Kosmo

Namun, sikap pesimis yang ditunjukkan oleh masyarakat, terutama dalam kalangan pengguna media sosial sedikit pun tidak melemahkan semangat E1 untuk terus menguak langkah dalam bidang seni.

Justeru, bertepatan dengan semarak bulan Ramadan dan Syawal, E1 tampil dengan single kedua berjudul Rindu Lebaran.

Menariknya, single yang dicipta oleh komposer tersohor S. Atan dan lirik garapan Siso Kopratasa itu turut diterbitkan dalam versi visual.

Dilancarkan secara rasmi semalam di saluran YouTube Indigital Music, E1 menjadikan watak-watak filem Do Re Mi sebagai inspirasi.

“Konsep yang kami ketengahkan dalam klip video ini adalah mengembalikan nolstagia zaman dahulu. Sama seperti watak Do Re Mi, kami digambarkan sebagai tiga orang bujang yang berada di sebuah kampung.

“Berbanding Semalam Sahaja yang mengetengahkan muzik retro, sentuhan dalam Rindu Lebaran lebih klasik,” ujar Ezuwan mewakili E1.

Menurut Ezuwan yang juga merupakan seorang pereka fesyen, terdapat pelbagai adegan menarik diketengahkan dalam klip video arahan The Awd itu.

“Selain kisah percubaan memikat anak gadis, kami juga memaparkan adegan kejar ayam untuk dijadikan santapan juadah pada pagi raya,” kata Ezuwan.

Pengalamann

Bercerita lanjut, Ezuwan memberitahu, penggambaran klip video berkenaan berlangsung di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah rumah di Keramat, Kuala Lumpur dan Demang Abdul Ghani Gallery, Merlimau, Melaka.

“Pengalaman menjalani penggambaran klip video bagi single kali ini agak memenatkan. Ketika itu, saya yang baru sahaja pulang daripada China atas urusan kerja terus bergerak ke Melaka.

“Ditambah dengan cuaca panas dan kebanyakan babak memerlukan kami beraksi di luar, pengalaman bagi menjayakan klip video ini tidak akan dilupakan,” kata Ezuwan sambil mengenang kembali beberapa momen lucu yang dilalui sepanjang proses penggambaran.

Begitupun, menurut Ezuwan, segala penat lelah terbayar apabila dia dan dua ahli kumpulan lain melihat hasil akhir klip video berkenaan.

“Sejujurnya, kami memang berasa sangat penat untuk menyelesaikan proses penggambaran tempoh hari.

“Tetapi, selepas melihat hasil akhirnya, segala penat lelah terbayar. Perasaan mahu beraya juga dapat dirasai melalui klip video ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ezuwan turut berharap agar klip video Rindu Lebaran dapat diterima baik dalam kalangan peminat.

“Lagu dan klip video Rindu Lebaran mempunyai mesej yang bagus. Karya ini mengajak kita untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga.

“Justeru, jika anda masih mempunyai keluarga di kampung, habiskanlah masa bersama bagi mengeratkan lagi silaturahim dengan orang yang tersayang” kata Ezuwan menutup bicara.