Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 53, menyifatkan peluang tersebut umpama impian menjadi realiti apabila dia secara peribadi sememangnya berhajat untuk membantu kesemua mangsa.

Menurut Ella, beliau pernah mendapat tawaran yang sama daripada kenalan artis iaitu Farah Fauzana, tetapi terpaksa menolak atas faktor jadual yang padat.

"Saya telah lama berniat ingin membantu mereka, tetapi sekadar menghulurkan bantuan berupa pakaian dan mengikut kemampuan kami.

"Hajat untuk ke kem pelarian dan melawat mereka di sana sememangnya ada. Kami pernah menerima tawaran sebelum ini, tetapi terpaksa menolak atas faktor jadual yang padat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman ikon misi kemanusian Palestin dan Syria pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu Ella bersama suami, Kapten Azhar Ghazali, 38, dilantik sebagai ikon KKB yang berperanan mempromosikan kutipan derma #1follower1ringgit bermula hari ini.

Turut hadir, Pengarah KKB, Prof. Madya Dr Roslan Ahmad.

Menurut Roslan, pelantikan pasangan itu merupakan pilihan tepat memandangkan Ella khususnya mempunyai kelompok peminat yang setia untuk menjayakan kempen KKB.

Tidak menyasarkan sebarang jumlah kutipan Roslan berkata, fokus KKB adalah menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik terutama dalam kalangan pelarian kanak-kanak.

"Sekiranya kutipan memberangsangkan, setiap kutipan boleh disalurkan untuk menyediakan bantuan kewangan berterusan terutama dalam kalangan ibu tunggal di kem pelarian," katanya.

Misi kemanusian KKB untuk pelarian Palestin dan Syria melibatkan beberapa buah kem antaranya, Beqaa, Aakar dan Beirut. - K! ONLINE