Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan apabila pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu disahkan hamil selepas melangsungkan pernikahan dengan Muhammad Faris Khairol Anuar 1 Januari lalu.

Menurut Elfira, dia sudah cuba berlakon sewaktu fasa trimester pertama kehamilan dan ternyata bebanan komitmen tersebut terlalu memenatkan lalu mengambil keputusan untuk berehat sehingga selamat bersalin hujung tahun ini.

Tidak berasa menyesal dengan keputusan tersebut, pelakon Qalesya yang ditemui pada sidang akhbar Elfira X MC Vogue di Flora Terrace baru-baru ini berkata, dia mahu lebih berhati-hati menjaga kandungannya memandangkan ini pengalaman pertamanya melalui hari-hari untuk bergelar seorang ibu.

KOSMO!: Apakah perasaan Elfira apabila mengetahui sedang hamil?

ELFIRA: Saya berasa sangat terkejut dan seperti tidak percaya kerana Allah berikan rezeki yang sangat cepat. Saya sering mendengar bahawa ramai wanita yang bergelut untuk hamil, namun saya sangat bersyukur kerana dipermudahkan soal zuriat untuk saya. Malah sehingga sekarang, saya masih berasa seperti dalam mimpi mengenangkan ada nyawa lain dalam rahim saya.

Mengapakah anda memilih untuk tidak mengumumkan berita ini dalam media sosial?

Sejujurnya, jika ada yang bertanya secara berdepan, saya akan mengiakan sahaja cuma untuk membuat pengumuman dalam media sosial, saya masih berasa segan. Saya memberitahu para media sekarang pun selepas mendapat keizinan daripada suami dengan harapan lebih ramai yang mendoakan kesejahteraan saya dan bayi dalam kandungan. Apa yang boleh saya kongsikan, kandungan saya kini berada pada trimester kedua (empat hingga enam bulan) dan bakal bersalin hujung tahun ini.

Adakah anda mengalami sebarang alahan sewaktu awal kehamilan?

Alhamdulillah, alahan saya biasa-biasa sahaja seperti berasa mual dan muntah yang tidak terlalu teruk. Setakat ini, semuanya lancar dan saya berharap akan berterusan sehingga tiba masa untuk bersalin.

Bagaimana pula dengan rancangan kerjaya seni anda?

Saya sasarkan tahun ini untuk kembali aktif dalam dunia lakonan tetapi nampaknya hasrat itu perlu ditangguhkan dahulu memandangkan saya sedang hamil. Sebenarnya, saya sudah cuba berlakon sewaktu kandungan masih baharu tetapi sangat memenatkan.

Kehamilan memang mengubah saya daripada seorang yang sangat aktif dan lasak menjadi individu yang cepat penat. Jadi sebelum menyusahkan orang, lebih baik saya berehat sahaja dahulu.

Adakah keputusan tersebut turut dipengaruhi suami?

Tidak, suami akan menyokong apa sahaja perkara yang membuatkan saya gembira. Saya pun tidak berasa ralat soal ini kerana rezeki anak lebih besar dan perlu dijaga sebaiknya kerana tambahan pula ini kehamilan saya yang pertama. Insya-Allah, pasti ada peluang serta ruang lain buat saya dalam industri selepas selamat melahirkan cahaya mata nanti.