Hadir mempertaruhkan muzik ska dan reggae yang asing sebagai halwa telinga peminat pada masa itu, GSC pernah digelar sebagai pemuzik sarkas hanya kerana lambakan peralatan muzik setiap kali beraksi.

Tidak pernah terasa hati atau menyimpan rajuk, tujuh ahli kumpulan itu kekal memperjuangkan aliran muzik mereka sehingga ke hari ini.

Untuk bertahan selama 20 tahun mempertaruhkan identiti yang sama dalam industri, sungguh itu bukan satu pekerjaan yang mudah. Saban tahun menyaksikan kehadiran banyak bakat baharu, Edy J mewakili anggota GSC yang meluahkan rasa bersyukur kerana masih mempunyai kelompok penyokong setia dari dahulu hingga sekarang.

“Peminat yang mengikut kerjaya kami sejak tahun 1999 pasti sedar bahawa GSC tidak pernah menukar aliran muzik dan kekal memperjuangkan muzik ska dan reggae.

“Peminat aliran muzik kami masih ada. Sebab itu, kami masih aktif dengan persembahan,” kata Edy J selaku ketua kumpulan GSC sewaktu ditemui dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Peminat

Berkongsi mengenai penerimaan aliran muzik yang diperjuangkan sejak dua dekad lalu, Edy J mengakui, irama ska dan reggae memang ada kelompok peminat tersendiri.

Tidak meletakkan aliran muzik mereka sebaris genre muzik popular dalam kalangan peminat ketika ini, Edy J yakin ada pendengar yang mengenali identiti muzik GSC.

“Saya tidak menganggap muzik kami sebagai ‘meletup’. Jujurnya, kami berada dalam industri adalah kerana peminat,” tuturnya.

Berceloteh mengenai peminat, Edy J berkata, sejak dari awal kemunculan GSC, mereka tidak pernah meletakkan sebarang jurang dengan peminat.

Gemar menganggap peminat umpama sahabat, GSC tidak akan bertahan sehingga sekarang tanpa dukungan mereka.

“Saya suka bertemu peminat ketika membuat persembahan pentas. Kami boleh menyaksikan sendiri perubahan kelompok peminat yang dahulu bujang kini telah membawa anak-anak ke setiap persembahan GSC.

“Kami terharu dengan sokongan mereka dan sudah tentu hubungan GSC dengan peminat amat baik. Kami berkawan antara satu sama lain dan sering bertanyakan khabar,” kongsinya.

Konsert

Sempena genap dua dekad dalam industri, GSC kini dilamar untuk mengadakan persembahan menerusi konsert Gerhana Skacinta 20th Anniversary Tour Live in Singapore di Esplanade, Singapura.

Menghitung hari untuk mengadakan konsert pada 7 Februari ini, GSC yang kali terakhir menggegarkan Kota Singa kira-kira dua tahun lalu kini rancak membuat persediaan.

“Kami akan beraksi selama sejam 30 minit mendendangkan sekitar 20 buah lagi. Lagu-lagu berkenaan adalah yang signifikan dengan GSC. Keutamaan kami pada ketika ini ialah stamina dan kesihatan fizikal,” tambah Edy J.

Antara lagu wajib yang perlu dipersembahkan ialah Asmara dan Senyuman Ragamu.

Selain konsert di Singapura, GSC juga merancang untuk menjayakan jelajah di seluruh negara termasuk menghiburkan peminat di Sabah dan Sarawak.

“Selepas Singapura, kami mungkin akan muncul dengan persembahan di Kuala Lumpur. Namun semuanya masih di peringkat perancangan,” katanya.

Mengulas mengenai harapan mereka selepas lama tidak muncul dalam persembahan pentas berskala konsert, Edy berkata, keutamaan GSC adalah menghiburkan peminat.

“Sudah tentu kami mengharap konsert itu nanti menarik ramai penonton. Namun yang paling utama, kami mahu muzik dan persembahan GSC dinikmati peminat” jelasnya.

Dalam kesibukan membuat persiapan konsert, GSC akan hadir dengan buah tangan baharu berupa album penuh.

Masih dalam proses rakaman, album yang mengekalkan aliran ska dan reggae tersebut diharapkan dapat dilancarkan pada tahun ini.

“Kami sedang merakamkan sebuah single. Lagu itu mengenai cinta dan ada elemen muzik seperti Senyuman Ragamu. Kami tidak sabar berkongsi karya baharu ini dengan peminat,” tutupnya yang turut bertindak sebagai pemain gitar kumpulan itu.

Sejak ditubuhkan, GSC dianggotai oleh Widy (vokalis pertama), Pedd (vokalis kedua), Bakri (dram), Rejab (trombon), Fairuz (keyboard), Jalut (bass) dan Farin (saksofon). Awal tahun 2019, mereka turut menerima kemasukan dua ahli baharu iaitu Zul (trumpet) dan Nazmi (alto saksofon).