Baru berusia 22 tahun dan memiliki rupa paras yang jelita, Lipa masuk dalam kategori serba sempurna sebagai pendatang baharu dunia hiburan di Hollywood. Sementelah, lagu-lagu genre pop yang dibawanya dihasilkan sendiri, tanpa menerima banyak bantuan daripada komposer terkenal. Single New Rules kemudian melonjakkan namanya sebagai penyanyi wanita paling diperhatikan sepanjang tahun lalu, menjadikan Lipa memasang misi besar untuk memastikan dia duduk dalam radar yang betul sepanjang tahun ini.

Ironi, New Rules bukanlah single pengenalan wanita yang menghabiskan separuh kehidupannya di Kosovo itu kerana tinggal bersama keluarganya di sana. Ia merupakan single keenam yang diambil daripada album sulungnya, tahun lalu. Lipa sendiri telah wujud dalam peta seni Hollywood sejak tahun 2015, namun hanya meledak dua tahun kemudian. New Rules disifatkan oleh Lipa sebagai sebuah ‘peluru berpandu’ yang kena tepat pada sasaran.

Sejak memasuki pasaran sekitar Jun tahun lalu, single hasil tangan Caroline Ailin, Emily Warren dan Ian Kirkpatrick itu menduduki banyak carta utama dunia termasuk Billboard. Klip video single itu juga telah ditonton sebanyak 900 juta kali dalam laman YouTube, sembilan kali ganda lebih banyak daripada lagu terdahulunya, Blow Your Mind (Mwah).

“Saya tidak percaya. Saya sendiri tertanya-tanya apa yang telah terjadi selepas banyak orang berkongsi mengenainya dalam laman sosial. Ya, New Rules telah mengubah perjalanan seni saya,” katanya dalam satu temu bual bersama majalah Billboard.

Menjadi antara lagu paling hangat pada tahun lalu, klip videonya juga disifatkan menarik sehingga pelbagai parodi dibikin peminat. Lipa sendiri yang mencetuskan idea pembikinan klip video tersebut agar begitu santai serta ala peragawati di pentas peragaan di sebuah hotel yang mencegah seorang wanita kembali melayan mantan kekasih mereka.

“Saya memang sangat teruja untuk menjalani penggambaran tersebut kerana ia hasil idea saya. Saya bangga kerana ia mendapat perhatian. Saya tahu orang akan menyukainya tetapi tidak menyangka menjadi fenomena,” ujarnya mengulas tentang variasi parodi yang dibuat terhadap lagu tersebut termasuk yang paling popular daripada versi Jake Wilson bersama sekumpulan lelaki yang mendapat tontonan sebanyak 600 juta.

Berbicara tentang single tersebut juga, ternyata ia bekal yang menjadikannya terkenal dan sibuk seperti artis sebenar. Jika sebelum ini dia banyak melakukan jelajah persembahan pentas secara kecil-kecilan dan album tidak terjual begitu laris, kini segalanya berbeza.

Pernah berkongsi pentas bersama Bruno Mars, jadual jelajah konsertnya kini padat. Katanya penuh bahagia: “Banyak tarikh jelajah konsert saya telah penuh dan ia terjual begitu pantas. Ia mengujakan saya kerana banyak orang rupanya mahu menyaksikan aksi saya bukan hanya kerana sebuah single, tetapi untuk mendengar lagu yang lain juga.”

Peragawati

Sebelum namanya kini menjadi pujaan sebagai penyanyi, Lipa merupakan seorang peragawati. Dia menjadi pemanis pentas peragaan dan muncul sebagai wajah bagi kebanyakan jenama terkenal antarabangsa sejak berusia sekitar 15 tahun.

Ditanya mengenai dunia peragaan, Lipa mengaku, dia pernah dipaksa menurunkan berat badan jika mahu berjaya sebagai peragawati. Permintaan tersebut membuatkan dia tersedar bahawa keinginannya yang lebih besar adalah menjadi seorang penyanyi, bukannya peragawati.

Dia selesa menjadi penyanyi berbanding peragawati yang perlu mengikut banyak kehendak pihak lain termasuk klien.

Ujarnya: “Saya kira media massa telah melakar label bahawa jika seseorang mahu cantik ia perlu ada garis panduan. Pada saya ia tidak adil. Sebagai wanita, kita selalu berasa perlu cantik untuk menarik minat khalayak atau berasa selesa. Namun menerusi muzik, saya boleh menjadi diri sendiri dan membiarkan muzik berbicara.”

Menerusi satu temu bual bersama portal Refinery 29, Lipa juga berbicara tentang fesyen. Sebagai bekas peragawati, wanita itu memberi tunjuk ajar agar selalu membuat eksperimental sewaktu berdandan.

Dikritik

Tidak mahu meletakkan dirinya dalam ‘sebuah kotak’ atau mencipta sensasi fesyen sendiri, Lipa sebaliknya lebih suka ‘bermain’ setiap kali muncul di depan khalayak ramai.

“Saya tidak mahu melabelkan ‘oh inilah fesyen atau stail Dua Lipa’. Saya suka bereksperimen dengan fesyen. Seperti muzik yang melodinya perlu mengikut disiplin, tetapi perlu ada seni sewaktu menghasilkannya. Begitu juga dengan fesyen. Ia tidak boleh dipaksa,” katanya.

Januari baru menjengah dan saat New Rules menjadi pujaan banyak wanita kerana liriknya disifatkan memberi inspirasi supaya tidak kembali menghubungi bekas kekasih, Lipa kini mula dikritik peminat.

Hal ini kerana Lipa yang baru putus cinta bersama Paul Klein, didakwa telah kembali menghubungi bekas kekasihnya, Isaac Carew. Carew yang merupakan seorang cef dan model pernah menjalin hubungan bersama penyanyi itu selama dua tahun.

Menurut laporan The Sun, peminat mula marah dan mengkritik Lipa sebagai tidak mengikut peraturan yang diciptanya sendiri. Mereka mengaitkannya dengan beberapa bait lirik single tersebut iaitu ‘One, don’t pick up the phone, You know he’s only calling ‘cause he’s drunk and alone, Two, don’t let him in, You have to kick him out again, Three, don’t be his friend, You know you’re gonna wake up in his bed in the morning, And if you’re under him, You ain’t getting over him’.

Lipa bagaimanapun dilihat tidak melayan segala kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Dia sebaliknya lebih fokus terhadap misi sepanjang tahun ini dan karier mendatang.

Ditanya apakah misinya kini, ringkas dia menjawab:

“Saya tidak mahu dilupakan dan akan terus berkarya. Saya perlu terus bekerja sama ada menghasilkan muzik atau berada dalam tempoh yang lama untuk sesebuah konsert jelajah.”

Menawan, berbakat dan mempunyai corak muzik serta kemahuan tersendiri, Dua Lipa kini masuk dalam senarai penyanyi wanita paling hangat untuk tahun 2018 impak single New Rules

yang mendadak menjadi fenomena.