Jika dalam naskhah lain mereka tampil selaku pelakon atau penyanyi, namun dalam sesetengah program tertentu, ada juga kisah yang menampilkan sisi sebenar dan berbeza artis mengikut konsep penerbitan.

Hal itu dipersetujui oleh pelakon Siti Saleha yang bakal muncul menerusi sebuah program realiti televisyen berjudul Extreme Ends terbitan saluran hiburan aksi, KIX HD. Ia disifatkan menampilkan sisi sebenar dirinya yang gemar meneroka.

Menerusi Extreme Ends, ada kelainan untuk penonton apabila ia menampilkan empat selebriti dari empat buah negara seperti Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand menyahut cabaran melakukan pelbagai aktiviti ekstrem di Hong Kong.

Menariknya, program yang bakal menemui penonton pada 17 Oktober di saluran Astro KIX HD (729) tersebut menampilkan keempat-empat selebriti terpilih bergandingan dengan tetamu istimewa masing-masing.

Saleha yang mewakili Malaysia bergandingan dengan suami sendiri, Ahmad Lutfi Azhar memaparkan wajah Hong Kong dalam sisi berbeza menerusi cabaran aktiviti lasak yang disediakan.

Program realiti

Bertemu dengan pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd. Baharum itu pada sesi temu bual khas baru-baru ini, ada banyak cerita menarik yang dikongsikan wanita itu sepanjang eksplorasinya ke Hong Kong.

Selain menjadi pembabitan sulungnya dalam program realiti, ia meninggalkan memori manis buat Saleha kerana pertama kali juga dia berpasangan dengan suami di kaca televisyen.

Akuinya bintang Mamak Cupcake itu, mereka tidak dimaklumkan pasukan penerbitan tentang aktiviti yang akan dilakukan sepanjang empat hari berada di Hong Kong.

“Jujurnya, saya sangat gementar kerana kami tidak diberitahu langsung tentang jenis cabaran yang menanti sepanjang berada di sana. Cuma kami tahu ia adalah aktiviti ekstrem.

“Menerusi program ini, saya melakukan aktiviti berbeza pada waktu malam, manakala suami pula siang. Saya terlibat dalam aktiviti menembak BB Gun dan mendaki, manakala suami pula memanah.

“Mujur suami seorang yang natural dan banyak bercakap, jadi dia tidak berasa kekok sepanjang penggambaran dan semuanya berjalan dengan lancar. Sampaikan dia teruja untuk terbabit dalam mana-mana program realiti selepas ini,” ujarnya yang pertama kali berkunjung ke Hong Kong.

Tambah Saleha, pengalaman menjalani penggambaran Extreme Ends bukan sekadar pengalaman manis kerana pertama kali dijayakan bersama suami, malah ia lebih daripada semua itu.

Kehendak

Menerusi Extreme Ends, Saleha dan Lutfi yang mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu berkesempatan belajar mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam.

“Sebelum berkahwin, kami hanya berkenalan selama tujuh bulan. Jadi apabila terlibat dalam projek ini, ia memberi peluang untuk kami lebih dekat antara satu sama lain.

“Di sebalik pelbagai aktiviti ekstrem yang dilakukan, ada perkara menarik terjadi apabila mereka bertanyakan tentang peribadi kami seperti contoh lamaran dan resepsi. Di sebalik konsep ekstrem, ia sebenarnya ada unsur romantik,” katanya ceria.

Selain berbicara tentang program Extreme Ends, pelakon berusia 28 tahun itu juga sempat berkongsi perkembangan terkininya dalam bidang lakonan.

Pejam celik, rupa-rupanya sudah tahun Saleha tidak muncul dalam slot drama bersiri seperti Samarinda di TV3 apabila kali terakhir lakonannya sebagai Mia Adriana menerusi drama fenomena 7 Hari Mencintaiku meninggalkan impak buat penonton.

Namun dalam tempoh tersebut, Saleha sebenarnya tetap aktif dengan banyak projek. Selain terlibat dengan penampilan dalam acara hiburan dan lawatan kerja, dia juga muncul dalam beberapa buah karya seperti telefilem.

Baru-baru ini, telefilem lakonannya bersama Nasha Aziz berjudul I Heart You Cik Yah telah pun ditayangkan menerusi Astro Citra pada 22 September lalu.

Kata Saleha, dia sentiasa berpegang kepada prinsip untuk menerima tawaran yang hadir dengan jalan cerita terbaik, berbanding sekadar menyambarnya disebabkan terdesak ekoran ketiadaan kerja.

“Salah satu sebab saya ambil masa dua tahun tidak muncul dalam Samarinda kerana meneliti tawaran yang datang terutama dari segi skrip. Saya yakin, setiap pelakon mesti menitikberatkan faktor ini terlebih dahulu sebelum ambil mana-mana tawaran. Begitu juga saya,” katanya.

Berbicara tentang projek terkini, Saleha teruja kerana dia kembali dalam slot Samarinda menerusi drama Jika Masih Ada Rindu.

Menerusi drama arahan Feroz Kadir tersebut, Saleha memegang watak sebagai Wahida iaitu seorang wanita yang bercerai dengan suami, lakonan Kamal Adli.

“Biarpun drama dan watak saya agak berat sama seperti naskhah terdahulu, tetapi ada kelainan dijanjikan. Jalan ceritanya sangat menarik dan berdaya saing.

“Kalau dahulu orang terkesan dengan watak Mia Adriana, jadi kali ini saya perlu cari naskhah yang sedikit lari daripada lingkungan sebegitu,” katanya sambil menambah drama tersebut akan mula ditayangkan pada pertengahan November depan.

Meskipun terkenal dengan genre drama, hakikatnya pelakon filem Terbaik Dari Langit itu mahu mengimbangi watak dalam lakonannya apabila turut muncul dalam naskhah seram dan komedi.

Cuma mungkin disebabkan skeptikal atau pilihan peminat yang gemar melihatnya beraksi dalam gelanggang emosi membuatkan dirinya lebih menyerlah dalam naskhah drama.

“Bagi peminat yang ikut perkembangan, mereka sedar lakonan saya berkembang ke arah banyak watak dan sisi berbeza.

“Cuma mungkin kalau menerusi drama, orang nampak saya memang ke arah watak berat kerana mereka teruja melihat saya membawakan cerita sebegitu,” jelasnya.

Sebelum menutup perbualan, Saleha turut berkongsi perkhabaran gembira tentang filem lakonannya yang berjudul 7ujuh bakal memasuki pawagam pada 8 November depan selepas terperam selama lima tahun.

Filem yang menjalani penggambaran pada 2013 tersebut turut dibintangi Pekin Ibrahim, Johan A’sari, Cristina Suzanne, Marsha Milan, Aeril Zafrel dan Riz Amin.

“Saya juga tidak pasti mengapa ia mengambil masa lama untuk ditayangkan tetapi cukup teruja menantikan detik itu kerana ia sebuah naskhah yang sangat bagus.

“Percubaan pengarah Raja Mukhriz menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dalam filem seram itu benar-benar menjadi. Bagi saya kekuatan lain bagi filem ini untuk diterima adalah kerana barisan pelakon yang hebat semuanya,” katanya yang bersyukur kerana tidak pernah mengalami sebarang gangguan ketika penggambaran filem tersebut.

Pertama kali muncul dalam program realiti televisyen bersama suami, pelakon Siti Saleha menampilkan sisi berbeza dirinya 
dengan melakukan banyak 
aktiviti ekstrem 
sepanjang eksplorasi 
ke Hong Kong baru-baru ini.