Dihasilkan oleh Hael Husaini dan Ezra Kong, lagu tersebut yang menceritakan tentang kekasih yang menipu selamat dilancarkan pada 6 Julai lalu.

Teruja kerana dapat kembali dengan buah tangan terkini, ada cerita di sebalik lagu tersebut apabila Elizabeth atau mesra disapa Lizzy berkata, ia ditujukan khas buat bekas kekasihnya.

Ikuti penjelasan daripada penyanyi berusia 25 tahun itu tentang perkara tersebut selain berkongsi perkembangan terkininya dalam industri.

KOSMO!: Tahniah atas pelancaran single terbaharu ini. Boleh ceritakan bagaimana kerjasama ini antara Elizabeth dengan Hael dan Ezra?

ELIZABETH TAN: Kerjasama ini berlaku tiga bulan lepas apabila pihak syarikat rakaman Warner Music minta mereka membuat lagu untuk saya. Selepas mendengarnya, mereka kata saya perlu untuk ambil lagu ini kerana semua orang akan sukakannya. Tidak sangka ia memang sebuah lagu yang istimewa dan unik.

Saya sangat berterima kasih kepada mereka berdua kerana berjaya menghasilkan lagu yang sangat bagus dan sedap didengar. Tidak semua orang mampu mengambil inspirasi permainan pada zaman kanak-kanak untuk dibuat lagu.

Satu perkara lagi, menerusi lagu ini saya belajar perkara baharu iaitu mengarahkan sendiri klip video.

Apakah yang anda belajar tentang dunia pengarahan klip video?

Banyak, terutama perincian yang sangat penting untuk semua perkara. Dalam video ini saya banyak menari, cuma langkahnya diulang-ulang supaya senang untuk peminat mengikutinya.

Cuma saya rasa hasilnya sangat ringkas kerana kekurangan babak tarian dan berharap pada masa akan datang dapat melakukan yang lebih baik.

Selepas setahun tidak muncul dengan lagu baharu, mungkin untuk Police Entry ada sebarang cabaran pada anda?

Tidak susah untuk kembali ke studio dan merakamkannya meskipun sudah lebih setahun tiada lagu baharu. Cuma perasaan saya gementar, takut dan tidak tahu jangkaan peminat terhadap lagu ini bagaimana.

Cuma saya yakin dan berharap agar ia dapat sambutan kerana lagu ini sangat istimewa daripada susunan muzik yang diolah oleh Ezra dan Hael. Saya cukup bertuah kerana dapat bekerja dengan mereka.

Difahamkan, lagu ini ditujukan buat kekasih yang menipu. Jadi adakah ia ada kaitan dengan hidup ada?

Secara jujurnya memang ada kena-mengena dengan hidup saya iaitu bekas kekasih. Saya tujukan lagu ini buatnya kerana semua orang tahu apa yang dia pernah lakukan terhadap saya. Dia banyak menipu. Sedikit pun saya tidak risau atau kisah kalau dia marah kerana siapa makan cili dia yang akan terasa pedasnya.

Adakah anda masih tidak boleh melupakan kisah lalu dan menyimpan dendam?

Saya tidak pernah berdendam. Cuma saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Ibu kata jangan tetapi saya tetap berdegil. Akhirnya, larangan itu membuktikan bahawa kata-kata ibu semuanya betul.

Sekarang saya sudah okey dan sangat bahagia dengan kehidupan sendiri.

Sebagai orang yang pernah mengalami kemurungan, mungkin anda ada sebarang nasihat buat golongan artis memandangkan baru-baru ini timbul kontroversi membabitkan seorang penyanyi remaja yang mengaku mengalami perkara serupa?

Sejujurnya saya pun tidak mahu bercakap lebih. Cuma bagi saya, dia masih terlalu muda dan tidak mendapat sebarang bantuan daripada orang sekeliling bagaimana cara untuk mengawal perkara negatif. Mungkin juga dia keliru antara depresi, kebimbangan atau stres.

Apa yang saya mampu nasihatkan, kalau boleh berjumpa dengan pakar sebab ia sangat membantu. Dahulu pun saya ada berjumpa pakar psikologi dan dengan cara itu saya beransur pulih.

Hakikatnya sebelum itu saya tidak keluar rumah selama sebulan selain menangis dalam tempoh lima hingga enam jam sehari. Syukur sekarang saya sudah okey.

Boleh kongsikan sedikit perkembangan terkini?

Selepas lagu Police Entry, saya akan mengeluarkan sebuah lagi lagu baharu pada Oktober depan ciptaan Audi Mok. Ia merupakan perancangan daripada Warner Music yang mahu memastikan nama saya sentiasa berada dalam radar industri kerana sekarang saya mahu fokus terhadap karier.