Ironi, minat mendalam terhadap dunia dan arena lakonan sudah pun sebati dalam empunya badan selain dijadikan sebagai mata pencarian utama.

Menggunakan nama sebagai Mawar dalam gelanggang seni lakonan yang diceburi, tidak hairanlah jika setiap watak yang diberikan sutradara rumah produksi berjaya dibawanya dengan cara tersendiri.

Namun begitu, graf wanita berusia 24 tahun ini mula susut sejak tahun lalu lantaran sibuk menguruskan hal perkahwinan selain terpaksa memberikan fokus buat cahaya mata sulung yang kini memasuki usia lima bulan.

Akur dengan aturan Yang Maha Esa, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 24, tekad untuk hilang seketika dalam dunia lakonan yang dicintainya demi melihat anak tersayang membesar dengan sempurna di samping suami tercinta.

“Jujur saya katakan, bergelar ibu pada usia muda bukan satu perkara yang mudah selain banyak selok-belok yang perlu dipelajari.

“Tapi ia merupakan sebagai salah satu proses dan fasa yang akan dilalui setiap wanita bernikah kelak,” ujarnya membuka bicara sambil melemparkan secangkir senyuman manis kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Pengorbanan

Bercerita lanjut, Mawar yang semakin meningkat naik dan disebut-sebut namanya ini memberitahu, dia bahagia dengan pilihan dan keputusan yang dilakukannya sebelum ini.

Meraih popularitu menerusi drama Tundukkan Playboy Itu, dia menganggap keputusan untuk berehat sementara daripada dunia lakonan sebagai salah satu pengorbanan terbesar terhadap keluarga kecilnya.

“Buat masa sekarang, saya mahu jaga anak sulung, Raden Muhammad Rafael dahulu dan melihat dia membesar di depan mata.

“Untuk tempoh setahun dua ini, biarlah fokus itu saya berikan kepada dia (anak) dan kepada suami. Saya tidak mahu ada rasa terkilan pada kemudian hari,” katanya.

Tambah anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan memiliki darah campuran Siam ini, ia bukan bererti dia akan meninggalkan dunia seni buat selama-lamanya, namun perlu diketepikan sementara.

Berkongsi lanjut, dia kini amat seronok dan teruja dengan status terbaharunya sebagai seorang ibu di samping isteri kepada Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob.

Kembali aktif

Berkongsi mengenai perancangan kerjaya dan masa yang sesuai untuk bergiat aktif semula dalam dunia seni, Mawar pantas meleraikan persoalan dengan jawapan tersendiri.

Menurutnya, dia bukan langsung tidak mahu menerima sebarang tawaran namun perlu bersifat sedikit selektif agar selari dengan waktu untuk anak dan suaminya.

“Saya bukan bermaksud untuk memilih. Tapi ia lebih kepada perancangan masa yang lebih fleksibel.

“Kalau zaman anak dara dan mula-mula bernikah dahulu, boleh dikatakan semua watak dan tawaran saya terima kerana langsung tidak terikat dengan apa-apa komitmen,” tuturnya tersenyum.

Namun begitu, hasil perbincangan dengan suami, buat masa ini dia sudah bersedia untuk menceburi semula bidang seni namun bukan secara drastik.

Katanya, buat masa sekarang, dia melihat bidang pengacaraan amat kena dan cocok dengan masa dan komitmen yang perlu diutamakan.

“Selain berlakon, saya juga seorang selebriti media sosial dan kadangkala banyak aktiviti serta jemputan majlis yang perlu dihadiri dan dipenuhi.

“Bidang seni adalah sumber pendapatan dan sebahagian daripada kehidupan saya. Masakan saya akan lupakan dunia lakonan sebegitu mudah dan pantas,” ujarnya yang turut diberikan peluang mengacarakan program Pa & Ma untuk dua episod bagi musim keenam terbitan Astro Prima.

Lagu duet

Sebagai selebriti, pasti bakat seni yang dianugerahkan mahu divariasi dan dizahirkan menerusi pelbagai cabang.

Begitu juga yang ingin dilakukan pasangan serasi Mawar dan suaminya, Raf yang turut memilih dan melebarkan sayap bakatnya menerusi bidang nyanyian kelak.

Kongsi Mawar, sebagai permulaan Raf kini sedang giat mencari mana-mana komposer dan penggubah muzik bagi menghasilkan sebuah lagu duet bersesuaian untuk mereka berdua.

“Tak salah saya rasa kita nak cuba sesuatu yang baharu dan mungkin belum pernah dilakukan mana-mana pasangan seperti kami.

“Lagipun, kami rasa mungkin sudah tiba masa untuk mengembangkan lagi laluan kerjaya seni yang kami sama-sama cintai,” katanya yang memberitahu secara kebetulan dia dan suaminya turut mempunyai minat menyanyi sejak dari awal perkenalan.

Cerita Mawar lagi, ketika ini mereka berdua masih dalam proses mencari material yang sesuai dan kedua-duanya gemar akan lagu duet seperti yang dihasilkan komposer dan penyanyi terkenal seberang, Melly Goeslaw.

“Kami mahu lirik lagu itu nanti ditulis bersama-sama kerana saya dan suami ingin berkongsi kisah cinta kami bersama peminat dan pendengar,” ujarnya sekali gus menyimpul bicara.