Bermula dengan obsesi peminat terhadap penerbitan novel berjudul sama tulisan Habiburrahman El Shirazy itu, populariti pada jenama Ayat-Ayat Cinta mulai bercambah tatkala kisah mengenai rukun berpoligami dalam Islam divisualkan dengan indah di layar lebar oleh sutradara Hanung Bramantyo.

Menambah taksub masyarakat mengenai kisah hidup bermadu yang pada ketika itu dianggap sedikit tabu dalam kalangan masyarakat, filem terbitan MD Pictures tersebut dijayakan oleh pelakon-pelakon gred A iaitu Fedi Nuril yang membawakan watak Fahri, Rianti Cartwright (Aisha) dan Carissa Puteri (Maria Girgis).

Justeru, tidak hairan jika filem yang turut ditayangkan di Malaysia dan Singapura itu dinobatkan sebagai antara filem paling laris di Indonesia dengan jumlah tontonan sebanyak 3.7 juta.

Seiring penerbitan novel lanjutannya, Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) pada tahun 2015, demam peminat terhadap jenama Ayat-Ayat Cinta terus membara sebaik sahaja MD Pictures mengumumkan penerbitan sekuel untuk filem pertamanya.

Menepati jangkaan ramai, filem arahan Guntur Soehardjanto itu dilihat bakal menyambung legasi fenomena dan kegilaan yang pernah melanda penonton suatu ketika dahulu.

Buktinya, biarpun hanya mengekalkan Fedi sebagai satu-satunya teraju utama filem, AAC2 berjaya meraih jumlah tontonan di pawagam sebanyak 2.5 juta selepas 16 hari ditayangkan di Indonesia.

Bertemu dengan pelakon berusia 35 tahun itu sempena jelajah promosi AAC2 yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, Fedi menyifatkan dirinya semakin akrab dengan karakter Fahri.

Dua isteri

Ujar Fedi, sepanjang 10 tahun dikaitkan dengan Fahri, karakter tersebut telah membuka ruang kepada dirinya untuk mempelajari sesuatu perkara baharu, baik mengenai dunia lakonan mahupun tentang kehidupan seharian.

“Banyak yang saya pelajari ketika mendukung watak Fahri. Saya belajar tentang filem, dunia lakonan dan juga mengenai hal-hal berkenaan dengan agama.

“Ketika ditawarkan untuk kembali menerusi AAC2, saya berasa sangat teruja menantikan apa lagi ilmu-ilmu baharu yang akan saya kutip sepanjang proses penggambaran,” katanya.

Melakonkan watak lelaki berkahwin dua pada awalnya menimbulkan rasa kurang senang dalam diri Fedi.

Hal ini bukan disebabkan dirinya gentar dilabel sebagai lelaki yang tidak cukup dengan satu isteri. Sebaliknya, apa yang menjadi kerisauan pemain gitar kumpulan Garasi itu apabila khalayak menjadikan dirinya sebagai ikon suami mithali.

“Penonton pernah meletakkan ciri-ciri suami mithali yang ada pada Fahri dalam diri saya. Ternyata, telahan penonton tidak benar sama sekali.

“Namun, itu cerita dulu. Selepas beberapa kali menonton lakonan saya memegang watak sebagai suami, penonton mula faham dan menjadikan apa yang ada di layar lebar sebagai satu rekaan semata-mata,” katanya lagi.

Ditanya tentang harapan terhadap AAC2, Fedi atau nama lengkapnya, Fedrian Nuril berkata sambil bercanda: “Kalau boleh, biarlah tontonannya melangkaui filem pertama.

“Lebih banyak tontonan lebih bagus. Saya boleh minta bayaran lebih.”

Anti-Islam

Jika Fedi melihat ruang pembelajaran dan ilmu lakonan sebagai nilai tambah menerusi penglibatannya dalam AAC2, Chelsea Islan yang memainkan watak Keira mempunyai pandangan sedikit berbeza.

Menurut Chelsea atau nama penuhnya, Chelsea Elizabeth Islan, 22, AAC2 bukan sahaja mengangkat kisah cinta antara manusia, tetapi gejala Islamphobia yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ia diceritakan menerusi rasa kurang senang dan kebencian Keira terhadap golongan beragama Islam gara-gara bapanya yang terkorban akibat serangan pengganas suatu ketika dahulu.

“Keira begitu benci dengan Fahri, yang kebetulan tinggal di kejiranannya. Fahri bagaimanapun tidak pernah membalas kebencian tersebut dan lebih terbuka untuk menolong Keira yang mengalami krisis kewangan.

“Biarpun konflik ini agak sensitif tetapi, ia merupakan mesej positif kepada masyarakat supaya tidak menilai orang lain berdasarkan agama, bangsa dan warna kulit,” kongsinya.

Dalam pada itu, Chelsea turut melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menjayakan watak yang sedikit unik berbanding watak yang pernah dijayakannya sebelum ini.

“Saya banyak bereksperimen dengan emosi dan bertanya kepada pengarah bagaimana untuk merealisasikan watak antagonis ini.

