Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu berkata, pihak keluarga lelaki yang mahukan majlis merisik dan pertunangan diadakan sebelum mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri.

“Mungkin kerana bakal suami berstatus bujang maka keluarganya mahukan majlis merisik diadakan. Selepas merisik, kami akan bertunang dan pada hari pertunangan, saya akan adakan satu sidang akhbar mengumumkan tarikh perkahwinan.

“Memang kami merancang dan merisik dan bertunang selepas ABP32 selesai tetapi belum lagi ditentukan tarikh yang sebenar,”katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman pengacara Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-32 di Anjung Liku, Bangsar yang menyaksikan dia bakal bergandingan dengan Datuk AC Mizal sebagai hos.

Tambah Elly, tugasannya sebagai hos ABP32 tidak mengganggu perancangan perkahwinannya kerana jadual sudah disusun mengikut komitmen kerjanya.

“Saya tidak sabar menanti saat bahagia itu kerana dahulu majlis nikah saya berlangsung dalam suasana yang pilu kerana baru kehilangan mama.

“Kali ini, saya merancang membuat lima majlis resepsi berbeza buat keluarga, kawan-kawan dan peminat,”ujarnya lagi.

Elly dan bakal suami, seorang cikgu berasal dari Kelantan yang dirahsiakan identitinya sudah berkenalan hampir setahun lalu. - K! ONLINE