Shahrulezad berkata, isu-isu yang diketengahkan dalam Nur 2 terlalu berat dan disebabkan hal itu, drama lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli tersebut diklasifikasikan sebagai P13, iaitu untuk tontonan penonton berumur 13 tahun ke atas dengan bimbingan ibu bapa.

“Mungkin ada yang masih belum faham kenapa Nur 2 diklasifikasikan sebagai P13 untuk siaran kali ini. Ada sebab juga kenapa drama Nur 2 ditayangkan menerusi slot Samarind pukul 10 malam dan bukannya slot Akasia iaitu pada waktu petang.

“Terus terang saya katakan, Nur 2 yang mengisahkan dunia pelacuran tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak,” katanya.

Shahrulezad mengeluarkan kenyataan tersebut selepas netizen meninggalkan komen di Instagramnya dengan menyifatkan Nur 2 terlalu berani.

Dalam pada itu, Shahrulezad menjelaskan, ibu bapa perlu sama-sama memantau bahan hiburan anak-anak yang disiarkan di televisyen.

“Ibu bapa perlu bertanggungjawab dalam mengawal kandungan (hiburan) untuk anak-anak.

“Kandungan anak-anak biasanya di siang hari, bukan malam,” katanya lagi.

Drama Nur 2 ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam. - K! ONLINE