“Sejujurnya, saya berasa sangat bertuah kerana dapat memainkan watak mencabar dalam filem sebesar ini,” katanya lagi.

Kesukaran Dewi Sandra

Memegang watak seorang wanita yang mengalami kecacatan pada bahagian muka dan hidup dalam penderitaan adalah perkara paling sukar untuk diterjemah oleh Dewi Sandra.

Peranannya selaku Sabina dalam AAC2 bukannya kecil. Ia bukan sekadar membawa watak yang luka dari segi fizikal tetapi yang lebih dalam adalah rahsia duka yang disimpannya seorang diri tanpa pengetahuan sesiapa.

“Sabina bermuka hodoh tetapi yang lebih teruk adalah kisah silamnya yang hitam dan misteri disimpan rapi sebagai satu rahsia. Tidak ada sesiapa pun yang tahu sehingga dia bertemu Fahri dan pertemuan itu sedikit demi sedikit membuka pintu rahsia yang ditutupnya selama ini,” ujarnya.

Akui wanita berusia 38 tahun itu, ini merupakan lakonan pertama yang paling sukar dilakukannya sepanjang hidup kerana ia menuntut emosi yang sangat berat.

Demi Sabina, dia rela menadah tubuh badan sepanjang penggambaran untuk babak diseksa sehingga meninggalkan kesan lebam yang sebenar.

“Cabaran terbesar datang dari kedua-dua aspek fizikal dan psikologi. Dari sudut mental, saya mengasingkan diri daripada sesiapa pun termasuk keluarga untuk membiarkan jiwa saya menyelami jauh ke dasar kehidupan Sabina.

“Pada saat dia perlu melakukan sesuatu yang gila ketika dilanda musibah, ironinya itulah ketika di mana kekuatan seorang manusia dikeluarkan. Saya jatuh cinta dengan watak ini ketika menelaah novel ini,” terangnya yang mengambil masa tiga bulan menjiwai watak Sabina.

Ceritanya lagi, meskipun berdepan dengan cabaran sebesar itu sehingga terpaksa mengambil masa dua minggu berehat untuk menenangkan diri selepas tamat penggambaran, hakikatnya hasil yang diperoleh sangat memuaskan hati.

“Pengalaman menjadi Sabina telah mengajar saya wawasan untuk berlakon. Bukan mudah menjalani tugas ini tetapi selepas menontonnya di layar perak, saya sangat berpuas hati dengan segala lebam dan tekanan yang perlu dilalui sebelum itu,” ujarnya yang menyimpan impian memegang watak komedi selepas ini.

Lain kisah yang dikongsi pelakon muda berbakat, Tatjana Saphira tentang wataknya sebagai Hulya iaitu sepupu kepada isteri Fahri, Aisha. Selain Keira, Hulya juga watak baharu yang dibawa dalam sekuel ini.

Bertanya tentang cabaran terhebat dilaluinya untuk filem ini, Tatjana terbuka mengakui kejayaan filem terdahulu memberi tekanan berganda buatnya sebagai salah seorang pelakon baharu.

“Adakah kami berjaya mengulangi kejayaan itu atau tidak dan adakah orang akan suka dengan lakonan saya atau tidak, itu antara persoalan yang sentiasa muncul dalam fikiran saya.Syukur setakat ini respons peminat banyak yang bagus,” ujarnya menguntum senyum.

Ditinggal isteri

Bagi wanita yang memulakan kariernya selaku model itu, memegang watak sebagai Hulya adalah satu hal yang menarik kerana ia sama sekali berbeza dengan peribadi sebenar dirinya.

“Hulya spontan tetapi dalam masa sama dia seorang wanita yang dinamik dan jauh sekali berbeza dengan peribadi sebenar saya.

“Cuma dalam novel, Hulya digambarkan jauh lebih manis dan lemah lembut serta berhijab. Di dalam filem, dia seorang wanita yang berpendidikan tinggi tetapi selepas bertemu Fahri dan menjalani proses penghijrahan ke arah yang lebih baik. Itu perkara menarik tentang watak saya,” katanya.

Menyedari kehadirannya dalam sekuel yang pernah mencetuskan fenomena itu akan menjadi perhatian, wanita berusia 20 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana setakat ini penerimaan penonton terhadapnya adalah positif.

“Sebagai pelakon, saya juga bimbang kalau-kalau lakonan saya tidak bagus tetapi pelakon-pelakon senior banyak membantu dan untuk mencipta keserasian bersama Fedi juga sangat mudah kerana dia seorang yang sangat hebat,” tuturnya yang mengagumi jalan cerita AAC2 yang berpaksi kepada moral agama.

Sekuel AAC2 mengisahkan tentang Fahri yang melalui kehidupan sepinya sendiri selepas kehilangan isterinya Aisha yang pergi ke Gaza, Palestin untuk menyertai misi kemanusiaan. Namun kehadiran Hulya yang merupakan sepupu Aisya yang mencintai Fahri serta Sabina seorang wanita berwajah hodoh yang misteri merungkai satu rahsia antara mereka.

Filem tersebut turut dibintangi pelakon tempatan iaitu Bront Palarae dan Nur Fazura.