Biarpun sering disindir dan diberikan pandangan sinis orang sekeliling kerana sehingga kini belum lagi hamil, Elizad, 35, berkata, dia tidak pernah berhenti berusaha.

Katanya, ramai yang beranggapan dia tidak bersungguh dalam mendapat zuriat kerana tidak berkongsi dalam media sosial ikhtiar yang dilakukan untuk hamil.

Pelakon drama Aku Yang Kau Tinggalkan itu bagaimanapun menafikan dia tidak berusaha untuk mendapatkan zuriat dan mengakui pada tahun ini dia sangat bersungguh berusaha bagi memastikan kehamilan menjadi suatu realiti buat dirinya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Elizad di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Mengapakah kali ini anda dilihat sangat bersungguh untuk cepat hamil?

ELIZAD: Saya memang teringin dan berharap sangat tahun ini saya dapat hamil dengan izin Allah. Tahun-tahun sebelum ini, mungkin saya masih mengambil masa, tetapi sekarang saya betul-betul mahukan anak. Oleh sebab itu, sejak tahun lepas, saya menyiapkan diri dengan melakukan proses membersihkan toksik dalam badan agar peluang hamil meningkat.

Apakah yang anda korbankan selama setahun ini?

Saya berhenti membuat sebarang rawatan kecantikan kerana doktor menasihatkan supaya badan tidak menerima apa-apa bahan asing dalam tempoh bersedia untuk hamil.

Pada orang lain, mungkin rawatan kecantikan itu tidak penting tetapi sebagai seorang pelakon, ia diperlukan bagi memastilan penampilan saya pada tahap terbaik. Namun, demi mendapatkan zuriat, saya okey sahaja tidak membuat sebarang rawatan kecantikan.

Adakah anda sedang bersedia untuk membuat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF)?

Tidak, setakat ini saya dan suami belum sampai ke tahap IVF. Saya masih di peringkat mengambil ubat kesuburan. Jika ia tidak berhasil, kami akan ke peringkat kedua iaitu permanian beradas (IUI) dan akhir sekali, barulah IVF.

Adakah anda akan merahsiakan jika melakukan rawatan IVF?

Tidak. Kalau saya perlu menjalani rawatan IVF, saya akan beritahu kepada semua kerana itu bukanlah berita yang memalukan. Rawatan itu bukti saya benar-benar berusaha keras bagi mendapatkan anak.

Bagaimanakah dengan karier lakonan jika anda memilih membuat rawatan IVF?

Setakat ini, saya belum memikirkan hal itu lagi kerana masih belum berlaku. Saya ada dengar jika membuat rawatan IVF, ibu perlu berehat di katil untuk tempoh masa tertentu. Bagaimanapun, andai saya ditakdirkan membuat IVF, barulah saya akan susun semula jadual kerja.