Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 34, sebaliknya selesa bergerak aktif di belakang tabir dan fokus membangunkan syarikat pengurusan majlis miliknya iaitu Mamat Sepah Entertainment.

Menafikan sudah merajuk dengan industri, Mamat berkata, penglibatan hampir sedekad sebagai anak seni mengajarnya untuk lebih mengenali kehendak sendiri.

Sudah mempunyai buah hati yang berasal dari Sabah dan bakal tampil dengan filem aksi permotoran, Remp-It 2, Mamat juga mengakui, ada getar merasuk jiwanya setiap kali beraksi di hadapan kamera.

KOSMO!: Boleh Mamat ceritakan perkembangan terkini karier seni memandangkan sudah agak lama anda menyepikan diri?

MAMAT: Alhamdulillah, saya okey sahaja. Saya kini sibuk menguruskan beberapa majlis kendalian syarikat pengurusan sendiri iaitu Mamat Sepah Entertainment.

Selain daripada menguruskan syarikat, saya juga aktif dengan persatuan permotoran Spark, terutama melibatkan program jelajah dan bertemu dengan ahli seluruh negara.

Selebihnya, saya masih berkhidmat sebagai juruacara majlis. Secara keseluruhannya, saya lebih aktif di balik tabir.

Mengapakah wajah anda jarang terlibat muncul dalam program hiburan, adakah anda merajuk dengan industri?

Rugilah jika saya merajuk dengan industri. Tawaran berlakon masih ada, tetapi sejujurnya saya tidak berminat untuk berlakon kerana menuntut tempoh masa yang lama. Saya lebih selesa dikenali sebagai pelawak, pengacara dan penyampai radio.

Jadi, adakah anda kini bergelar penyampai radio?

Ya, saya ada menerima tawaran. Namun terpaksa ditolak kerana banyak komitmen lain. Saya pernah bersama dengan sebuah stesen radio dan belum bersedia untuk melalui jadual yang padat. Memandangkan kini saya sudah mempunyai syarikat, saya selesa bergerak sendiri.

Jadi, mengapakah anda menyahut tawaran berlakon dalam filem Remp-It-2?

Saya sememangnya meminati dunia permotoran, apabila ditawaran untuk menjadi sebahagian daripada pelakon Remp-It-2, sukar untuk saya tolak.

Saya sanggup menundakan tarikh perkahwinan demi menumpukan perhatian terhadap filem ini kerana impak filem Rempit dahulu terlalu kuat. Saya mahu fokus terhadap filem tersebut, kemudian barulah menguruskan hal perkahwinan.

Siapakah wanita yang bakal anda kahwini?

Dia bekerja sebagai pegawai polis dan berasal dari Sabah. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan.

Kami telah bertunang hampir setahun. Sepatutnya, kami bernikah sekitar Januari atau Februari lalu, kemudian ditunda ke Mac, kini ditunda lagi kerana komitmen terhadap filem Remp-It-2.

Bagaimana penerimaan tunang anda selepas dua kali tarikh perkahwinan telah ditunda?

Mulanya, sudah tentu saya kena marah. Lama-kelamaan, dia faham dan terima alasan saya untuk menangguhkan dahulu perkahwinan kami. Lagi pun, saya tidak suka tergesa-gesa dan selesa melakukan perancangan yang rapi.

Jadi, bilakah anda merancang untuk melangsungkan perkahwinan?

Kami telah berkenalan lebih setahun. Kami saling memahami bidang tugasan masing-masing, terutama komitmen tunang dalam pasukan polis. Saya berharap sebelum penghujung tahun ini kami dapat disatukan sebagai suami isteri.