukan dengan Man daripada kumpulan May.

“Dia banyak membantu dan memberi tunjuk ajar. Dia juga merupakan penerbit lagu kami. Sebelum merakam lagu, dia terlebih dahulu mahu kami berlatih selama enam bulan di studio.

“Sekitar September tahun lepas barulah kami menjalani proses rakaman dan single Pertemuan mula dilancarkan pada Oktober tahun yang sama,” ujar Eizam lagi.

Bercerita tentang harapan, meskipun masih terlalu baharu, Enigma yang mempertaruhkan genre rock balada mengharapkan sokongan peminat.

“Kami lihat sekarang merupakan masa yang sesuai kerana peminat muzik kembali meminati lagu rock seperti zaman 1990-an.

“Cuma kami cuba memberi sentuhan berbeza supaya tenaga muzik 1990-an gaya Enigma kedengaran berbeza dan relevan kepada pendengar muzik hari ini,” kata Azhar.