Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 48, berkata, kenyataan polis menafikan penglibatan anak lelakinya, Zareef Yusof Idris, 9, dalam kemalangan berkenaan telah memberikan gambaran dirinya sebagai seorang penipu.

Beliau juga bimbang Zareef yang juga anak keduanya itu terpalit tuduhan menipu berikutan tindakan polis yang tidak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kemalangan tersebut.

"Saya mempunyai bukti dan pengesahan perubatan dari Hospital Tunku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam bahawa anak saya terlibat dalam kemalangan berkenaan. Bagaimana pula pihak polis boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Zareef tidak terlibat dalam kemalangan itu.

"Saya kecewa apabila polis menafikan anak saya tidak terlibat dalam dan perkara itu memberikan gambaran negatif terhadap saya, anak dan kru penggambaran. Saya tuntut polis melakukan permohonan maaf dalam semua platform media cetak dan elektronik sebelum 31 Julai ini," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Tambah Eizlan, sekiranya pihak polis gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh yang dinyatakan, beliau tidak teragak-agak untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah.

"Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini. Apa yang saya tuntut mudah iaitu mahu mereka membuat permohonan maaf. Sekiranya gagal, saya dengan berat hati terpaksa membawa isu ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Pada 11 Julai lalu, Zareef yang  turut berada dalam kereta Toyota Vios yang dipandu ibu saudaranya, Nur Zuriati Mohd. Rijaluddin, 23, terlibat dalam kemalangan.

Semasa kejadian pada pukul 8 pagi, mereka dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama bersiri Mok Cun telah bertembung dengan sebuah Proton Wira.

Sementara itu, pengarah serta penerbit drama Mok Cun, Erma Fatima menerusi Instagramnya telah mengesahkan bahawa Zareef yang juga anak Eizlan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi laporan Kosmo! Online baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon menafikan penglibatan Zareef dalam kemalangan tersebut. - K! ONLINE

Zareef. Foto oleh MOHD. NAJIB MOHD. NOR
Zareef. Foto oleh MOHD. NAJIB MOHD. NOR